Oleh: Rossem
Negeri di bawah bulan. Ungkapan itu memberi dua makna. Makna politik dan non politik. Makna politik ialah negeri-negeri yang diperintah parti yang berlambangkan bulan purnama. Manakala makna non-politik ialah; semua negeri dan negara di muka bumi ini sememangnya berada di bawah bulan.
Antara negeri di Malaysia yang paling lama diperintah parti berlambang “bulan” ialah Kelantan, 36 tahun. 16 tahun di era Dato’ Mohd Asri Haji Muda, diikuti dengan PAS di era kepimpinan Tuan Guru Dato’ Bentara Setia, Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Era kedua dikenali juga dengan zaman kepimpinan ulama, kerana sejak mengambilalih 21 Oktober 1990 telah memperkenalkan satu wawsan “Membangun Bersama Islam” mengandungi tiga elemen dasar yakni, Ubudian, Masuliah, Itqan. Semua program kerajaan negeri harus bersandarkan kepada ketiga-tiga dasar tersebut.
Pemerintahan di bawah kepimpinan ulama sudah memasuki usia 20 tahun pada Oktober ini. Dan kalau dicampurkan dengan era Asri sudah 36 tahun PAS memerintah Kelantan. Sementara UMNO/BN cuma berkesempatan memerintah 12 tahun, iaitu diantara celah-celah songkok Asri dengan serban Tok Guru Nik Aziz.
Lalu kita pun melempar soalan “Kenapa orang Kelantan menolak UMNO?”
Kelantan ialah negeri yang paling ramai jumlah peratus orang Melayu berbanding negeri-negeri lain di Malaysia iaitu 95 peratus. Kenapa orang Kelantan tidak mengikut jejak saudara mereka orang Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang yang terus menerus mendukung dan memberi kepercayaan kepada UMNO untuk memerinth negeri masing-masing?.
Walaupun semuanya berbangsa Melayu, berasl dari rumpun Melayu. Barangkali geografi juga boleh membantu memberi sedikit jawapan.
Negeri-negeri UMNO kuat adalah negeri-negeri yang berada di kawasan paling rendah (lembah) di tanah Asia bahagian selatan. Seperti dicatatkan bahawa Tanjung Tuan, di Johor, merupakan kawasan persingahan burung-burung dari Asia, merupakan kawasan paling penghujung Asia. Juteru negeri paling lembah ialah negeri Johor, sedang Kelantan sebuah dataran tinggi berbanding Johor.
Penghijaran penduduk juga berbeza, negeri-negeri selatan ramai didiami imigren dari Tanah Jawa, Sulawesi dan Sumatera. Sementara Kelantan menerima imigren dari dari utara yang tentunya berasal dari tanah tinggi Asia seperti Yunan. Sebahagian orang Kelantan datuk nenek mereka berasal dari Pattani.
Orang dataran tinggi biasanya punya tabait suka memprotes atau melawan arus. Apa saja yang disuapkan, jika tidak disukainya, akan dimuntahkan kembali. Sifat inilah agaknya kekal abadi dalam diri setiap orang Kelantan sejak zaman berzaman, sikap itu bahkan di bawa ke gelanggang politik. Sementara orang yang tinggal di perlembahan selalunya dikaitkan dengan sifat suka menuruti perintah. Mereka lebih senang menuruti sesiapa saja yang memimpin mereka.
Namun itu hanya metos. Teori lapuk yang klasikal. Ada sebab lain sebenarnya yang membuat orang Kelantan menolak UMNO!
Apabila UMNO yang dilahirkan di Istana Johor dan dikembangkan ke seluruh negara, ia diterima di negeri-negeri lain, kecuali Kelantan yang menerimanya dalam konteks yang sangat terbatas. Walaupun UMNO Kelantan juga memiliki kepimpinan yang tidak kurang hebatnya, seperti Dato’ Nik Ahmad Kamil (Allahyarham), Tengku Razaleigh Hamzah, Tengku Ahamd Rethaudeen, Tan Sri Haji Muhamad Yaakob, Tan Sri Anuar Musa, Datuk Mustafa Muhamad dan lain-lain. Namun mojoriti rakyat Kelantan tetap menolak parti itu, sekaligus menolak para pemimipnnya. Sikap suka memprotes barangkali ada hubungkait dengan teori klasikal tadi.
