Sunday, November 20, 2011

RM100, PRU Ke 13 dan Kelantan


Oleh:Rossem
Mat Ya tersenyum lebar saat saya menyapanya suatu tengah hari yang redup di musim tengkujuh. “Dari mana?” “Dari sekolah” katanya, ringkas. Dan saya pun diam, tak memberi respons, namun setelah memerhatikan mimik wajah serta lirik matanya seperti ada sesuatu yang mahu disampaikan, justeru saya tidak terus beredar, sebalik menunggu bibir mulutnya yang sedang bergerak-gerak seperti mulut lembu mengunyah rumput itu mengeluarkan madah.

“Datuk Seri Haji Najib, beri tiga ratus” tutur Mat Ya. Bibir mulutnya berbunga senyum. Lebar senyumannya selebar jambatan kedua merentasi Sungai Kelantan dari Kota Bharu ke Pasir Pekan yang sedang dalam pembinaan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN), dan tentunya senyum bangga Mat Ya tengah hari itu kerana dapat wang dari kerajaan UMNO/BN.

“Wang apa Mat Ya?” saya bertanya. “Wang bantuan untuk murid-murid sekolah” jawab Mat Ya. “Kenapa sehingga RM300?” Hairan, setahu saya peruntukan untuk murid-murid sekolah seperti diumumkan dalam Bajet 2012 baru-baru ini cuma RM100.

“Anak-anak saya yang bersekolah seramai tiga orang, jadi RM300.” Tambahnya.

“Wang itu bukan Haji Najib punya, juga bukan UMNO / BN punya, itu wang kerajaan. Wang kerajaan itu wang rakyat” saya memperbetulkan persepsi seputar “wang” itu yang mungkin Mat Ya tersalah menerima penjelasan yang disampaikan orang-orang tertentu yang berkepentingan politik sewaktu menyampaikan ucapan pada majlis penyerahan bantuan di dewan sekolah tempat anak-anaknya belajar pagi itu.

Dan memang benar, salah seorang yang berucapkan pada majlis itu memberitahu ibu bapa yang hadir bahawa wang sebesar RM100 itu ialah pemberian daripada kerajaan UMNO/BN yang sangat prihatin. “Inilah kerajaan yang seharusnya tuan-tuan dan puan-puan pilih pada Pilihan Raya Umum ke 13 nanti, bukan puak yang satu lagi itu. Baru nak bercakap pasal Negeri Berkebajikan, walhal kita, UMNO/BN sudah berpuluh-puluh tahun menabur kebajikan untuk rakyat”

Mengumpulkan ibu bapa dalam sebuah dewan sekolah atas nama majlis pemberian wang bantuan murid -murid merupakan satu lagi kebijaksanaan UMNO/BN di zaman pentadbiran Haji Najib. Ibu bapa tanpa mengira fahaman politik, kaum dan agama terpaksa hadir, dan sebelum diagih-agihkan wang, diasakkan dengan motivasi berbaur politik kepartian tertentu terlebih dahulu. Justeru mahu atau tak mahu, telinga para hadirin tak terlepas daripada menangkap pesan-pesan khusus meskipun sebahagian tak disukainya.

Saya terus bertanya Mat Ya. “Bagaimana reaksi orangramai yang hadir, bila hal-hal kepartian seperti itu disebut-sebut?” “Majoritinya tampak gelisah, tapi tetap menunggu, kerana wangnya belum lagi diberikan” kata Mat Ya.

Acara yang bermula jam 9.00 pagi sehingga jam 1.00 tenghari itu menurut Mat Ya, ramai dikalangan ibubapa berungut kerana majlis tidak berakhir dengan jamuan nasi gulai kawah seperti lazimnya bagi warga Kelantan yang sangat menitikberatkan soal makan minum bila tiba waktu makan tengahari. Pantang datuk nenek orang Kelantan, kalau dijemput ke sesuatu majlis sehingga waktu tengahari tak dijamu makan tengahari.

