Sunday, December 27, 2015

Parti politik:Tidak seperti makan kacang, kopak kulit - telan.




Oleh: Rossem

Tahun 2015  Masehi  baru kita tinggalkan.   Bagaimana rindu sekalipun kepada tahun itu,  kita tak akan berjumpa lagi selepas ini, namun  apa-apa yang terjadi sepanjang tahun 2015, ada yang ditinggalkan dan ada dibawa ke tahun 2016, seterusnya sambung menyambung sehingga titik noktoh.

Hudud dijanjikan akan dibawa untuk kelulusan parlimen pada 2015, namun gagal. Parlimen menyenaraikannya  di tangga paling bawah,  sehingga Enekmen Jenayah Syariah II yang ditunggu-tunggu warga Kelatan agar segera direalisasikan di Negeri Serambi Mekah tak cukup masa untuk dibahaskan,  atau memang  parlimen sengaja berbuat demikian, wallah walam.   Kita tunggu tahun ini (2016)  untuk  mendapat persetujuan agar  undang-undang syariah  dapat dilaksanakan di Kelantan. Sultan Kelantan sudah lama perkenankan.

Tahun 2015 gelanggang  politik Malaysia panas. Dua perhimpunan agung parti Melayu terbesar  diadakan. Perhimpunan Agung Umno tanggal 8 – 12 Disember,  dan Muktamar Agung Pas kali ke 61 tanggal 6 Jun. Mukthamar Pas berkesudahan dengan parti Islam itu berpecah dua. Mohamad Sabu yang kalah di medan tempur mempertahankan jawatan  Timbalan Presiden yang disandangnya selama dua penggal bertindak keluar parti, seterusnya menubuhkan parti baru- Amanah bersama  rakan-rakannya yang digelar kelompok   profisional. Amanah  sudah pun bergerak mengumpul ahli di seluruh negara. Namun sambutannya setakat ini tidak begitu memberangsangkan. Ramai yang mengambil sikap tunggu dan lihat.

Perhimpunan Agung Umno  menyaksikan, pertama kali dalam sejarah, Timbalan Presiden tak dibenarkan berucap merasmikan perhimpuan sayap pemuda dan wanita.  Tan Sri Muhyiddin Yasin jadi penasaran, kemudian melepaskan geramnya berucap di bangunan kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di hadapan khalayak pengikutnya.

Kekalutan dalam rumahtangga Umno tampak sedikit  reda.  Ombak tak seganas dulu, namun rakyat masih belum puas hati selagi jawapan siapa dan mengapa wang sebesar RM2.6 bilion dimasukkan  ke dalam akaun peribadi.  Tun Dr Mahathir Mohamad juga seperti kehabisan isu. Apapun tunggu siasatan oleh SPRM.

Isu “Pas-Umno akan menjalin kerjasama politik” menjadi polemik berterusan dalam masyarakat, lebih-lebih lagi di kalangan pendokong Pas. Umun melihat, lewat ucapan, dan bahasa badan Presiden Pas, Tuan Guru Datuk Hadi Awang,  tak salah kalau orang ramai beranggapan  Pas-Umno akan berbaik.  Bagaimana bentuk  “berbaik” itu  tak diketahui.

Setiap kali isu itu berbangkit, respons daripada kepimpinan Pas ialah, hanya menjalin kerjasama antara kerajaan (pusat)  dengan kerajaan (negeri),  Kalau menjalin  kerjasama  antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri tak perlu dihebuhkan, memang dari dahulu, dalam beberapa aspek, kerjasama sudah terjalin. Kerajaan Pusat membina jambatan di Kelantan misalnya, sementara kerajaan negeri menyediakan tanah .

Rakyat bertanya tentang kerjasama politik.. Andai terjadi kerjasama politk  antara Pas-Umno , bagaimanakah bentuk kerjasama itu? . Apakah seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil DUN Cempaka bila penyandangnya Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia. Pada PRK itu UMNO tidak meletakkan calon kerana mahu  memberi laluan mudah kepada calon Pas. Hasilnya Pas berdepan dengan parti Bebas dan menang besar.

