Oleh: Rossem
Malam hari Ahad, 21 Oktober 1990, di Kota Bharu. Seorang lelaki tampak gelisah. Sekejap bangun dari sofanya kemudian duduk kembali, kemudian bangun lagi, berjalan mundar mandir dengan tangan bersilang ke belakang dengan kepala sedikit menunduk. Peluh dingin berbintik-bintik di dahi.
Teman-teman seperjuangannya yang ikut menyaksikan keputusan pilihan raya umum di bilik gerakan parti malam itu juga tampak muram dan sugul. Mereka tidak banyak bercakap tapi banyak mengeluh. Masing-masing saling berpandangan dengan wajah sayu dan tidak pasti. Harapan untuk menyambung memerintah negeri Kelatan sangat tipis seperti kulit bayang, bahkan terasa amat sukar dan mustahil. Setiap keputusan baru yang diterima dan dicatat oleh tukang catat di board besar tiada satu pun memihak kepada UMNO. Semua kerusi yang sudah dikira dan diumumkan, dimenangi parti dari PAS, Semangat 46, Berjasa dan Hamim yang bergabung dalam satu pakatan yang namakan Angkatan Perpaduan Ummah (APU).
Tepat jam 1.05 minit pagi, lelaki itu, yakni Menteri Besar Kelatan, Haji Mohamed Yaakob (Tan Sri-Almarhum) tidak dapat menahan kesedihan lalu menangis teresak-esak. Kesedihan dan kekecewaannya mencerceh klimiks setelah bayang-bayang kekalahan BN mula menyerlah di langit pagi. Riyawat UMNO kelantan akan berakhir malam ini. Nadi pemerintahan BN-UMNO selama 12 tahun selepas merampasnya dari PAS-Asri akan berhenti berfungsi sebentar lagi secara rasminya.
Sehingga jam 1.05 pagi lebih separuh daripada kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan yang dikira sudah memihak kepada Angkatan Perpaduan Ummah, gabungan antara PAS, Semangat 45, Berjasa dan Hamim. Sekaligus bererti APU telah layak membentuk kerajaan negeri.
Kesemua calon BN termasuk Menteri Besar, Tan Sri Haji Mohamed Yaacob dan Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Rastom Haji Ahmed Maher kalah teruk. PAS memenangi kesemua kerusi yang dipertandingkan iaitu 24 DUN, Semangat 46 menyapu bersih 14 DUN, dan satu DUN dimenangi Berjasa dengan calon tunggalnya, Presiden Berjasa, Dato’ Haji Wan Hashim Wan Ahmad menang di DUN Padang Garong.
Haji Mohamed Yaacob yang sangat kecewa terus pulang ke rumah, baginya tiada gunanya menunggu lama di sini. Kekalahan BN-UMNO kali ini luar biasa, sehingga tiada satu kerusi pun, sama ada DUN atau Parlimen berjaya dimenangi.
Jika 1978, ketika BN-UMNO mengambilalih negeri ini, Barisan Nasional masih meninggalkan dua kerusi DUN untuk PAS iaitu di Padang Garong dan Ulu Kelantan, yang dianggap sebagi batu nisan untuk PAS, Kali ini Angkatan Perpaduan Ummah meranapkan BN-UMNO tanpa meningalkan batu nesan pun. BN mati tanpa kubur.
“Saya tidak sangka sama sekali calon-calon kita akan kalah teruk dalam pilihan raya ini tetapi saya menerima kekalahan BN sebagai takdir Tuhan dan ini adalah keputusan rakyat…” Kata Haji Mohamed Yaacob pada jam 1.10 pagi saat menuju ke kereta untuk pulang ke rumah.
Selanjutnya, Pengarah Pilihan Raya PAS, Haji (Dato’) Wan Rahim Wan Abdullah ketika mengulas kemenangan PAS berkata bahawa Ketua Dewan Ulama PAS, merangkap Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru (Dato’ Bentara Setia) Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta seluruh umat Islam dan rakyat Kelantan berpuasa sehari esok sebagai mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana memberikan kemenangan total kepada APU.
Tuan Guru menasihatkan penyokong APU, terutama PAS tidak berasa riak dan sombong dengan kemenangan yang diraih, sebaliknya bersyukur kepada Allah SWT kerana memberikan kemenagan.
Sebenarnya PAS Kelantan juga tidak menyangka APU berjaya menyapu bersih kerusi DUN dan Parlimen yang dipertandingkan. Sehingga Tuan Guru sendiri mengatakan; seolah olah ada satu kuasa ghaib yang membantu calon APU, khususnya PAS, memenangi kerusi yang dipertandingkan.
Dalam kesepakatan antara parti-parti dalam APU, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dilantik sebgai Menteri Besar Kelantan, Haji Abdul Halim Abdul Rahman (Dato’)sebagai timbalannya, sementara ADUN Semangat 46, Dabong, Haji Rozali Isohak (Dato’) Timbalan Menteri Besar ke dua.
Saat pengumuman, Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilantik Menteri Besar baru Kelantan disiarkan dalam segmen berita TV1 siang hari, saya sedang bertugas di pejabat kerajaan di Kuala Lumpur. Ramai kakitangan pejabat menonton siaran berita yang dianggap bersejarah itu. Seorang kakitangan wanita di pejabat saya dengan marah-marah menyanyakan seputar Tok Guru: Orang yang berserban ini bolehkah jadi Menteri Besar? Pandaikah beliau cakap orang putih?. Kebetulan wanita itu ada berdiri di sebelah saya, lalu dengan spontan saya menjawab “ Tok Guru dapat menguasai empat bahasa, Melayu, Arab, Inggeris dan Urdu, Sedang Tun DR. Mahathir (PM ketika itu) cuma menguasai dua bahasa, yakni Melayu dan Inggeris” Mendengar itu, ia terdiam!
No comments:
Post a Comment