Wednesday, June 30, 2010

Bila Tok Guru Nik Aziz berbicara tentang seni




Oleh: Rossem

Malam itu, khalayak yang datang menonton persembahan budaya ternyata ramai sekali. Majoritinya bersila di atas tanah dengan beralaskan kertas akhbar dan ada yang langsung bersila beralaskan tanah berpasir tanpa mempedulikan bersih atau kotor, kecuali beberapa orang VIP yang menjadi tetemu majlis, duduk di sofa dan kerusi yang disediakan dengan santai. Diantaranya, di sofa barisan tengah ialah Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia, Tuan Guru Nik Abdul Aiz Nik Mat, Ketua Lajnah Seni dan Budaya PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan penyair terkenal, Dinsman.

Malam itu, mungkin ramai yang datang kerana bertepatan dengan Muktamar Tahunan PAS ke 56. Siangnya di PUTIK perwakilan berbahas mencari titik temu perjuangan, diolah, diadun dan digentel sampai lumat, untuk mencari formula terbaik untuk merealisasikan sebuah matlamat demi menegakkan Islam yang syumul di negara Malaysia yang tercinta ini. Manakala malamnya dihidangkan dengan hiburan Islami sebagai memenuhi keperluan rohani, naluri dan fitrah manusia yang sama sekali tidak dapat dipisahkan dengan elemen hiburan dalam kehidupan mereka.

Malam itu, terasa seperti berada di dalam masjid, sedang mengikuti kuliah agama oleh para dai’ terkenal yang bijak berbicara. Hati nurani merasakan demikian, walhal yang sedang saya tonton hanya sebuah persembahan nasyid dan bacaan puisi. Itu saja! Namun olehkerana nasyid dan puisi itu, lirik-lirik dan bait-baitnya mengagungkan Allah SWT, memuji Rasulullah saw, justeru sangat menyentuh hati. Memberikan natijah yang baik sesuai dengan keperluan ummah hari ini- mahu mendekatkan dirinya dengan Allah SWT dengan cara dan kaedah yang sesuai dengan naluri dan fitrah, yakni lewat seni dan budaya.

Hari ini yang tampak di mata umum ialah seni yang melepaskan diri dari konteks sosial-budaya iaitu “seni liar” yang hanya boleh hidup dalam duniannya sendiri, sempit dan kalut. Mereka hanya melihat dunia dari apa yang “dihasilkan”, bukan apa yang “diperlukan” manusia. Dia melihat seni sebagai proses kreatif manusia semata-mata, bukan sebagai ikhtiar manusia untuk memaknai ayat-ayat Allah SWT di muka bumi. Seni yang memiliki etika sosial adalah seni yang mempunyai hubungan vertikal dengan Yang Maha Agung, Allah SWT.

Apa yang berlaku di sekitar kita sekarang ialah seni yang “meludahi” muka masyarakat, seni yang menonjolkan paha, pusat dan dada wanita. Seni yang memalingkan muka dari “protes” masyarakat dengan tetap bersekukuh dengan paradigma kebebasan berekspresi adalah segala-galanya. Atau dengan kata lain; seni yang seperti itu adalah seni dan budaya yang jauh menyimpang dari etika Islam.

Sedangkan seni menurut Islam ialah sebagai satu wahana untuk memberi “ruh” Islam pada seni tersebut. Islam sebagai sumber nilai akan memberi warna pada setiap kreativiti seni. Menerapkan unsur-unsur kebenarn, kebaikan dan keindahan, itulah seni Islam. Sebaliknya seni yang berlawanan dengan nilai-nilai kebenaran, kebaikan dan keindahan , otomatis bukan seni Islam.

