Sunday, December 1, 2019

YB Muhammad Bahktiar beli lukisan PESTA



Pameran lukisan ´This Is Klate’ anjuran Persatuan Seniman dan Warisan Kelantan (PESTA) yang berlangsung di Tema Tunjong, Kota Bharu selama sebulan berakhir semalam.  Ahli-ahli PESTA  memperagakan karya terbaik mereka termasuk pelukis  wanita, pelukis muda, disamping pelukis senior. Pameran itu pada awalnya agak malap kerana Tema Tunjong  tempat baru, ramai yang belum mengenali dan tahu lokasinya walaupun terletak di Jalan besar Kota Bharu – Ketereh, bersebelahan gedung  Oren, Tunjong.  Bangunanya berekabentuk  mirip senibina tradisional Melayu Kelantan, sesuai untuk pameran terbuka, pengunjung juga boleh ngopi kerana di dalam bangunan itu ada gerai makanan.

Op! Berbalik kepada pameran lukisan  PESTA.  Dihari penutup (1 Dis 2019) semalam, diadakan majlis dialog ahli PESTA dan pengiat seni tampak Kelantan dengan YB. Muhammad  Bahktiar Wan Chik, Timbalan Menteri  Pelancongan dan Seni Budaya Malaysia.  Pelukis meluahkan perasaan yang terpendam kepada bapak Timbalan menteri. Kesimpulannya  dialog hampir dua jam dalam suasana hujan lebat dan banjir memberi   impak yang baik dan  manfaat untuk  para pegiat seni  tampak   di Negeri Cik Siti Wan  Kembang dan Malaysia amnya.  

Majlis dialog itu itu lebih cucok jika sambil berdialog  sambil makan ubu kayu rebus, kelapa parut dan air kopi kaw, itu makan tradisi orang Kelantan di musim tengkujuh. Pak menteri pun suka. 

Sesuatu yang menakjubkan, usai sahaja dialog, YB. Muhammad Bahktiar  melawat lukisan yang diperagakan, pertama karya pelukis senior Abdullah Ibrahim (pelukis komik Dol), kebetulan lukisannya di posisi paling hadapan, penari Mak Yong dengan jari  lentik sedang menari. Lukis itu dibeli Timbalan Menteri. Harganya aduhai.  Pagi itu seumlah empat lukisan dibeli YB Muhammad Bahktiar termasuk karya seorang pelukis muda, Wan Ahmad (beliau rakan sekolah anak saya di MPI).  Wan Ahmad dengan lukisan potret Tok Guru Nik Aziz (Allahyarham) berjaya memikat hati  Bapak Timbalan Menteri.  Sekitar belasan ribu ringgit telah dibelanjakan YB  untuk membeli lukisan pelukis Kelantan. Salute YB. Muhammad Bahktiar!


Friday, November 15, 2019

Dr. Kamil Ab. Majid




Semalam nonton diskusi life Dr. Kamil Ab. Majid   bersama abangnya  Prof. Emertus Dato Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid di facebook, topik yang jarang dibahaskan,  iaitu  “Apa itu Islam?” Abang tanya adek jawab. Soalannya berat dan sedikit kontroversi.  Mengikut kata Dr Mahmood Zuhdi diskusi ilmiah itu mengandungi  sepuluh siri, yang disiarkan semalam yang pertama sebagai pengantar.

 Topiknya seperti remah tapi penting diketahui terutama bagai orang awam. “Ibarat orang buta disuruh mengenali gajah. Orang buta pertama memegang belalai, kemudian berkata, gajah ini panjang, lembut, tak bertulang. Orang buta kedua memegang kaki, oh! gajah ini seperti batang kelapa, orang buta ketiga memegang ekor, oh! gajah seperti tali, begitu seterusnya. Berbeza-beza.  Begitu juga Islam , berbeza pandangan terutama bagi orang awam yang hanya mengenali juzud- juzud tertentu tanpa  mengenali keseluruhannya. ”  Demikian kata Dr Kamil.