Berbeza dengan majlis anjuran PAS atau Kerajaan Negeri Kelantan yang diperintah PAS, pihak penganjur pasti tumbangkan seekor atau dua ekor lembu mengikut jangkaan kehadiran orangramai, dimasakan gulai kawah dan dijamu untuk makan tengahari. Yang hadir pun senang hati dan tak berungut.

Demikian budaya orang Kelantan. Berkebajikan tak semestinya dengan wang, bahkan dengan nasi gulai kawah juga. Kerana itu PAS diterima majoriti rakyat Kelantan kerana mereka bijaksana dalam memahami hati nurani rakyat Negeri Serambi Mekah.

Jamuan nasi juga melambangkan bahawa dalam diri penganjurnya bebas dari sifat keegoan dan sombong. Tua muda, miskin kaya, pemimpin dan yang dipimpin sama-sama makan nasi gulai kawah dengan pinggan kertas pakai buang. Semua itu diambilkira dan dinilai rakyat Kelantan.

Kadang-kadang kerana keegoan, hal-hal yang remeh dan temeh seperti ini terlepas pandang. Mungkin dalam hati sang panganjur, beri RM100 sudah memadai, justeru mereka merasakan tak perlu lagi menyediakan jamuan makan tengahari ala kadar. Namun, situasi dan kondisi di Kelantan tetap tak sama dengan tempat lain. Di Kelantan pangajur harus menyantuni publik sekali lipat dari negeri lain, jika UMNO/BN mahu menambat hati orang Kelantan.

Selanjutnya saya bertanya beberapa orang terutama pendukung PAS yang datang menerima wang bantuan anaknya; bagaimana pandangan politik selepas menerima bantuan Kerajaan Pusat itu? Jawapannya. “ Jangan menyangka kami boleh dibeli dengan material. Kami menerimanya kerana itu hak kami, dan mengundi juga hak kami. Kami bebas memilih parti mana yang disukai pada PRU Ke 13 nanti”.

Saturday, November 12, 2011

Allahyarham Kamalruzaman yang saya kenal


Oleh: Rossem
Dua hari sebelum kembali ke Rahmatullah, sering saya berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) dengannya seputar kerja. Saat menerima berita kecelakaan jalan raya yang meragut nyawanya, sms itu belum delete, justeru saya terkejut amat sangat bahkan seperti tidak percaya khabar duka yang diterima selepas pulang solat Jumaat, 11 November 2011 benar-benar satu realiti.

Allahyarham, sebelum berangkat ke Kuala Lumpur sibuk menyiapkan dokumen yang dijadikan poster yang menarik mengenai tuntutan royalti minyak yang akan diserahkan
kepada Perdana Menteri di parlimen 11 November.

Poster petikan ucapan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdul Razak ketika menjawab pertanyaan YB Lim Kit Siang di Dewan Rakyat tanggal 12 November 1975.
Antara Intinya ialah “Mengikut perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan (onshore) atau di luar perairan (offshore) negeri tersebut yang dijual PETRONAS ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontraktornya”.

Poster itu juga memuatkan petikan ucapan Menteri Besar Kelantan (1976-1990), Dato’ Haji Mohamad Yaacob, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Kasitah Gaddam (4 April 1989) dan Perdana Menteri Malaysia sekarang, Datuk Seri Haji Najib di Dewan Rakyat (4 November 2009).

Selanjutnya, Allahyarham mahukan poster itu dimuatkan dalam laman iklan akhbar Sinar Harian. Kebetulan saya penyalaras ruang iklan yang beli Kerajaan Kelantan melalui Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri. Iklan berbayar, satu muka surat itu terbit dua kali seminggu iaitu setiap Ahad dan Khamis, edisi Timur.

Allahyarham benar-benar mengharapkan saya dapat memuatkan poster itu mengikut tarikh yang yang sama dengan hari penyerahan Amanat Tun Razak di parlimen pada 10 November 2011.

“Saya dah sent tadi. Pak Rossem dawnload. Terima kasih” beritahunnya melalui sms setelah saya memintanya mengirim artwork poster yang sudah siap direkabentuk.

Seterusnya ia menyambung “Ya, 10 November saja, kita nak nasional sebab kita mahu semua rakyat Malaysia tahu pasal ucapan Tun Razak. Itu pun kalau Sinar Harian berani publish. Kalau Sinar Harian tak berani, harap Pak Rossem ejas ayat-ayat mana yang depa tak selesa, bagi depa selesa..Terima kasih”

Saya memberitahunya bahawa harga iklan akan berganda jika untuk edaran nasional, hal ini perlu maklumkan lebih dahulu kepada Pengarah Urusetia Penerangan, minta kebenarannya.

Allahyarham membalas sms saya “ Ambo dah tanya Ustaz Man (pengarah), boleh tak untuk keluaran 10 Nov sahaja, di upgrade jadi nasional dan colour. Dia setuju, Pak Rossem boleh ejas ke untuk 10 Nov itu?”

Komitmen Allahyarham tentang kerja sangat tinggi. Harapannya agar Amanat Tun Abdul Razak tersebar luas, dapat dibaca dan diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia memang satu usaha yang sangat mengagumkan.

Dan saya telah tunaikan permintaan Allahyarham. Iklan seperti yang dimintanya telah terbit dalam Sinar Harian tanggal 10 November, walaupun pada mulanya tak diluluskan untuk siaran oleh editor akhbar tersebut, namun setelah puas merayu dan campurtangan Pengarah Urusetia Negeri dengan melakukan sedikit perubahan, akhirnya dimuatkan.

Maka benarlah seperti diungkapkan bossnya, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato’ Haji Husam Musa “Semua urusan tuntutan royalti telah diurus oleh Allahyarham dengan baik dan penuh amanah demi untuk kesejahteraan rakyat Kelantan”

“Allahyarham seorang pegawai saya yang amanah, jujur, rajin berusaha terutama dalam tuntutan royalti. Dia yang banyak menyelidik, mencari bahan bukti dan memang dia wira.”

Kamaruzaman Haji Abdullah, 31, Pegawai Khas kepada Exco Kerajaan Kelantan, YB Dato’ Haji Husam Musa meninggal dunia dalam tugas sewaktu dalam perjalan pulang dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, selepas menghadiri majlis penyerahan 'Amanat Tun Razak' kepada perdana menteri di parlimen berhubung tuntutan bayaran royalti minyak.

Friday, November 4, 2011

Padang Arafat dan cinta Adam Hawa bersemi


Jika ada orang bertanya
Di planet bumi ini di mana tempat paling mengembirakan.
Jawapannya Mekah dan Madinah di musim haji.
Kenapa tidak di tempat lain?
Di tempat lain gembiranya berbeda
Seperti mimpi tak bermakna

Tidak di dua kota suci ini
Melihat fotonya saja
Air mata mengalir tanpa disedari
Seberkas kenangan akan terlahir.
Meskipun bertahun-tahun berlalu.
Terasa seperti baru semalam

Kemuncak ibadah haji ialah di Arafat
Aku masih ingat 6 tahun dulu
Sewaktu menjadi tetamu haji
Manusia berpakaian ihram
Bergerak dalam saf yang besar
Melewati tanah gersang berbukit gondol
Dengan satu matlamat - menyahut panggilan Ilahi

Arafat melambangkan awal kehidupan manusia di bumi
Di dalam satu riwayat Nabi Adam a.s dikatakan
Setelah turun ke bumi bertemu dengan Hawa di Padang Arafat
Di tanah gersang ini mereka saling berkenalan.

