Friday, April 13, 2018

“Mengingatkan” masa lalu itu satu kesalahan?



Oleh: Rossem
Pilihan raya umum ke 14 (PRU14) diambang pintu. Langit  goba,  hati berdebar.  Pemimpin   parti tak bisa tidur lena, ada mimpi yang menakutkan.  Pilihan raya kali ini berbeza dengan yang lalu, sukar diramalkan. 

Penyokong dan jentera  PAS, Harapan dan Umno/BN menggunakan media sosial, facebook dan twitter  melancarkan perang saraf  keatas lawan politik mereka. Pakatan Harapan (PKR, DAP, Amanah, PPBM) paling banyak  manfaatkan media sosial untuk  menyampaikan mesej, info   berbanding yang lain. Mereka ada penulis berpengalaman. Klip video yang dipersembahkan  berkualiti, mereka ada  pakar dalam bidang IT. Kreativiti juga tinggi. Suka atau tak suka, terpaksa menonton setiap kali imej muncul di skrin telefon pintar. Pakatan Harapan (PH) dilihat menguasai kempen berasaskan media sosial. Kelemahan PH hanya pada akar umbi  yang tak banyak menyumbang untuk memperkasakan parti, kecuali DAP dan PKR sebuah parti lama yang berpengaruh dan punya pengikut tegar. 

  PAS juga tak kurang hebatnya dalam perang saraf, namun jentera perang mereka kurang kreativiti. Mereka mengambil pendekatan “mencelah”. Apa sahaja yang dipaparkan oleh PH, laskar cyber PAS akan mencelah dengan menulis kata-kata berbentuk sindiran, mempersenda, bahkan ada juga yang terlalu emosional sehingga menulis kata-kata jelek, maki hamun dan sebagainya.  Tak banyak manfaat diperolehi dari cybertrooper seperti ini. Sangat membosankan. Tulisan-tulisan seperti itu sebenarnya membuat pembaca bertambah benci kepada PAS. Mungkin juga dilakukan  individu yang   berpura-pura sebagai ahli PAS,  bertujuan   merosakkan imej parti Islam itu.  

Cybertrpoper Umno amat berkurang. Saya tak tahu bagaimana Biro IT Umno berfungsi. Mungkin mereka menyerahkan tugas perang saraf ini kepada media arus perdana  seperti televisyen dan suratkhabar. Realitinya, pada PRU14 iniI oposisi  berjaya dalam bidang perang media sosial. 

Untuk memenangi pilihan raya, sama ada PAS, Umno dan Pakatan Harapan tak dapat dicapai dengan hanya dari   undi  golongan taksub dari  kalangan mereka. Berteriaklah sekuat manapun, jumlah undi tak mencukupi untuk meraih  kemenangan.  Pengundi “diam” (silent voter) itulah memenangkan sesuatu parti. Pengalaman lampau  mencatat  begitu. Senario politik Malaysia sekarang menjurus ke arah lahirnya  ramai golongan “diam” tetapi mesin  berfikir mereka tidak diam, mereka memerhati, meneliti kemudian membuat perhitungan yang saksama. Keputusan pilihan raya kali ini ditentukan golongan ini. Apakah golongan ini suka menonton berita TV atau baca surat khabar arus perdana? 
Di kedai kopi di Kelantan masih lagi orang bersembang sambil  mengingatkan  “ DAP itu musuh Islam,  jangan mengundi parti yang bergabung dengan parti itu. Undi Pakatan Harapan samalah dengan mengundi DAP”. Mereka menakut-nakutkan orang Melayu sebegitu rupa. Walhal DAP adalah sebuah parti pelbagai kaum, hanya sekular tegar.  Kalau DAP membahayakan kerukunan negara , bila-bila masa bisa diharamkan. Pendaftaran pertubuhan (ROS) itu milik siapa?  

Untuk kelangsungan hidup, kita harus mencipta musuh. Amerika Syarikat tak senang duduk kalau tak ada musuh, lalu musuh dicipta. Amerika mencari musuh yang jauh dari negerinya seperti Iraq, Iran, Afghanistan, kita mencipta musuh dari kalangan kita, saudara mara dan sahabat handai. Namun ternyata, pendekatan itu membuahkan hasil dan natijah yang baik. Ramai orang Melayu yang tinggal di kampung-kampung percaya, DAP adalah musuh kepada orang Melayu/Islam.  Amanah, PKR, PPBBM yang bersahabat dengan DAP juga musuh, kerana bersubahat dengan DAP. Dahulu pendokong Umno berkata demikian, sekarang pendokong PAS, bahkan lebih keras daripada Umno. 

  Foto-foto  ketika Mursyidul Am PAS, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat bersalaman, ziarah, menyantuni  Lim Kit Siang, Lim Guang Eng, Karpal Singh dan lain-lain sudah menjadi foto tua,  layak disimpan dalam album. “Mengingatkan”  bahkan menjadi kesalahan bagi pemimpin PAS hari ini.   “masa lalu” cuba  secara perlahan-lahan dipadamkan dari sejarah kerukunan politik dalam masyarakat majmuk seperti  pernah dirintis Almarhum Tok Guru Nik Aziz  dahulu. Mereka sekarang cuba    memberi ruang kepada  “masa kini” yang dituangkan  dengan ayat-ayat yang keras dan memedihkan. 

Saya tak tahu bagaimana kesudahan episod ini. Akan wujud lagikah  suasana ”harmoni” seperti pernah dirasai ketika zaman Tok Guru Nik Aziz dahulu. Berceramah sepentas dengan DAP, makan minum semeja, saling ziarah mengziarahi. Opp! Kita diingatkan, Jangan terpukau dengan keindahan masa lalu, gelisahlah dengan masa depan yang tak menentu. Apakah anda seorang yang tidak “gelisah” bila mengingatkan  tentang bangsa, bahasa, Islam,  di hari mendatang?