Islam melarang wanita menyanyi di depan publik di mana para penontonnya terdiri lelaki. Jika mengabaikan larangan itu maka pasti ia bukan sebuah seni Islam yang harus dipertahankan. Justeru dalam hal-hal menggawal aktiviti seni hiburan, kita salut kapada kepimpinan ulamak yang menerajui Negeri Kelantan, kerana sejak mengambilalih pemerintahan negeri itu 20 tahun lalu telah menggubal enekmen hiburan menurut Islam- melarang artis wanita menyanyi di depan umum, sehingga sampai hari ini peraturan itu dipatuhi, bahkan telah membudayai masyarakat Negeri Serambi Mekah.

Para penonton juga harus mengasingkan tempat duduk antara lelaki dengan perempuan saat menonton persembahan. Walaupun peraturan ini sedikit sukar untuk dipraktikkan kerana diantara penonton itu terdapat pasangan suami isteri berserta anak-anak mereka namun kempimpian ulamak sudah pun mengubal peratuaran, tinggal lagi kesukaran melakanakannya kerana sebab-sebab seperti dinyatakan.

Pada malam itu, Tok Guru menyebut sepintas lalu tentang seni Islam. Walaupun ringkas tapi makna dan maksudnya sangat mendalam: al-Quran itu sendiri merupakan mukjizat paling agung terutama keindahan bahasanya, sehingga melumpuhkan bangsa Arab dengan keindahan bayan, nazhan dan uslubnya.

Bahkan al-Quran itu jika dibaca dengan baik sesuai dengan tajwid dan lagu serta suara yang merdu akan memberi rasa keindahan yang sangat menakjukan, sehingga memberi rasa kesejukan, kesegaran, ketenteraman dan kedamaian dalam jiwa serta mencerahkan fikiran.

“PAS juga seni…” Kata Tok Guru. Kerana apa-apa juga tindak tanduk yang dipraktikkan PAS selama ini dalam mengajak orangramai menyertai parti itu tidak pernah menggunakan kekerasan, ugutan dan paksaan. PAS melakukannya dengan pendekatan “seni” yang tinggi, yakni “seni memujuk”. Tidak seperti parti nasisionalis UMNO, melakukannya dengan cara menyogok wang, menabur janji, ugut akan ditukarkan atau dibuang kerja. Bahkan yang lebih berat, ditangkap di bawah ISA!. Itu membuktikan UMNO tidak tahu seni.

Malam itu juga, Tok Guru merasmikan pelancaran Lajnah Seni dan Budaya PAS Pusat, diketuai Dr. Dzulkefly Ahmad.

Tuesday, June 22, 2010

Kenapa kaum Cina Kelantan sokong Tok Guru?


Oleh: Rossem
Satu-satunya di Malaysia negeri yang paling unik dalam soal hubungan antara kaum ialah Kelantan. Lihat saja di bandar-bandar utama seperti Kota Bharu, Pasir Mas, Kuala Krai, Machang dan bandar-bandar jajahan lain, orang Melayu minum kopi dan makan nasi berlauk atau nasi kerabu di restoran-restoran Cina sudah menjadi lumrah, bahkan sudah menjadi tradisi masyarakat di sini sejak sekian lama.

Keakraban hubungan antara orang Melayu - Cina bukan saja terbatas di kedai-kedai kopi atau di jalanan, malah boleh disaksikan di pasar-pasar besar seperti Pasar Siti Khatijah. Mereka berjualan sebelah menyebelah antara satu sama lain dengan aman dan saling hormat menghormati.

Di jalan Suara Muda, persimpangan Jalan Dato’ Pati atau lebih dikenali dengan Dataran Ilmu terdapat sebuah pasar tradisi kaum Cina yang wujud sejak puluhan tahun dan masih beropersi hingga sekarang. Pasar ini di kalangan orang Cina dikenali dengan nama Pasar Pokok Pinang. Disamping menjual sayuran, ikan dan barangan keperluan dapur, juga daging Babi. Dari jauh sudah nampak daging kerbau pendek itu bergantungan. Namun orang Islam Kelantan tidak pernah memprotes kewujudan pasar tersebut, walhal di sebelahnya adalah stesen kereta sewa yang sentiasa dipenuhi pengunjung, manakala pada setiap pagi Jumaat pula ribuan umat Islam membanjiri kawasan tersebut untuk mengikuti kuliah mingguan yang disampaikan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pernah orang mengatakan, kalau berkunjung ke Negeri Serambi Mekah, orang Cina tidak akan dapat merasaikan keenakan makanan tradisional kegemaran mereka iaitu Bah Ku Teh, kerana makanan ini tidak dibenarkan dijual di sini disebabkan bahannya daripada daging babi. Tuduhan itu tidak tepat. Datanglah ke Kelantan dan nikmatilah hidangan Bah Ku Teh di restoran-restoran Cina di sini.

Pembinaan rumah-rumah ibadat juga dibenarkan oleh Kerajaan Kelantan yang dipimpin ulamak. Rumah-rumah ibadat atau tokong bebas menjalankan aktiviti keagamaan tanpa ada sekatan oleh pemerintah yang dipimpin oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Antara tokong yang terbesar ialah Tokong Mek yang berusia 200 tahun terletak di perkampungan Cina terbesar di Kelantan iaitu di Kg. Cina, Kota Bharu. Selain itu, di kampung yang sama terdapat dua buah lagi tokong, iaitu Tokong Na Eng Kong dan Tokong Leng Eng Tian. Di Jalan Hamzah juga terdapat sebuah tokong bernama Tokong Tau Mu Kong.

Dengan kata lain, di setiap bandar jajahan atau kampung-kampung yang ramai dihuni masyarakat Cina terdapat rumah ibadat mereka. Contohnya yang sedang dalam pembinaan di Pasir Tumboh, di mana lokasinya sangat menarik, di tepi Sungai Pasir Tumboh.

Pada awal pemerintahan PAS di Kelantan (1990), kaum Cina mahukan bangunan Dewan Perniagaan Cina yang terletak di Jalan Kebun Sultan diubahsuai pada ruang depannya kepada konsep yang berekabentuk tradisional Cina. Kerajaan PAS Kelantan kemudiannya mengizinkan, sedangkan sebelum PAS mengambilalih pemerintahan negeri itu, kaum Cina sudah beberapa kali memohon kebenaran, namun tidak dibenarkan oleh kepimpinan BN-UMNO ketika itu. Kerajaan yang dipimpin Tok Guru membenarkan atas dasar tidak menjadi satu kesalahan kaum Cina mengunapakai rekabentuk tradisional budaya mereka. Kerana masjid-masjid di Cina juga dibina berkonsepkan senibina Cina, justeru kenapa hal yang serupa disekat kerajaan BN-UMNO?

Sebagai menghargai keagungan serta kehebatan senibina tradisi Cina yang menjadi kemegahan mereka sejak turun temurun, kerajaan Kelantan telah membina sebuah masjid yang berkonsepkan senibina Cina di Rantau Panjang. Masjid yang dikenali dengan Masjid Biejing itu sudah siap sepenuhnya dan sudah digunakan untuk solat sejak beberapa tahun lalu. Imam juga didatangkan dari Yunan, China. Sementara akitek dan pekerja-pekerja mahir yang membangun masjid itu didatangkan khusus dari China dan Uzbektan.

Demikian juga dengan praktik budaya lainnya, kaum Cina bebas mempersembahkan budaya mereka seperti tarian naga dan sebagainya. Bahkan setiapkali sambutan Tahun Baru Cina, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, exco-exco dan Ahli-Ahli Undangan Negeri serta kepimpinan yang lain turut hadir meraikan sambutan itu.

Sesuatu yang sangat menarik dan mungkin tidak dapat dinikmati di tempat-tempat lain ialah, Kerajaan Kelantan juga sering menganjurkan perjumpaan-perjumpaan tertentu dengan kaum Cina di Kelantan dalam majlis-majlis keraian yang turut dihadiri bersama orang Melayu, Siam dan India. Sanario ini tentunya dapat mengakrab lagi hubungan antara kaum di bumi warisan ulamak ini.

