Friday, November 4, 2011
Padang Arafat dan cinta Adam Hawa bersemi
Jika ada orang bertanya
Di planet bumi ini di mana tempat paling mengembirakan.
Jawapannya Mekah dan Madinah di musim haji.
Kenapa tidak di tempat lain?
Di tempat lain gembiranya berbeda
Seperti mimpi tak bermakna
Tidak di dua kota suci ini
Melihat fotonya saja
Air mata mengalir tanpa disedari
Seberkas kenangan akan terlahir.
Meskipun bertahun-tahun berlalu.
Terasa seperti baru semalam
Kemuncak ibadah haji ialah di Arafat
Aku masih ingat 6 tahun dulu
Sewaktu menjadi tetamu haji
Manusia berpakaian ihram
Bergerak dalam saf yang besar
Melewati tanah gersang berbukit gondol
Dengan satu matlamat - menyahut panggilan Ilahi
Arafat melambangkan awal kehidupan manusia di bumi
Di dalam satu riwayat Nabi Adam a.s dikatakan
Setelah turun ke bumi bertemu dengan Hawa di Padang Arafat
Di tanah gersang ini mereka saling berkenalan.
Adam turun ke bumi kerana diusir dari syurga
Ia mengingkari perintah Allah. Kenapa?
Bukankah hidup di Syurga berbantalkan kemewahan, kenikmatan
Ada sesuatu yang diinginkan Adam a.s di Syurga
Yang tak bisa diperolehinya
iaitu berkasih sayang dengan Hawa
Kerananya Adam sanggup meninggalkan Syurga
Sebagai gantinya Allah SWT meletakkannya dalam dunia
Yang penuh dengan penderitaan, ketamakan, pembunuhan
Itulah awal kehidupan manusia (Adam)
Yang memiliki keinginan suka memberontak
Adam diusir daripada Syurga. Ia kesepian.
Sedang dunia adalah penjara bagi dirinya
Ia menerima hukuman terhadap pemberontakannya
Lalu bertaubat dan taubatnya diterima Allah SWT.
Apakah hubungan haji dengan semua ini?
Haji melambangkan pertaubatan manusia
Termasuk kesedaran dirinya yang mencakup perasaan terasing dan terbuang
Sebagai akibatnya timbullah tekad untuk “kembali” kepada Allah.
Peralihan “Adam yang berada di syurga”
Menjadi “Adam yang berada di dunia”
Merupakan pencerminan dari karekter dan tingkah laku manusia pada zaman sekarang. Suka memberontak, agresif dan sering terjebat dengan bujukan syaitan dan wanita.
Percikan cinta yang pertama sekali dalam pertemuan Adam dengan Hawa
Menyebabkan mereka saling memahami.
Itulah petanda pertama dari pengetahuan!
Adam mengetahui isterinya mempunyai jenis kelamin yang berbeza
Tapi mempunyai naluri yang sama dengan dirinya
Adam bertemu dengan Hawa (yang memiliki jenis kelamin yang berbeza)
Mereka bertukar pendapat dan akhirnya saling memahami
Kehidupan “individual” mereka berakhir dengan terciptannya sebuah keluarga
Keluarga kecil itu kemudian menjadi besar dan terus membesar
Hari ini anak cucunya memenuhi setiap ruang muka bumi
Ibadat haji menjadikan diriku banyak berfikir tentang kebesaranMu
Ibadat haji tidak sekadar rukun, sebaliknya tersirat makna
Jika mahu ditulis seputar makna dan falasafahnya
Pasti tak akan habis dan pena kekeringan dakwat
Sesungguhnya berada di dua kota suci Mekah dan Madinah
Mengerjakan haji, pasti meninggalkan kesan yang mendalam
Setiap dilakukan sarat dengan falasafah bagi mereka yang mengetahuinya.
Rossem
5 November 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment