Wednesday, June 30, 2010

Bila Tok Guru Nik Aziz berbicara tentang seni




Oleh: Rossem

Malam itu, khalayak yang datang menonton persembahan budaya ternyata ramai sekali. Majoritinya bersila di atas tanah dengan beralaskan kertas akhbar dan ada yang langsung bersila beralaskan tanah berpasir tanpa mempedulikan bersih atau kotor, kecuali beberapa orang VIP yang menjadi tetemu majlis, duduk di sofa dan kerusi yang disediakan dengan santai. Diantaranya, di sofa barisan tengah ialah Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia, Tuan Guru Nik Abdul Aiz Nik Mat, Ketua Lajnah Seni dan Budaya PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan penyair terkenal, Dinsman.

Malam itu, mungkin ramai yang datang kerana bertepatan dengan Muktamar Tahunan PAS ke 56. Siangnya di PUTIK perwakilan berbahas mencari titik temu perjuangan, diolah, diadun dan digentel sampai lumat, untuk mencari formula terbaik untuk merealisasikan sebuah matlamat demi menegakkan Islam yang syumul di negara Malaysia yang tercinta ini. Manakala malamnya dihidangkan dengan hiburan Islami sebagai memenuhi keperluan rohani, naluri dan fitrah manusia yang sama sekali tidak dapat dipisahkan dengan elemen hiburan dalam kehidupan mereka.

Malam itu, terasa seperti berada di dalam masjid, sedang mengikuti kuliah agama oleh para dai’ terkenal yang bijak berbicara. Hati nurani merasakan demikian, walhal yang sedang saya tonton hanya sebuah persembahan nasyid dan bacaan puisi. Itu saja! Namun olehkerana nasyid dan puisi itu, lirik-lirik dan bait-baitnya mengagungkan Allah SWT, memuji Rasulullah saw, justeru sangat menyentuh hati. Memberikan natijah yang baik sesuai dengan keperluan ummah hari ini- mahu mendekatkan dirinya dengan Allah SWT dengan cara dan kaedah yang sesuai dengan naluri dan fitrah, yakni lewat seni dan budaya.

Hari ini yang tampak di mata umum ialah seni yang melepaskan diri dari konteks sosial-budaya iaitu “seni liar” yang hanya boleh hidup dalam duniannya sendiri, sempit dan kalut. Mereka hanya melihat dunia dari apa yang “dihasilkan”, bukan apa yang “diperlukan” manusia. Dia melihat seni sebagai proses kreatif manusia semata-mata, bukan sebagai ikhtiar manusia untuk memaknai ayat-ayat Allah SWT di muka bumi. Seni yang memiliki etika sosial adalah seni yang mempunyai hubungan vertikal dengan Yang Maha Agung, Allah SWT.

Apa yang berlaku di sekitar kita sekarang ialah seni yang “meludahi” muka masyarakat, seni yang menonjolkan paha, pusat dan dada wanita. Seni yang memalingkan muka dari “protes” masyarakat dengan tetap bersekukuh dengan paradigma kebebasan berekspresi adalah segala-galanya. Atau dengan kata lain; seni yang seperti itu adalah seni dan budaya yang jauh menyimpang dari etika Islam.

Sedangkan seni menurut Islam ialah sebagai satu wahana untuk memberi “ruh” Islam pada seni tersebut. Islam sebagai sumber nilai akan memberi warna pada setiap kreativiti seni. Menerapkan unsur-unsur kebenarn, kebaikan dan keindahan, itulah seni Islam. Sebaliknya seni yang berlawanan dengan nilai-nilai kebenaran, kebaikan dan keindahan , otomatis bukan seni Islam.

Islam melarang wanita menyanyi di depan publik di mana para penontonnya terdiri lelaki. Jika mengabaikan larangan itu maka pasti ia bukan sebuah seni Islam yang harus dipertahankan. Justeru dalam hal-hal menggawal aktiviti seni hiburan, kita salut kapada kepimpinan ulamak yang menerajui Negeri Kelantan, kerana sejak mengambilalih pemerintahan negeri itu 20 tahun lalu telah menggubal enekmen hiburan menurut Islam- melarang artis wanita menyanyi di depan umum, sehingga sampai hari ini peraturan itu dipatuhi, bahkan telah membudayai masyarakat Negeri Serambi Mekah.

Para penonton juga harus mengasingkan tempat duduk antara lelaki dengan perempuan saat menonton persembahan. Walaupun peraturan ini sedikit sukar untuk dipraktikkan kerana diantara penonton itu terdapat pasangan suami isteri berserta anak-anak mereka namun kempimpian ulamak sudah pun mengubal peratuaran, tinggal lagi kesukaran melakanakannya kerana sebab-sebab seperti dinyatakan.

Pada malam itu, Tok Guru menyebut sepintas lalu tentang seni Islam. Walaupun ringkas tapi makna dan maksudnya sangat mendalam: al-Quran itu sendiri merupakan mukjizat paling agung terutama keindahan bahasanya, sehingga melumpuhkan bangsa Arab dengan keindahan bayan, nazhan dan uslubnya.

Bahkan al-Quran itu jika dibaca dengan baik sesuai dengan tajwid dan lagu serta suara yang merdu akan memberi rasa keindahan yang sangat menakjukan, sehingga memberi rasa kesejukan, kesegaran, ketenteraman dan kedamaian dalam jiwa serta mencerahkan fikiran.

“PAS juga seni…” Kata Tok Guru. Kerana apa-apa juga tindak tanduk yang dipraktikkan PAS selama ini dalam mengajak orangramai menyertai parti itu tidak pernah menggunakan kekerasan, ugutan dan paksaan. PAS melakukannya dengan pendekatan “seni” yang tinggi, yakni “seni memujuk”. Tidak seperti parti nasisionalis UMNO, melakukannya dengan cara menyogok wang, menabur janji, ugut akan ditukarkan atau dibuang kerja. Bahkan yang lebih berat, ditangkap di bawah ISA!. Itu membuktikan UMNO tidak tahu seni.

Malam itu juga, Tok Guru merasmikan pelancaran Lajnah Seni dan Budaya PAS Pusat, diketuai Dr. Dzulkefly Ahmad.

No comments:

Post a Comment