Bahkan membuat asyura, iaitu sejenis bubur tradisonal orang Melayu untuk menyambut setiap kali bulan Muharam juga disertai oleh kaum Cina, malah orang Cina sendiri yang membuatnya.

Kaum Cina juga bebas untuk memberi pendidikan kepada anak-anak mereka, kerana di Kelantan banyak terdapat sekolah aliran Cina. Antara sekolah tertua dan terbesar ialah Sekolah Rendah / Menengah Chung Hwa dan Chung Chin di Kota Bharu. Kerajaan Negeri Kelantan juga komited membantu dengan meluluskan tanah seluas 1,000 ekar kepada sekolah persendirian Chung Hwa di Kok Lanas, Ketereh. Kerajaan Kelantan juga tidak pernah menceroboh hak setiap kaum atau merampas tanah kepunyaan mereka.

Di sektur perniagaan dan perekonomian, Kerajaan Kelantan tidak pernah menyekat aktiviti mereka. Kaum Cina bebas menjalankan perniagaan masing-masing, kecuali berhubungkait dengan perjudian dan pusat-pusat hiburan. Kerana aktiviti yang merosakkan itu diharamkan di Negeri Serambi Mekah. Sementara orang Cina (bukan Islam) masih dibenarkan minum arak di rumah kediaman mereka, di restoran Cina atau di tempat bukan tempat awam.

Kemimpinan ulamak sangat prihatin dan telah melakukan yang terbaik untuk kesejahteraan masyarakat Cina. Mengambil berat segala aspek kehidupan mereka. Membantu mengekalkan amalan budaya dan adat resam mereka terus menerus.
Untuk tujuan itu, Menteri Besar Kelantan, dengan dibantu seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya umum (DUN Kota Lama) dilantik khusus untuk mengurus masyarakat Cina dan non-Muslim. Tokoh yang tidak asing lagi bagi kuam Cina Kelantan itu iaitu YB Dato’ Haji Anuar Tan.

Seperti pernah diucapkan YB Dato’ Haji Anuar Tan “ Kaum Cina di Kelantan boleh menerima dasar Membangun Bersama Islam yang praktikkan di negeri ini kerana disamping dasar itu, ternyata orang-orang Cina bebas menjalankan aktiviti perniagan, menganut agama tradisi dan mengamalkan budaya sendiri. Contoh penerimaan kaum Cina ini ialah, pada PRU ke 12, di DUN Kota Lama, kita menang sampai 5,000 majoriti. Ini gambaran jelas bahawa mereka cukup puas hati dengan corak pentadbiran yang dipimpin Tok Guru”.

Peranan YB Haji Anuar Tan adalah sebagai jambatan yang menghubungkan antara Kerajaan Negeri dengan komuniti kaum Cina dan lain-lain kaum minoriti negeri ini agar kehidupan antara kaum di negeri Serambi Mekah terus harmonis dan saling bantu mambantu.

Untuk mengekalkan terus menerus kerharmonian antara kaum dan memudahkan menyampaikan sebarang bentuk bantuan, Kerajaan Kelantan, sejak mengambilalih pemerintahan negeri ini 20 tahun lalu (Oktober 1990) telah melantik penghulu- pemghulu tanpa mukim di seluruh Kelantan dari kalangan kaum Cina, Siam dan India. Sekarang jumlahnya 34 orang. Juga melantik ahli-ahli Majlis Kerajaan Tempatan dan lantikan politik bertugas di Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN).

Skim Takaful Kifalah (warga emas) untuk rakyat Kelantan yang merusia 60 tahun ke atas, yang diperkenalkan kerajaan negeri bertujuan membantu ahli keluarga sekiranya meninggal dunia, juga tidak mengabaikan kaum Cina dan lain-lain kaum minoriti. Mereka mendapat hak yang sama dengan orang Melayu iaitu RM2,500, bertujuan meringankan beban keluarga ketika urusan pengkebumian jenazah.

