Friday, March 9, 2012

Negeri Kelantan Seindah Namamu: Oki Setiana Dewi




Oleh: Rossem

Artis itu memulakan ucapan  dengan kata-kata yang sangat menyentuh hati nurani: Pertama kali aku datang ke Kelantan, lantas aku jatuh cinta pada Tok Guru, seorang yang luar biasa, zuhud dan sentiasa merendah diri.

Ribuan khalayak,  majoritasnya anak muda yang memenuhi gedung Kelantan Trade Centre (KTC) malam itu diam seketika  saat mendengar kata-kata yang dilontarkan artis cantik yang melakonkan peran Ustazah Ana dalam filem “Ketika Cinta Bertasbih” Oki Setiana Dewi.

 Khalayak sepertinya   terpukau bila sang artis pujaan mereka dengan suara penuh kelembutan   memuji negeri Kelantan dan Menteri Besarnya, Tok  Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

Sekali pandang mungkin orang tersalah tanggapan,  apakah ia benar-benar seorang artis filem dan sinatron terkenal Indonesia, kerana  penampilannya  tidak seperti majoritas  artis-artis lain  yang sering mendedahkan aurat, sebaliknya Oki Setiana Dewi mengenakan jilbab labuh mentutupi sehingga paras dadanya.  Bertambah cantik dan ayu bila dipadankan dengan baju warna unggu yang dipakai malam itu.

“Oki memakai jilbab bukan disebabkan mahu  menghadiri acara “Bicara Selebriti” yang dianjurkan Kerajaan Negeri Kelantan, di Kota Bharu, tapi Oki memakai jilbab sejak usia 16 tahun dan sebelum berlakon filem” tutur Oki.

Ketika usianya 16 tahun   ia bertekad mahu menjadi seorang solehah , meskipun ia menyedari ilmu agamanya sangat minimum ketika itu. Namun telah tertanam dalam hati nuraninya satu perasaan bahawa perjalanan hidupnya kini menuju Allah SWT. Memakai kerudung adalah satu perintah agama,  untuk menjaga keselamatan wanita,  justeru tiada alasan untuk  muslimah mengingkarinya. 

Sehingga jika datang keinginan untuk melakukan hal-hal yang ditegah agama, ia teringat kerudung yang dipakainya, lantas tak jadi melakukannya. Kata Oki yang ketika itu tinggal di Batam, Riau bersama orang tuanya.

Namun memakai jilbab atau kerudung dalam usia muda pastinya banyak cabaran. Pernah orang bertanya, kenapa sih kamu pakai kerudung, bukankah itu pakaian Arab? Oki lantas menjelaskan, ini bukan pakaian Arab tapi pakaian Islam bagi muslimah. Beritahu Oki di acara bicara Selebriti malam itu.

Oki sejak dari kecil bercita-cita mahu jadi artis, namun setelah berubah ke jalan Allah dengan   memakali kerudung dalam usia 16 tahun, ia merasakan peluangnya untuk menjadi artis tertutup rapat. Cita-citanya harus dikuburkan  kerana mana ada direktor filem mahu mengambil wanita yang memakali kerudung sebagai artis. Lantas Oki bercita-cita pula mahu menjadi guru.
Selanjutnya,  kata Oki “Suatu hari, tanpa diduga,  terima telefon dari direktor filem. Kamu ditawarkan berlakon filem. Belum usai percakapan,  Oki beritahu, aku sekarang memakai jilbab. Mana bisa…Jawab direktor.  Bisa!”

Mendengar tawaran itu,  cita-citanya mahu jadi artis filem seperti hidup kembali.  Ia berlari ke musolla lantas  mengadu kepada Allah SWT. “Ya Allah, aku sekarang sedang berlari menuju-Mu. Manakala  rezeki  juga di tangan-Mu. Jangan persulitkan rezekiku lantaran jilbab ku ini. Namun paling penting, apakah dengan pekerjaan ku (rezeki) sebagai pelakon filem  kelak akan berpaling dari-Mu?

Oki diterima berlakon untuk filem “Ketika Cinta Bertasbih”  yang diangkat dari novel Islami terkenal hasih karya Habiburrahman El-Shirazy dan diberi peranan  sebagai ustazah Ana. Filem itu bukan saja diminati di Indonesia, bahkan Malaysia.

