Sunday, March 4, 2012

Kisah pemimpin terdesak


Oleh: Rossem

Muammar Gaddafi di penghujung hidupnya,  sewaktu  diberkas saat melarikan diri di perbatasan Libya-Niger. Kepada  penentangnya  yang terdiri anak-anak muda,   dengan suara tersekat-sekat, beliau  merayu “ Wahai anak-anakku berhentilah  memukulku, beritahu padaku, berapa wang kamu  mahu. Sebut saja jumlahnya  akan ku berikan, kemudian  biarkan aku melepasi perbatasan  dengan selamat tanpa gangguan.”.

Gaddafi  menduga anak-anak muda itu akan menerima tawaran, sepertimana rakyat Libya sebelum ini menerima wang yang ditaburkan  kepada mereka sepanjang pemerintahnya kurang lebih 40 tahun. Namun pada hari itu berlaku sebaliknya.

Rakyat Libya, khususnya  anak-anak muda  menolak dengan keras tawaran wang, walhal kalau mereka  mahu, harga yang akan dibayar Gaddafi untuk menebus nyawanya dan menyambung kembali tali hayat pepemerintahannya adalah sangat  tinggi, sebuat saja, 2 juta Dollar, 10 juta Dollar atau 100 juta Dollar,  bahkan lebih dari itu, pasti ditunaikan.

Saat menawarkan itu, Gaddafi menjangka, rakyat Libya khususnya anak-anak muda yang menangkap beliau  masih berfikiran seperti sebelumnya, akan menerima ganjaran yang ditawarkan. Kerana kaedah mengumpan wang  sudah menjadi budaya negara dan sinonim dengan rakyat Libya,  sejak mengambilalih pemerintahan dari Raja Sanusi.

Rupanya  pada hari itu, disaat kekuasaannya diasak ke dinding, tika nyawanya diambang maut, Gaddafi baru tersedar dari mimpi yang panjang, bahawa wang sudah tidak berharga lagi. Wang tidak boleh menolong mempertahankan kekuasaan seseorang pemimpin, bahkan wang tak mampu lagi menyelamatkan nyawanya sendiri.

Hari itu, di  tanah gersang berpasir di selatan Libya, Muammar Gaddafi menemui ajal di tangan anak-anak muda yang memburunya sekian lama.

Namun, atas nama persaudaraan Islam, kita bersimpati dengan apa yang terjadi, tapi  realiti dan hakikat terbukti, bahawa  wang tidak boleh mempertahankan kekuasaan seseorang.

Hari ini di Malaysia, seorang pemimpin negara membeli hati rakyat dengan wang ringgit. Bermula tiga bulan lalu sehingga  sekarang masih belum selesai pembahagiannya kepada yang layak menerima.  

Pemberian  RM100, RM200,  RM500 dan  pelbagai lagi tawaran yang bernatijahkan   wang.  Tawaran itu meliputi  seluruh lapisan masyarakat, seperti murid sekolah, isi rumah  berpendapatan ke bawah RM3 sebulan,  kakitangan kerajaan, pesara, golongan  seniman dan lain-lain.

Kenapa sebelum ini tidak diagihkan pemberian seperti itu?.  Tentu ada sebabnya. Seperti juga Muammar Gaddafi tidak akan menawarkan wang berbilion dollar kepada anak-anak muda yang memburu dan mahu membunuhnya  sekiranya  beliau merasakan nyawa dan kekuasaannya masih selamat. Sebaliknya beliau melakukan demikian setelah menyedari kekuasaannya dalam kritikal. 

Apakah Presiden UMNO juga merasakan  kekuasaan UMNO/BN kini dalam kritikal?





No comments:

Post a Comment