Selain itu, kaum Cina juga dilibatkan dengan Ladang Rakyat dan ap-apa juga pemberian dari kerajaan negeri seperti bantuan saguhati kepada pelajar-pelajar cemerlang.

Maka kita pun bertanya, untuk apa lagi kaum Cina, Siam dan India di Kelantan memerlukan BN-UMNO memerintah Negeri Serambi Mekah, kerena segala-galannya diperolehi dari Kerajaan PAS?

Tuesday, June 8, 2010

Lanun tiada lagi di Laut Caribbean tapi di Laut Mediterranean

Oleh: Rossem


Di sana sini rakyat Malaysia meneriakkan “pergi jahanam Zionis Israel dan Selamatkan Palestin”. Para pemimpin politik Pakatan Rakyat khususnya PAS mengerakkan ribuan pendukungnya di seluruh negara berkumpul di lapangan untuk menyuarakan kemarahannya terhadap tindakan biadap tentera Zionis menyerang kapal bantuan misi kemanusian yang sedang belayar menuju Gaza di Laut Mediterranean. Di Kuala Lumpur lebih 20 ribu rakyat membanjiri perkarangan kedutaan Amerika Syarikat selepas usai solat Jumaat, 4 Jun. Turut melakukan demonstrasi ialah NGO-NGO. Tidak ketinggalan UMNO.


“Kita boikot semua produk Israel, dari minuman seperti kopi, makanan segera, air berkarbonat dan perkhidmatan yang terkait dengan negara Yahudi” Laung Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin. Bicaranya lantang, bersemangat dan berapi. Puluhan produk Israel disebut-sebut untuk mengingatkan setiap rakyat Malaysia agar segera memulau produk dari negara rejim ganas itu. Yang tidak disebut hanya APCO. (Apco Worldwide, syarikat perunding yang dikatakan pro Israel dan berkhidmat untuk Malaysia).


Lalu beberapa teman mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) meminta saya melukis kartun khusus tentang kehipokritan pemimpin tertentu. Menurutnya, selagi kita merelakan APCO masuk ke rumah kita, tidur sebantal dengan kita, maka apalah gunanya berdemonstrasi dan berteriak yeh yeh mengutuk Israel. Kerana perbuatan itu hanya mengundang ketawa publik.


Atau mungkin juga sebuah sandiwara!


Seperti pernah terjadi suatu masa dulu, ketika era perang dingin sedang memuncak. Ada sebuah negara Arab, pada siang harinya , di hadapan khalayak rakyak mengutuk keras Amerika Syarikat. Pada malam harinya, sang pemimpin menelefon presiden Amerika Ayarikat memberitahu “Tuan Presiden, saya lakukan disiang tadi cuma lakonan. Saya terpaksa lakukan seperti itu (kutuk AS) agar rakyat terus menerus menyokong saya dan saya dapat memerintah lebih lama”.


Selanjutnya, lewat media, kita dapat melihat aksi para penunjuk perasaan meluahkan rasa benci dan geram yang tidak terhingga kepada komando rejim Zionis yang sangat brutal saat mendepani para aktivis misi keamanan internasional ketika menawan kapal Mavi Marmara yang sedang belayar menuju Gaza. Reaksi para demonstration adalah berbagai, ada yang menjulang sepanduk, berteriak, menghayung penumbuk dan membakar bendera bintang berbucu enam- Israel. Kebencian itu diluahkan secara spontan terhadap sebuah rejim yang tidak berperikemanusian.


Tiada semburan gas pemedih mata atau tangkapan dilakukan polis seperti berlaku kepada penunjuk perasan lain!