 Cakap-cakap mahu menjalin kerjasama politik antara dua parti Melayu terbesar  makin  menampakkan kebenarannya.  lebih ketara selepas Presiden UMNO, Najib Razak dan Presiden PAS, Hadi Awang berkongsi pentas  di majlis Multaqa Serantau Alumni Al Azhar Malaysia, 16 Disember 2015.

Pendokong Pas dari kelompok  “istiqomah” cuba menyakinkan kelompok yang mula goyang atau “kurang istiqomah”  bahawa maufakat politik antara Pas dan Umno tak akan berlaku. Kehadiran Hadi Awang di majlis itu atas kapalsiti beliau sebagai alumni Al Azhar. Tak lebih dari itu. Anehnya, tujuan penganjur, lewat resolusi yang diputuskan, antaranya menyeru kerjasama politik.

Sebahagian dari kalangan Pas terutama akar umbi memerahati dengan saksama tingkah laku dan tutur kata kepimpinan Pas.  Kenyataan-kenyatan  mereka dilihat ada yang menjurus ke arah kerjasama politik dengan Umno, seperti kenyataan  Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan pada mesyuarat Agung  PERKASA.  Kemudian dinafikan oleh beliau, namun,   kalau membaca skrip penuh wawancara beliau dengan wartawan , 70 peratus menjurus ke arah itu. Justeru penafian yang dibuat  tak dapat memadamkan persangka sebahagian pendokong Pas. Kalau akhbar sengaja putarbelitkan berita, saman saja.

PAS lewat lidah presidennya, mengambil pendekatan  mahu menjadi pembangkang yang menasihati kerajaan. “Ramai kalangan kita terlalalu bersemangat sehingga mahu membangkang  semata-mata, atau terpengaruh dengan musuh Islam yang mencipta provokasi” kata Hadi Awang.  Ayat untuk merampas Putrajaya tak kedengaran lagi.

Kita tengelam dengan bencana zaman orang-orang yang  jahil menulis dan bercakap tanpa ilmu di bawah langit tanpa sempadan. Perjuangan kita bukan akal tanpa sempadan. Kita mengikut sempadan Allah. Kata Hadi Awang diakhir  kenyataannya yang disiarkan dalam akhbar Harakah.

Natijah daripada kata-kata beliau: Setiap rakyat yang cintakan kehidupan yang lebih aman, berfikirlah dari hati nurani paling dalam, jangan berfikir dari luar tempurung kepala. Politik Malaysia ini rumit, tidak seperti makan kacang, kopak kulit  terus telan. Wajarkah Pas terus menerus bermusuh dengan Umno? dan Wajarkah Umno terus menerus bermusuh dengan Pas?.

Lalu teringat kisah  Al Halaq, sang sufi terkenal, Suatu hari ia ditangkap di atas perintah khalifah. Saat  para algonjo mahu memenggal kepalanya, ia berdoa “ Ya Allah, Ampunkanlah mereka yang akan membunuhku, Sesungguhnya mereka itu tidak tahu, sepertimana aku tahu, kalaulah mereka tahu sepertimana aku tahu betapa cintanya aku kepadaMU, nescaya mereka tak akan membunuhku. Olehitu ampunilah mereka Ya Allah...”

Demikian juga dengan Tuan Guru Haji Hadi Awang, Sebahagian yang  menentang beliau, kerana mereka itu tak tahu, sepertimana Tuan Guru tahu. Kalau mereka tahu, tentu mereka bersetuju dan setia kepada kepimpinannya.

Sunday, December 13, 2015

Seloka Perhimpunan Agung Umno 2015



Oleh: Rossem

Perhimpunan Agung Umno 2015 (PAU) tamatlah sudah,
perwakilan  pulang ke masing-masing daerah,
yang dapat  berucap melepaskan  geram serakah,
yang dilarang  berucap menjadi tak tentu arah.

Yang menegur pemimpin dikatakan bersalah
disuruh minta maaf kalau tak mahu terus kena marah
itulah antara bunyi  yang kedengaran disegenap penjuru arah
dalam dewan, televisyen, radio, suratkhabar dan kedai kopi Pakcu Lah.