Adam turun ke bumi kerana diusir dari syurga
Ia mengingkari perintah Allah. Kenapa?
Bukankah hidup di Syurga berbantalkan kemewahan, kenikmatan
Ada sesuatu yang diinginkan Adam a.s di Syurga
Yang tak bisa diperolehinya
iaitu berkasih sayang dengan Hawa
Kerananya Adam sanggup meninggalkan Syurga
Sebagai gantinya Allah SWT meletakkannya dalam dunia
Yang penuh dengan penderitaan, ketamakan, pembunuhan

Itulah awal kehidupan manusia (Adam)
Yang memiliki keinginan suka memberontak
Adam diusir daripada Syurga. Ia kesepian.
Sedang dunia adalah penjara bagi dirinya
Ia menerima hukuman terhadap pemberontakannya
Lalu bertaubat dan taubatnya diterima Allah SWT.

Apakah hubungan haji dengan semua ini?
Haji melambangkan pertaubatan manusia
Termasuk kesedaran dirinya yang mencakup perasaan terasing dan terbuang
Sebagai akibatnya timbullah tekad untuk “kembali” kepada Allah.

Peralihan “Adam yang berada di syurga”
Menjadi “Adam yang berada di dunia”
Merupakan pencerminan dari karekter dan tingkah laku manusia pada zaman sekarang. Suka memberontak, agresif dan sering terjebat dengan bujukan syaitan dan wanita.

Percikan cinta yang pertama sekali dalam pertemuan Adam dengan Hawa
Menyebabkan mereka saling memahami.
Itulah petanda pertama dari pengetahuan!
Adam mengetahui isterinya mempunyai jenis kelamin yang berbeza
Tapi mempunyai naluri yang sama dengan dirinya

Adam bertemu dengan Hawa (yang memiliki jenis kelamin yang berbeza)
Mereka bertukar pendapat dan akhirnya saling memahami
Kehidupan “individual” mereka berakhir dengan terciptannya sebuah keluarga
Keluarga kecil itu kemudian menjadi besar dan terus membesar
Hari ini anak cucunya memenuhi setiap ruang muka bumi

Ibadat haji menjadikan diriku banyak berfikir tentang kebesaranMu
Ibadat haji tidak sekadar rukun, sebaliknya tersirat makna
Jika mahu ditulis seputar makna dan falasafahnya
Pasti tak akan habis dan pena kekeringan dakwat

Sesungguhnya berada di dua kota suci Mekah dan Madinah
Mengerjakan haji, pasti meninggalkan kesan yang mendalam
Setiap dilakukan sarat dengan falasafah bagi mereka yang mengetahuinya.


Rossem
5 November 2011

Tuesday, November 1, 2011

Mahdi Akif: Umat Islam Wajib Bela Palestina!


Oleh: Rossem
Walaupun beberapa ia menyebut letih karena kurang istirahat dan melakukan perjalanan panjang, mantan Mursyidul Am Al Ikhwan al Muslimun Mesir, Dr, Muhammad Mahdi Akif mengaku bangga datang ke Kelantan Malaysia. Tokoh gerakan Islam yang pernah dijatuhkan hukuman mati oleh penguasa Mesir, Jamal Abdul Nassir ini baru saja datang di Malaysia, menghadiri undangan pemerintah kerajaan Kelantan.

“Perjalanan dari Mesir ke Malaysia yang mengambil waktu lama, dan sebelum ke Kota Bharu telah menghadiri Ijtimak Tarbawi 2011 anjuran Pemuda PAS serta memberi ceramah di beberapa masjid di Kuala Lumpur, namun semangat untuk berkunjung ke Kelantan sangat tinggi, seperti juga tingginya semangat Islam warga Kelantan,” ujarnya.

Menurut Akif, keinginan berkunjung ke Kelantan dan bertemu Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kenalannya Ustaz Yahya Osman justeru telah cukup lama.

