Monday, July 12, 2010

Bolehkah Melayu Bersatu?

Oleh: Rossem

Khalayak yang hadir mendengar Wacana; “Bolehkah Melayu bersatu?”
rata-rata berbangsa Melayu. Dari tempek sorak dan gaya ejakannya
pasti mereka adalah orang Melayu. Kerana ejakan atau boo saat panelis
berbahas merupakan “trade mark” budaya kita. Bila kita tidak
menyenangi atau opininya tidak cocok dengan selera kita maka “boo”
adalah ungkapan paling tepat dalam menterjemahkan isi hati.

Tajuk yang dipilih untuk dibahas sangat releven dengan situasi,
kondisi dan posisi bangsa Melayu pasca pilihan raya
umum ke 12 (2008). Orang Melayu dikatakan berpecah akibat daripada
pegangan politik yang berbeza. Akibatnya bangsa yang sepatutnya
menjadi ketuanan ini tidak dihormati lagi oleh non-Melayu. Di atas
kesedaran itulah makanya wacana sedemikian berlangsung pada malam tanggal
10 Julai 2010, di Balai Islam, Kota Bharu.

Dewan yang sesak dengan khalayak itu, yang sememangnya agak panas
meskipun berhawa dingin kemudian dipanaskan lagi dengan ucapan-ucapan
empat orang panelis iaitu Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid
Yusof Rawa (PAS), Pengerusi Biro Agama Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Mohd. Affandi Yusof (UMNO), Mantan Mufti Perlis, Dr Mohd.
Asri Zainal Abidin, dan Panel Pemikir JASA, Lokman Nor Adam (UMNO), sementara Prof Madya Dr. Mohamad Agus Yusof sebagai moderator .

“Kalau bangsa Melayu mahu bersatu, seluruh para pendokong PAS
hendaklah masuk UMNO” Kata Mohd, Affandi Yusof dengan penuh semangat. Sosok
yang bergelar ustaz alumni universiti Jordan dari UMNO itu
kemudiannya mengemukakan beberapa hujah ringan yang kemudiannya
menjadi bahan tertawa khalayak.

Ajakan Ustaz UMNO itu dijawab Dr Mujahid sambil menguntum senyum,
tanpa sedikit pun emosional “UMNO mahu bersatu bila ia dalam posisi
tersepit. Pada PRU Ke 12 dulu, parti nasionalis Melayu itu kalah
banyak kerusi, sehingga terkapar-kapar seperti orang kelemasan, lalu mengajak PAS untuk bersatu, katanya, demi bangsa Melayu”.

Selepas dua panelis berbeza politik itu melontarkan opini
masing-masing. Sang moderator lalu meminta Dr. Mohd Asri Zainal Abidin
pula mengemukakan hujahnya. Ulamak kontroversi itu dengan nada lembut
bertanya: Untuk apa Melayu mahu bersatu?”. Pertanyaan mantan mufti itu ada benarnya, selagi tidak jelas tujuan bersatu, maka untuk apa wacana sedemikian diadakan.

Beliau tidak memberikan jawapan tepat, sebaliknya memetik kata-kata
yang pernah diucapkan ilmuan Islam terkenal, Ibni Kaldum beberapa abad
lalu “ Masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam tidak pernah bersatu,
tapi bila datang Islam yang dibawa Nabi Muhamad saw barulah
mereka bersatu”. Bermakna kesatuan bangsa itu hanya
boleh disatukan lewat Islam, bukan melalui idologi politik yang
berteraskan nasionalis seperti UMNO”. Pendapat itu dengan sendirinya
mematikan hujah Affandi yang mengajak pendokong PAS menyertai parti
asobiyah Melayu beramai-ramai.

Ustaz Afendi lebih terpukul, bila salah seorang khalayak penonton
yang mengaku dirinya datang dari kampung yang sama denganya, Rantau
Panjang, mencelah “ Bagaimana untuk menyatukan bangsa Melayu,
sedangkan sama-sama UMNO Rantau Panjang pun bergaduh”. Sekali lagi
khalayak bersorak mengejek bagaikan nak pecah dewan. Memang benar,
UMNO Rantau Panjuang diketahui umum sudah bergolak sekian lama. Bahkan
sejarah panjang UMNO itu sendiri pun realitinya tercemar dengan perabalahan demi
perbahalan sesama sendiri yang berakhir dengan perpecahan.

Di negara yang hanya membenarkan satu parti pun tidak terkecuali dari
mengalami perpecahan akibat perebutan kuasa para pemimpinnya. Ini
menunjukkan penyatuan yang sebenar bukan kerana berada dalam satu
parti seperti UMNO, tapi penyatuan yang sebenar ialah bertunjangkan persamaan
akidah Islamiyah.

“Kalau benar UMNO mahu tolong orang Melayu, kenapa tidak membantu
orang Melayu khususnya dari segi ekonomi mereka di negeri-negeri
majoriti Melayu seperti di Kelantan?. Dalam hal ini, ketepikan saja
perbezaan politik. Sebaliknya kerajaan UMNO-BN tidak lakukan, malah
disekat, seperti hak rakyat Kelantan untuk mendapatkan royalti minyak
sebanyak lima peratus”. Kata Dr Mujahid.

“Selama UMNO-BN memerintah Malaysia banyak tanah rizab Melayu
hilang dalam peta Malaysia. Daripada 3 juta hektar, sekarang hanya
tinggal 1.7 hektar. Ke mana perginya tanah-tanah itu?”. Tanya Dr. Mujahid.

Kerusi Parlimen di Dewan Rakyat yang diperuntukkan kepada orang
Melayu sekarang tinggal 131 kerusi, manakala non -Melayu 91 kerusi.
Kalau mahu tolong orang Melayu, kenapa saat persempadanan semula
pilihan raya hanya melibatkan pertambahan di kawasan-kawasan bukan
Melayu dan campuran, sedangkan di kawasan majoriti Melayu seperti di
Kelantan, Kedah dan Terengganu tidak dilibatkan.

Walaupun tujuannya diketahui umum, iaitu untuk
mengengkang kemenangan PAS di kawasan Melayu yang pasti
menguggatkan UMNO, namun kalau naitunya bersih, atas
nama mahu menolong orang Melayu, maka alasan itu boleh saja
diketepikan.
Juga disentuh ialah tentang hudud “Jika UMNO dan PAS berkerjasama banyak perkara boleh dilaksanakan termasuk hukum hudud” Kata Lokman Nor Adam dengan emosionalnya yang melangit. Khalayak ketawa terbahak-bahak mendengar hujah kebudak-budakan itu, kerana umum sudah mengetahui, saat Kelantan memperkenalkan enekman hukum hudud dulu, yang pertama menentang ialah pemimpin UMNO ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukannya pemimpin DAP.

Panelis yang mengambil bahagian dalam wacana pada malam itu terutama
Lokman Nor Adam dan Ustaz Mohd. Affandi Yusof sangat emosional, barangkali
mereka tertekan dengan aksi penonton yang setiap kali mereka melontarkan opini diejek dan diboo.

Majlis wacana diakhiri dengan sesi pengulungan, Dr Mujahid merupakan
panelis terakhir berucap. Ahli Parlimen Parit Buntar itu menutup
ucapannya dengan berkata “ Kalau sikap seperti ditunjukkan dua panelis
dari UMNO malam ini, saya tak nampak orang Melayu boleh bersatu”.

No comments:

Post a Comment