Ucapan dasar presiden bermain kata-kata
ucapan pengulungan begitu  juga
hakikatnya  demi mempertahankan diri belaka
dari serangan mantan bendahara
yang dipecat kononnya  menderhaka
dek perbezaan   idea.

Rakyat jelata mengikuti ucapan presiden tak berkelip mata
didengari, diamati  satu persatu akan kata-kata
tetapi, rakyat tak telan secara membabi buta
diangkat ditimbang dengan neraca.

Yang menyusahkan rakyat terutama  tinggal di kota
tambang LRT, ERL, monorel, komuter naik sekali ganda
ada juga disentuh dalam ucapan tuan paduka
tapi yang menaikkan tambang  katanya bukan saya
mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad punya angkara
tahun 1997 mereka sudah janji setia
untuk menaikkan tambang begitu rupa.

Rakyat marah tak terkira
untuk mengejukkan hati berkata ia  
Potongan 30 peratus untuk OKU dan warga tua
Walhal ramai naik komuter orang muda
Alahai lucunya pemimpin kita.

Tahun 2016 hampir tiba
hidup rakyat semakin hiba
subsidi beras, elektrik, minyak masak serta gula
khabarnya ditarik balik belaka.

alasanya,  harga minyak pasaran dunia jatuh terlungkup
perbandaran negara pun lingkup
nak bayar gaji kakitangan awan pitih tak cukup
namun, pintu ikhtiar masih belum tertutup
tarik subsidi, hilanglah redup
rakyat susah ...pandai-pandailah nak hidup.

Tapi ingatlah, temberang sudah pecah
rakyat hidup resah dihimpit pelbagai masalah
bukan kerana perdana menteri sekarang buat salah
hakikatnya Kerana UMNO /BN  memerintah
sesiapa pun ketua;  pasti tak berubah.

******

Ucapan presiden  berapi-api
macam terkena cili padi
kering tengkok dan gusi
minum air berkali-kali.

Setiap  perkataan dilontar
tangan macam pendekar
gemuruh  tepuk tangan bergegar
musuh takut terketar-ketar
atau ketawa mendengar kelakar.

Pendekar bukan sebarang pendekar
Pantang berundur walau sebentar
biar diasak  pendekar wak mustar
Pantang anak bugis dicabar.

bukan saja pendekar Mustar
pendekar kuti  juga dikuntar
tetapi  liat macam daging kerbau bakar
tak sampai hati pula nak cakar.

*******

Sebelum Melayu jadi pasmbor
tali silaturahim dihulur
agar yang  pecah bertarabur
boleh hidup sedapur.

Olehitu, berfikirlah wahai  lawan
berdosa kalau tak sambut salam
jangan segan jangan malu kawan
kita semua nyawa-nyawa ikan.

Namun bukan mudah hidup bersatu
aku masak belacan kamu suka budu
aku suka singkong kamu suka keju
maka ubatnya tak lain; sabar selalu.

Pernah  suatu ketika  tidur sekelambu
mula-mula baik; maklumlah pengantin baru
empat lima tahun kemudian baru tahu
badan si anu berbau
lalu diterajang  dari kelambu terus ke pintu
pulang ke rumah mak bapak malam pukul satu
membawa malu.

Kalau benar-benar  mahu bersatu
jangan buat begitu
setiap orang ada perasaan  malu
pasangkan nawaitu
keikhlasan itu nombor satu
jangan auta,  jangan tipu
demi penyatuan Melayu
kalau tidak Melayu terus layu.


Tapi perangai kena ubah
yang buruk buang dalam tong sampah
atau,  kalau rasa susah
lebih baik  tak payah.

Harga PAS sekarang  semakin tinggi
ibarat anak dara sunti
ramai yang berkenan di hati
Umno nak buat isteri
PKR  tak bagi
kata Setiausaha Agung Rafizi
tanpa PAS kita tak akan ke Putrajaya PRU14 nanti.