Bagi generasi muda Muslim sekarang yang tak sempat bertemu atau mengenali dari dekat Hasan Al –Banna (yang meninggal 12 Februari 1949), Dr Muhammad Mahdi boleh jadi “bayangan” atau copi-paste kepada tokoh terkemuka gerakan Islam itu, karena keduanya adalah sahabat seperjuangan dan hidup sezaman.
“Siapapun yang ingin mengenali Syeikh Hasan Al-Banna maka dampingilah Syeikh Dr Muhammad Mahdi, di sana ada persamaannya,” tutur Ustaz Asri yang menterjemah ucapan Syeikh Muhammad Mahdi Akif dari bahasa Arab dalam bahasa Melayu.

Dalam paparannya, ia bercerita mulai terlibat dengan gerakan Al Ikwan al Muslimun sejak tahun 1940-an. Kemudiannya memegang berbagai jabatan kepemimpinan sehingga dilantik sebagai Mursyidul Am yang ke 7, jabawatan tertinggi dalam gerakan Islam itu.

Lewat kata-katanya yang bersemangat, beliau menggajak umat Islam seluruh dunia berpegang kukuh dengan tali Allah SWT dan berwaspada setiap masa dari musuh-musuh Islam yang sentiasa mengintai untuk memusnahkan Islam.
Menurutnya, apa yang terjadi di Somalia, Iraq, Afghanistan adalah angkara permainan jahat musuh-musuh Islam, katanya.

“Paling penting adalah; sama-sama kita fikirkan tentang umat Islam di bumi Palestina yang sekian lama dizalimi rejim Zionis-Israel. Sekarang saudara-saudara kita dari Hamas sedang berjihad. Banyak sudah yang gugur syahid dan banyak lagi akan menyusul. Ingatlah, perjuangan Palestina bukanlah untuk hanya rakyat Palestina tapi untuk ummah. Justeru kita semua, walaupun di mana anda berada, wajib membantu mereka,” tegasnya.

Menyinggung tentang Pemilu pertama yang bakal diadakan di Mesir selepas kejatuhan rejim Husni Mubarak, Syeikh Dr Muhammad Mahdi menyinggung Pemilu di mana hampir 550 kursi parlemen akan diperebutkan.

Ikhwanul Muslimin, gerakan oposisi yang paling berpengaruh pada masa Mubarak, akan berjuang untuk memperoleh kira-kira separuh kursi parlemen dalam pemilihan mendatang melalui Partai Kebebasan dan Keadilan. Partai itu telah memperingatkan pihak pemerintah untuk tidak menangguhkan pemilihan, yang kelompok-kelompok sekular telah anjurkan karena mereka takut kelompok Islam yang diorganisir lebih baik itu akan merebut kursi-kursi.

Seperti diketahui, Dr Muhammad Mahdi Akif pernah dijebloskan ke penjara oleh rezim Husni Mubarak dengan tuduhan berencana mengulingkan pemerintahan. Ia dipenjara 20 tahun pada Agustus 1954 saat usianya 26 tahun.

Tahun 1996 sekali lagi ia dijeblos ke dalam penjara karena dituduh berkomplot manjatuhkan pemerintahan Presiden Anwar Sadat. Kali ini ia dipenjara selama tiga tahun.

23 tahun, bukan waktu pendek. Namun baginya, seperti dinyatakan kepada ribuan jamaah PAS yang hadir mendengar amanatnya di Balai Islam, Kota Bharu tanggal 31 Oktober 2011 kemarin, “ Kami tahu, kami adalah dipihak yang benar, justeru kami bangga walaupun masuk penjara.”

Lahir tanggal 12 Juli 1928 di Mansyurah, Mesir, usia Muhammad Mahdi kini mencapai 83 tahun. Meski demikian fisiknya tampak masih gagah. Pidatonya bersemangat dan mantap, dengan vokalnya yang baik, sehingga mengejutkan jamaah yang hadir mendengar pada malam itu.