Sikap yang dimiliki orang Kelantan itu bagi UMNO dilihatnya sangat aneh, terutama pendukung UMNO luar Kelantan. Mereka mengeluh sambil menepuk dahi dalam mezahirkan kekecewaan betapa orang Kelatan bodoh sehingga menolak pembangunan yang mahu dihadirkan kepada mereka sepertimana negeri-negeri lain yang diperintah UMNO/BN sudah lama menikmati pembanguanan yang melimpah ruah, termasuk bangunan pencakar langit.
Namun orang Kelantan setiap kali pilihan raya umum menolak UMNO dengan bengis, menyebabkan orang UMNO hairan. Bahkan sebahagian pemimpin UMNO pusat sudah fedup, terasa seperti dipermain-mainkan. Biarlah Kelantan terjun dengan labu-labunya; kata mereka.
Pembangunan material yang mahu dipraktikan UMNO/BN sememangnya diidam-idamkan setiap orang, termasuk rakyat Kelantan. Namun dalam hal ini rakyat kelantan lebih berminat kepada kaedah pembanguan yang dikemukakan PAS, iaitu Membangun Bersama Islam, yakni pembanguan material, sekaligus spiritual. Dua eleman itu berjalan seiring. Hasilnya rakyat Kelatan merasakan betapa nikmat dan bertuahnya berpayung di bawah kepimpian ulama selama 20 tahun.
Mereka bukan tidak terhutang budi kepada sumbangan UMNO selama 12 tahun, cuma yang dimuskilkan, yang dibangun UMNO ketika itu hanya material bukan spiritual. Pembanguan itu ternyata tidak menepati selera rakyat Kelantan yang rata-rata mahukan sesuatu yang Islami dalam menjalani kehidupan mereka.
Suatu hari, kebetulan saya memasuki sebuah pasar raya di Kelantan. Pasar raya itu bukan kepunyaan orang Islam walaupun pekerjanya orang Islam. Sewaktu berbaris di kaunter untuk membayar barangan yang dibeli. Tiba-tiba azan Asyar berkumandang dari pembesar suara yang dipasang pihak pengurusan pasar raya. Sang petugas kaunter langsung memberhentikan urusniaganya demi menghormati suara azan. Seorang pelangan muslimah dari Indonesia yang kebetulan berbaris di belakang saya menetes air mata “Selama hidup saya, tidak pernah berjumpa kondisi seperti ini – memberhentikan urusniaga demi menghormati azan”. Kata beliau dengan diselubungi perasaan terharu. Selanjutnya muslimah berkerudung labuh itu berkata “ Walaupun tampak kecil, tapi kesan kepada nurani kita sangat tinggi. Ia boleh membangkitkan rasa cinta kepada Islam”.
Inilah hanya baru satu produk kecil daripada ratusan produk yang dihasilkan dari kilang Membangun Bersama Islam sejak ia didirikan 20 tahun lalu. Makanya tidak hairanlah, kenapa rakyat Kelantan menolak UMNO/BN setiap kali PRU. .
Majoroti rakyat merasakan, untuk apa mahu menukar kerajaan dari PAS kepada UMNO/BN kalau hidup di bawah pentadbiran PAS lebih selesa. Dunia dapat dan akhirat juga dapat.
Selanjutnya, Kelantan antara negeri yang paling banyak nama timangan. Barangkali tidak akan terjumpa negeri lain di dunia ini seperti itu; Tanah Serendah Sekebun Bunga, Cik Siti Wan Kembang, Serambi Mekah, Tadahan Wahyu.
UMNO mempopularkan sebutan Tanah Serendah Sekebun Bunga, manakala PAS mempopularkan Negeri Serambi Mekah. Dari segi makna dan pendekatannya sudah dapat membezakan; UMNO mendekatkan Kelantan dengan budaya, sementara PAS dengan Islam dan budaya. PAS sudah menambat hati rakyat Kelantan dengan dua-duanya sekali - Islam dan budaya yang tidak bercanggah dengan syairah.
No comments:
Post a Comment