Di Kota Bharu, kurang lebih dua ribu orang berkumpul di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV sejak awal pagi Jumaat tanggal 4 Jun. Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat sepatutnya memberi kuliah mingguan di Dataran Ilmu pada pagi itu, namun telah memindahkan lokasi kuliah ke Dataran Stadium, sekaligus melancarkan protes besar-besaran, mengisi program itu dengan ceramah berkaitan dengan Palestin, baca puisi dan solat hajat berjamaah.


Sehari sebelum itu saya telah diminta panitia menjemput Dinsman, sosok pemusi terkenal tanahair untuk mengklamasikan sajak khusus tentang Palestin pada acara itu. Beliau sampai ke Kota Bharu sebelah malamnya, walhal, Dinsman sudah terikat dengan sebuah lagi program baca sajak di Rumah Pena, Kuala Lumpur pada keesokan malamnya, namun kerana semangat dan demi rakyat Palestin yang dizalimi, juga kerana jemputan Tok Guru, beliau sanggup ke Kelantan.


Dan pada pagi yang cerah, di hadapan ribuan muslimin dan muslimat, di posisi yang sangat hampir dengan Tok Guru, Dinsman membaca puisi dengan penuh semangat sambil berdiri. Khalayak pendengar terpaku seketika.


Pada bait pertama puisinya beliau membaca sepotong ayat al-Quran yang bermaksud “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan reda kepadamu sehingga engkau mengikut agama mereka. Katakanlah sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk sebenar. Sekiranya engkau mengikut kemahuan mereka setelah mengetahuinya. Tiadalah lagi untukmu perlindungan Allah dan pertolongan-Nya. (Q.Surah al-Baqarah:120)


Tiada bunyi laungan dan teriakan keras orangramai mengutuk Israel seperti tempat-tempat lain pada pagi itu. Ternyata di sini tidak ada istilah Emosional. Tidak ada histeria. Orang Kelantan sedar, untuk apa laungan keras, untuk apa hingar bingar, sedangkan dunia sudah lama pekak tuli dengan isu kezaliman Zionis terhadap rakyat Palestin. Dunia sudah terlena di ribaan Amerika Syarikat.


Sebaik-baiknya umat Islam mengadu langsung pemasalahan mereka kepada Allah SWT Yang Maha Berkuasa. Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Menyedari hakikat itulah makanya pada pagi itu, usai kuliah Tok Guru semua yang hadir bersolat hajat berjamaah. Tok Guru sendiri mengimami solat. Diakhiri dengan doa panjang sekitar 20 minit. Di penghunjung doa, suara Tok Guru tersekat-sekat dengan isak tangis. Majlis pada pagi itu terasa keberkesanannya, terasa tersentuh kerohaniannya berbanding dengan teriakan dan laungan kutukan yang keras dan berapi tapi kakikatnya kosong.


Pada pagi itu, Abdul Hadi, seorang wakil Palestin yang juga turut berucap memberitahu bahawa Turki akan bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan rejim Israel sebagai memprotes serangan komondo Israel ke atas kapal misi bantuan yang diketuai Turki. Mendengar itu, Israel terus menghubungi pemerintah Turki, memujuknya agar tidak memutuskan hubungan diplomatik. Namun Turki yang dipimpin Abdullah Gul mengenakan syarat yang berat, salah satunya, Israel hendaklah memohon maaf kepada Turki secara terbuka dan menyerahkan penjenayah kemanusian itu kepada mahkamah antarabangsa untuk diadili.


Ketika api kemarahan sedang marak, tiba-tiba terbaca sebuah berita; Seorang Rabbi Yahudi yang anti Israel dari kelompok Nature Karta mengecam Zinosme dan menyatakan lebih baik tinggal di bawah kekuasaan dan hukum Islam daripada di Israel. Mereka merasakan, datuk nenek mereka lebih aman tinggal bertahun-tahun dalam perlindungan Khilafah, terutama dari zaman Nabi Muhamad saw sampai Ali bin Abi Tholib.


Membaca itu, hati kita pun sejuk!