Beliau seperti juga abangnya Dr. Mahmood Zuhdi seorang cendikawan  dan ilmuan Islam terkenal, pernah menjadi dosen di Universiti Malaya kemudian dosen di beberapa kolej dan universiti di Brunei mengajar subjek pemikiran Islam, ilmu lojik dan tafsir Maudhu’i. Beliau juga seorang penulis. Buku terbaru beliau “70 tahun  Kamil  Ab. Majid” (226 muka surat) diterbitkan  tahun ini -2019. Terima kasih Abdul Samad Mahmood menghadiahkan buku yang sangat bernilai buat saya. Sesiapa juga, bila menjejak kaki ke usia 60 tahun harus menerbitkan buku  biografi tentang dirinya. Generasi kini dan akan datang mahu mengenali secara mendalam kisah dan pengalaman hidup mereka. Mustahil 60 tahun menjalani hidup tak ada cerita untuk di tulis, mustahil selama 60 tahun makan tidur sahaja. Kisah percintaan, menuntut ilmu, menceburi bidang politik, dakwah, menjadi ketua jabatan kerajaan, ahli koporat, petani, penternak, pelukis, penyair,  semuanya bermanfaat dan ingin diketahui generasi kemudian.


Menariknya, Dr Kamil Ab. Majid dan Prof Emeritus Dato Dr. Mohmood Zuhdi Ab. Majid asal  sekampung dengan saya iaitu Kg. Peringat, Kota Bharu. He he ada juga orang Peringat menjadi cendikawan dan ilmuan Islam. Syukur kepada Allah SWT.

Tentang politik, saya petik satu para dari  buku beliau “ Aku dijemput untuk bergiat dalam Pemuda PAS oleh Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, ketika itu Ketua Pemuda PAS Kelantan. Namun secara lembut aku menolaknya atas alasan ingin  bergiat dalam dakwah. Aku teringat akan pesan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengingatkan aku supaya bekerja di mana- mana sahaja asalkan untuk Islam, bukan hanya PAS satu-satunya wadah yang boleh digunakan untuk berdakwah”.






Friday, October 18, 2019

AKAN DATANG TIADA LAGI PEKERJAAN TETAP.



Baru-baru ini hadir di sebuah universiti tempatan. Ditampilkan   seorang penceramah (couch) memperkatakan tentang  tiada lagi peluang pekerjaan makan gaji di masa akan datang. Ratusan pelajar baru semester pertama  yang mendengar  ceramah itu membungkam. Mereka dan ibubapa mengharapkan keluar menara gading nanti akan memperolehi pekerjaan dengan  gaji lumayan, tetapi diberitahu tiada lagi peluang pekerjaan tetap di hari mendatang.

“Dulu, kalau kita menaiki bas, selain supir bas , terdapat pembantu supir   sebagai pengutip tiket, sekarang guna mesin. Dulu pondok toll disediakan petugas untuk mengutip bayaran   sekarang guna tach n’go,  begitu juga di pam minyak, lakukan sendiri, mesyuarat juga tak perlu di pejabat, ia boleh dijalankan di rumah masing-masing menggunakan video  dan banyak lagi” kata penceramah. 

Hanya polis dan tentera kekal seperti asal, namun bukan mustahil suatu hari ini nanti robat dijadikan tentera dan polis.  Robat akan meronda setiap lorong, bangunan, bagi  mencegah dan menangkap penjenayah.  Robat tentera akan keluar bertempur dengan musuh juga dari kalangan  tentera robat. Sekarang pun sudah digunakan kapal terbang  pengintip dan  pejuang tanpa pemandu atau drome.
Pekerjaan makan gaji, berpencen semakin kurus kering sekarang. Generasi akan datang bahkan sekarang pun Jangan lagi pasang angan-angin nak makan gaji dan berpencen.  Pekerajaan yang ada sekarang ialah freelancer.  Majikan di sektor-sektor  perusahaan, pembuatan sudah mula  menggunakan khidmat freelancer   ini, mereka tak perlu membayar kos perubatan, pencaruman, pampasan dan sebagainya berbanding pengambil pekerja tetap. 

Tugas kita sekarang melengkapkan diri dengan ilmu, kalau tidak, akan ditinggalkan keretapi, lantas kita pun menyalahkan keretapi.


Thursday, October 3, 2019

JIKA BERANGGAPAN DIRINYA TAK AKAN TUA, JANGAN BACA!




Cerita ini  sesuai dibaca oleh orang yang merasakan bakal tua. Orang yang merasakan dirinya tidak  akan tua, jangan baca. Dicadangkan mereka membaca,  bagaimana membina kerjaya yang sukses. Achdiat K. Mihardja dikurniakan Allah dengan usia yang panjang , ia menulis tentang dirinya  ketika usia  92 tahun. Berdepan dengan pelbagai masalah penyakit.  Dituangkan kedalam buku “Manifesto Khalifatullah” .   Di Malaysia ada orang berusia 92 tahun lebih sedikit, belum lagi menulis tentang rahsia dirinya menjalani  hidup tua lantaran kesibukan mengurus negara yang tiada noktah.  Kalau ada, saya orang pertama mahu baca, pasti ada rahsia besar . 

