Sunday, November 20, 2011

RM100, PRU Ke 13 dan Kelantan


Oleh:Rossem
Mat Ya tersenyum lebar saat saya menyapanya suatu tengah hari yang redup di musim tengkujuh. “Dari mana?” “Dari sekolah” katanya, ringkas. Dan saya pun diam, tak memberi respons, namun setelah memerhatikan mimik wajah serta lirik matanya seperti ada sesuatu yang mahu disampaikan, justeru saya tidak terus beredar, sebalik menunggu bibir mulutnya yang sedang bergerak-gerak seperti mulut lembu mengunyah rumput itu mengeluarkan madah.

“Datuk Seri Haji Najib, beri tiga ratus” tutur Mat Ya. Bibir mulutnya berbunga senyum. Lebar senyumannya selebar jambatan kedua merentasi Sungai Kelantan dari Kota Bharu ke Pasir Pekan yang sedang dalam pembinaan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN), dan tentunya senyum bangga Mat Ya tengah hari itu kerana dapat wang dari kerajaan UMNO/BN.

“Wang apa Mat Ya?” saya bertanya. “Wang bantuan untuk murid-murid sekolah” jawab Mat Ya. “Kenapa sehingga RM300?” Hairan, setahu saya peruntukan untuk murid-murid sekolah seperti diumumkan dalam Bajet 2012 baru-baru ini cuma RM100.

“Anak-anak saya yang bersekolah seramai tiga orang, jadi RM300.” Tambahnya.

“Wang itu bukan Haji Najib punya, juga bukan UMNO / BN punya, itu wang kerajaan. Wang kerajaan itu wang rakyat” saya memperbetulkan persepsi seputar “wang” itu yang mungkin Mat Ya tersalah menerima penjelasan yang disampaikan orang-orang tertentu yang berkepentingan politik sewaktu menyampaikan ucapan pada majlis penyerahan bantuan di dewan sekolah tempat anak-anaknya belajar pagi itu.

Dan memang benar, salah seorang yang berucapkan pada majlis itu memberitahu ibu bapa yang hadir bahawa wang sebesar RM100 itu ialah pemberian daripada kerajaan UMNO/BN yang sangat prihatin. “Inilah kerajaan yang seharusnya tuan-tuan dan puan-puan pilih pada Pilihan Raya Umum ke 13 nanti, bukan puak yang satu lagi itu. Baru nak bercakap pasal Negeri Berkebajikan, walhal kita, UMNO/BN sudah berpuluh-puluh tahun menabur kebajikan untuk rakyat”

Mengumpulkan ibu bapa dalam sebuah dewan sekolah atas nama majlis pemberian wang bantuan murid -murid merupakan satu lagi kebijaksanaan UMNO/BN di zaman pentadbiran Haji Najib. Ibu bapa tanpa mengira fahaman politik, kaum dan agama terpaksa hadir, dan sebelum diagih-agihkan wang, diasakkan dengan motivasi berbaur politik kepartian tertentu terlebih dahulu. Justeru mahu atau tak mahu, telinga para hadirin tak terlepas daripada menangkap pesan-pesan khusus meskipun sebahagian tak disukainya.

Saya terus bertanya Mat Ya. “Bagaimana reaksi orangramai yang hadir, bila hal-hal kepartian seperti itu disebut-sebut?” “Majoritinya tampak gelisah, tapi tetap menunggu, kerana wangnya belum lagi diberikan” kata Mat Ya.

Acara yang bermula jam 9.00 pagi sehingga jam 1.00 tenghari itu menurut Mat Ya, ramai dikalangan ibubapa berungut kerana majlis tidak berakhir dengan jamuan nasi gulai kawah seperti lazimnya bagi warga Kelantan yang sangat menitikberatkan soal makan minum bila tiba waktu makan tengahari. Pantang datuk nenek orang Kelantan, kalau dijemput ke sesuatu majlis sehingga waktu tengahari tak dijamu makan tengahari.

Berbeza dengan majlis anjuran PAS atau Kerajaan Negeri Kelantan yang diperintah PAS, pihak penganjur pasti tumbangkan seekor atau dua ekor lembu mengikut jangkaan kehadiran orangramai, dimasakan gulai kawah dan dijamu untuk makan tengahari. Yang hadir pun senang hati dan tak berungut.

Demikian budaya orang Kelantan. Berkebajikan tak semestinya dengan wang, bahkan dengan nasi gulai kawah juga. Kerana itu PAS diterima majoriti rakyat Kelantan kerana mereka bijaksana dalam memahami hati nurani rakyat Negeri Serambi Mekah.

Jamuan nasi juga melambangkan bahawa dalam diri penganjurnya bebas dari sifat keegoan dan sombong. Tua muda, miskin kaya, pemimpin dan yang dipimpin sama-sama makan nasi gulai kawah dengan pinggan kertas pakai buang. Semua itu diambilkira dan dinilai rakyat Kelantan.

Kadang-kadang kerana keegoan, hal-hal yang remeh dan temeh seperti ini terlepas pandang. Mungkin dalam hati sang panganjur, beri RM100 sudah memadai, justeru mereka merasakan tak perlu lagi menyediakan jamuan makan tengahari ala kadar. Namun, situasi dan kondisi di Kelantan tetap tak sama dengan tempat lain. Di Kelantan pangajur harus menyantuni publik sekali lipat dari negeri lain, jika UMNO/BN mahu menambat hati orang Kelantan.

Selanjutnya saya bertanya beberapa orang terutama pendukung PAS yang datang menerima wang bantuan anaknya; bagaimana pandangan politik selepas menerima bantuan Kerajaan Pusat itu? Jawapannya. “ Jangan menyangka kami boleh dibeli dengan material. Kami menerimanya kerana itu hak kami, dan mengundi juga hak kami. Kami bebas memilih parti mana yang disukai pada PRU Ke 13 nanti”.

No comments:

Post a Comment