Menurut Oki, maklumbalas  yang diterimanya selepas publik menonton filem KCB, ramai remaja perempuan mula memakai kerudung. Ini adalah kesan positif yang diterima mereka lewat filem itu. Dan ini merupakan salah satu dari uslud dakwah. 

Mengakhiri  “Bicara Selebriti” Oki mendeklamasi sebuah puisi terkait dengan pengalamannya selama 4 hari di Kelantan dan kesempatan berjumpa dengan Menteri Besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz  Nik Mat di kediaman rasmi Tok Guru, di JKR 10. 
Negeri Kelantan Seindah Namamu
Tanah Serendah Sekebun Bunga
Negeri Tadahan Wahyu
Cik Siti Wan Kembang
Cukup indah namamu
Seindah negerimu
 Duhai
Wajahmu nan indah
Persis Jeddah
Yang pernah ku lewati
Taat menjunjug al-Quran
Teguh menggalas syariat
Yang tidak pernah goyah
 Tersentuh hati kudus ku
Lantaran aku di sini
Biar tidak pernah ku duga
Bertemu seorang ulama’
Yang dicintai rakyatnya
Lalu…
Kuntum rindu yang lama tersimpan
Terubat jua akhirnya
Biar sekelumit Cuma
 Beruntung rakyatnya
Menumpang teduh seorang ulama’
Yang lembut… tapi tegas beribadat
Yang pengasih…namun tidak goyah
Pada percikkan kealpaan dunia
 Pasti aku merindui mu lagi
Entah kapan bisa diubati
Cuma setitis doa bisa ku titip buatmu
Moga sejahtera selamanya
Memacu
Membangun Bersama Islam
Moga kita bertemu kembali
Selama berada di Kelantan, Oki juga meluncurkan buku novel terbaru beliau selepas  novel pertama Melukis Pelangi di Perpustakaan Negeri Kelantan. Manakala pada pagi Jumaat Oki menghadiri kuliah mingguan Tok Guru di Medan Ilmu, Kota Bharu.
Seperti kata moderator pada malam itu, pengacara undangan dari TV Hijrah, Amim Idris, Negeri Kelantan sejak dulu menjadi tempat artis-artis yang berhijrah kepada kehidupan lebih Islami meluahkan perasaan dan isi hati mereka untuk  dikongsi bersama bagi menghidupkan dakwah Islamiyyah dan memantapkan iman.

Tahniah penganjur khususnya YB Ustaz Ahmad Bhaiki Atiqullah.

1 comment:

  1. Cara berpakaian OSD boleh dijadikan contoh , seorang muslimat selebriti.

    Cara berpakaiannya begitu sopan, tudungnya labuh, lengan bajunya tidak tersinsing ke paras lengan. Jelas nampak kesungguhannya menghayati konsep menutup aurat. Tidak nampak ia bergincu , yang termasuk dalam tabarruj.

    Jauh beza dengan beberapa pelakon dan penyanyi perempuan melayu Malaysia yang mahu kembali kepada Islam dengan memakai tudung tanpa memahami konsep menutup aurat itu sendiri.
    Tudung mereka tidak menutup dada, pakaian ketat atau seluar ketat , bergincu, cabut bulu kening, mascara , yang semua ini jatuh ke dalam tabarruj yang ditegah.
    Ini lebih mirip kepada mempersendakan hukum Allah.Cara mereka ini lebih merosakkan dari membina kerana cara mereka ini yang tak betul, dijadikan tiruan oleh pemudi-pemudi lain, yang mengangggapnya betul.

    Ada kalangan mereka seperti ini (penyanyi atau pelakun) dipanggil oleh Kelantan , berforum tentang Islam . Elok kerajaan Kelantan bertindak proaktif dengan menentukan kepada mereka cara penampilan diri yang menepati konsep menutup aurat, bukan asalkan ada secebis kain tudung di kepala dah ok.

    Shabas MPKB yang telah menyaman perempuan pakai tudung tapi baju lengan pendek.Memang kena pada tempatnya.

    Moga-moga Allah jauhkan kita dari bersenda-senda dalam mengikut perintahnya.

    ReplyDelete