Sasterawan Achadiat K. Mihardja menulis tentang matanya yang separuh buta (kabur) .”Mata  saya yang buta huruf itu sudah berlangsung beberapa tahun lamanya, sejak kedua belah mata saya dioperasi  kerana penyakit katarak, harus diganti lensanya dengan lensa buatan. Doktor mata yang mengoperasi  saya adalah seorang spesialis  yang menyandang gelaran  doktor (Ph.D.) dan terkenal sekali di Canberra. Demikian juga pembantunya mempunyai gelaran doktor. Jadi, saya pun merasa sangat safe. 

Namun, bagi mereka,  mengoperasi mata orang itu sudah merupakan  pekerjaan rutin sehari-hari yang enteng saja. Maka sang doktor yang pintar, laris, dan masyhur itu menjadi ceroboh.  Maka, ketika dia sedang menusuk-menusuk  mata kanan saya untuk mengganti lensa asli dengan  lensa buatan sebuah kilang di kota Wolonggong,  sebuah kota di Australia. Maka sang doktor mata yang masyhur itu dengan seenak mengobrol  seolah di warung kopi dengan pembantunya  mengenai berita pagi itu tentang Gorbachev, kerana rejim Rusia mulai akan rontok giginya.  Saya mendengar obrolan mereka itu, hingga pada suatu saat saya tiba-tiba memekik kesakitan. Memekit keras.

Entahlah , akibat tak cermat  doktor spesialis itu, maka mata kanan saya sehingga kini menjadi setengah buta. Dan, entahlah, mungkin kerana  merasa bersalah, doktor mata yang “hebat” itu, tidak mahu meneruskan  mengoperasi  mata saya yang sebelah kiri sehingga saya terpaksa  mengambil seorang specialis mata yang lain. Dia pun doktor juga. Lebih muda.  Mata kiri saya dioperasinya, Alhamdulillah, berhasil dengan baik sekali. Tapi, mengenai mata kanan  yang gagal operasinya itu, ia tidak bisa berbuat apa-apa. 

Lalu teringat kisah saya, bulan Mac 2019 kelmarin menjalani  operasi mata di HUSM. Juga mata kanan. Penyakit yang sama- katarak.  Setelah dibaringkan di kamar operasi , ditutup bahagian muka, kecuali lobang kecil sebelah mata  kanan.  Kelopak mata tak bisa berkelip kerana dikunci. Saya serahkan mata saya untuk  “dikerjakan”  oleh doktor muda seramai tiga orang, seorang lelaki, dua perempuan, salah seorang doktor perempuan itu  Cina. Sebelum memulakan operasi, pembantu doktor, seorang wanita Melayu bersalawat ke atas Nabi SAW kemudian  berdoa, ia meminta saya ikut berdoa. Saya sangat puas hati,  selebihnya berserah kepada Allah. 

Operasi berjalan hampir setengah jam. Olehkerana  dioperasi dalam kondisi sedar,  saya dengar doktor  obrolan  sesama mereka. Setelah agak lama saya bertanya doktor “ lambat lagi kah siap?” “Sekejap lagi” kata doktor perempuan yang memimpin doa. Sejak itu, beliau mula bertanya saya macam-macam. Saya dapat mengesan,  doktor itu minat sastera, maka saya pun beritahu, dalam Persatuan Penulis Kelatan (PPK) saya memegang jawatan Ketua II. Mulalah ia berceritakan tentang penyair  Kelantan. Ada yang saya kenal dan ada juga yang tak kenal. Tetapi saya beritahu, semua kenal dan akrab. Mata, usai operasi.  Alhamdulillah.

Tuesday, September 10, 2019

KARTUN MENJADI MEDIA PENTING DUNIA



Oleh: Rossem
Kartun maju terus. Pameran, festival  dan pertandingan (contest)   diadakan hampir setiap minggu di seluruh dunia. Turkey, Mesir, Russia, Portugal, Mexico, Brazil dan negara-negara Eropah Timur antara negara yang sangat  aktif dalam penganjuran pameran. Penganjur menetapkan tema-tema tertentu yang ada kaitan  dengan peristiwa semasa yang berlaku di tempat mereka atau yang bersifat global, membawa mesej keamanan sejagat, mengkritik kepincangan masyarakat, kelalaian penguasa sehingga terjadinya pelbagai masalah buruk  kepada alam dan penghuninya.  

Terbaru Festival Kartun Antarabangsa ke 3 SMILEANAPA Russia 2019 (3rd International Cartoon Festival SMILEANAPA Russia 2019) di adakan di Moskow. Kartunis dari Russia, Temur Kozayev mendapat tempat pertama, Kedua Yusuf Morhan (Syria), ketiga Makhmud Eshonkulov (Uzbekistan), hadiah penghargaan  Muzafar Yulchidaev (Uzbekistan), Seyran Caferili (Azerbaijan) dan Sairan Akindi (India). 

Kartunis Makhmud Eshonkulov, Muzafar Yulchidaev dan Syeran Carerili pernah  menyertai Pameran Kartun Antarabangsa 2109 yang berlangsung di Balai Kartun Rossem (BKR), Malaysia  tanggal 20 Januari- 20 Mac 2019 lalu. 

Di Kragujevac, Serbia  berlangsung Pameran Kartun Antarabangsa  ke 20 Anti Perang ( The 20th Antiwar Cartoon Salon International Contest, Serbia 2019).  460 kartunis dari 63 buah negara menyertai pameran. Tempat pertama dimenangi Manuel Ariada ( Sepanyol), kedua Li Xiaojang (China), ketiga Andrea Pekia (Italy).  Di Romania berlangsung Pameran Kartun dan Pertandingan Antarabangsa Braila/Romania 2019. Sejumlah 997 karikaturis dan 379 kartunis dari 58 buah negara mengambil bahagian. Diikuti dengan Pameran dan pertandingan Kartun Antarabangsa ke 4 Cakovec, Croatia 2019. Di canada berlangsung Pameran dan Pertandingan Kartun Global dengan tema keadilan. Akan menyusul  kemudiannya ialah Pameran dan Pertandingan Antarabangsa Ke3 Jerusalem Warisan Kita (3rd International Our Heritage Jerusalem Cartoon Contest 2109).  Menariknya sebelum pertandingan, penganjur mempamerkan barisan juri terlebih dahulu.  

Pameran dan festival kartun Antarabangsa Portugal 2020, walaupun tanggalnya tahun depan, sudah diumumkan sekarang lengkap dengan barisan jurinya termasuk kartunis Jitet Koestana dari Indonesia, Izabela K. Wieczorek (Poland), Antonio Santos (Portugal), Silvano Mello (Brazil)  dan Ricardo Ferreira (Portugal).  Jitet Koestana pernah menjadi juri (ketua) pada pameran dan pertandingan kartun antarabangsa yang diadakan di BKR Februari lalu. Manakala Ricardo Ferreira dan Silvano Mello ikut serta mengirim karya terbaik mereka untuk dipamerkan di Malaysia.  
Di Perancis pameran terbaru ialah 2nd Book Cartoon Exhibition Lyon, France 2019. Berlangsung selama tiga minggu.   22 kartun terbaik yang dipilih antaranya karya Fadi Abol Hassan (Norway), Makhmud Eshonkulov (Uzbekistan). Karya Makhmud sudah pernah dipamerkan di BKR februari lalu. 

Di dunia bahagian sini, Indonesia, akan berlangsung Pameran Kartun Antarabangsa Borobudur kali ke 3 (BCF3 International Cartoon Exhibition 2019), diselengarakan oleh Ketua Editor majalah Humor, Darminto M. Sudarmo. Tanggal tutup penyertaan 25 Oktober 2019. 

Karikatur juga tak kurang hebatnya. Pameran dan pertandingan melukis karikatur (5 International  Competition Cartoon and Humor Noticartun Colombia 2019). Tarikh  tutup penyertaian berakhir  8 September 2019. Sejumlah 200 peserta dari 36 buah negara mengambil bahagian. Temanya “Tribute untuk  Ismael Roldan, tokoh  karikaturis  dan illustrator terkenal dunia meninggal  di New York dalam usia 45 tahun (1964- 2009). Pernah bekerja di Majalah Newsweek, Forbes, New York Post, Sport Illustrated, Wall Street Journal,  News and World Report, Los Angeles Times dan lain-lain.