Oleh: Rossem
Lumrah. Orang kaya berkawan dengan orang kaya, orang miskin berkawan
dengan orang miskin. Orang kaya tak mahu bersahabat dengan orang
miskin kerana setiap kali berjumpa, diajak makan dan yang membayarnya
si kaya. Tapi kalau orang miskin berkawan sesama miskin, masing-masing
boleh bertolak ansur, hari ini si miskin A bayar dan besok giliran
si miskin B pula yang bayar.
Miskin sesama miskin ada auranya, mudah berputik rasa “bersahabat”
dari dalam hati nurani secara spontan. Hal ini terjadi disebabkan
pengalaman kemiskinan itu sendiri sentiasa mendepani yang lain.
Justeru kedatangan penulis ke Sabah tanggal 18 Mac lalu disambut mesra
oleh teman-teman di Negeri Bawah Bayu, kerana hati kecil masing-masing
merasakan, rakyat Sabah dan Kelantan punya nasib yang sama,
berstatus negeri termiskin diantara negeri-negeri dalam Malaysia.
Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kononnya membuat
sedikit “pembetulan” sewaktu lawatannya ke Sabah Februari lalu,
dengan mengumumkan, rakayat Sabah boleh menarik nafas lega kerana
Negeri Bawah Bayu itu kini tidak lagi negeri paling miskin, tempatnya
diambilalih Kelantan, namun kelakar Najib itu menjadi bahan ketawa,
bukan saja penduduk Sabah, bahkan penduduk Kelantan.
Atas faktor pengisytiharan Najib itu telah mendorong saya dan
rombongan meninjau negeri Sabah, mahu melihat dari dekat; apakah
benar penduduk negeri itu sudah memotong Kelantan satu kilometer ke
depan dari jarak kemiskinan paling bawah.
Hal yang sama juga berlaku di Kelantan, ada orang Johor, Selangor,
Melaka, Pulau Pinang datang ke Kelantan semata-mata mahu melihat
kemiskinan negeri Serambi Mekah, adakah rakyatnya dapat makan nasi,
apakah tidurnya berbumbungkan langit.Ini berlaku setelah Najib
mengumumkan; Kelantan negeri termiskin di Malaysia menggantikan negeri
termiskin sebelumnya iaitu Sabah.
Seminggu sebelum saya ke Sabah, rombongan penulis dari Shah Alam,
Selangor, datang ke Kelantan diketuai Uthaya Sankar, ikut bersama
ialah novelis terkenal yang sudah banyak menghasil novel Islami,
Rohani Deraman, bloggers dan facebooker.
Sebaik saja bertemu Uthaya, pertama-tama diberitahu tujuan
kedatangannya ke Kelantan ialah mahu melihat kemiskinan penduduk
negeri yang diperintah PAS, kerana Najib sudah menganugerahkan gelaran
baru bagi negeri pimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ini dengan
gelaran baru; negeri termiskin dalam Malaysia.
Saya bertanya Uthaya Sankar; apa yang anda lihat di sini? “Saya tak
melihat kemiskinan di Kelantan, bahkan kondisi rumah warganya jauh
lebih baik daripada sesetengah negeri di Malaysia. Rumah di Kelantan
rata-rata dibina dengan batu, besar dan cantik. Kata Uthaya.
Seterusnya saya memberitahu rombongan dari Shah Alam itu, yang miskin
di Kelantan ialah kerajaan negeri, sedang rakyatnya tidaklah semiskin
seperti digambarkan. Kerajaan negeri miskin, disebabkan Pusat telah
merompak royalti minyak. Lima persen hasil minyak yang diperolehi dari
perut laut wilayah Kelantan tidak diberikan kepada yang berhak
mengikut perjanjian yang dimeteri di zaman Perdana Menteri Malaysia
kedua, Abdul Razak Hussain iaitu kerajaan Kelantan.
Pusat rompak wang royalti, kemudian dikatakan negeri Kelantan
termiskin dalam Malaysia. Suatu hal tak patut diucapkan seorang
perdana Menteri. Konsep federalisme harus dikekalkan. Berbeza parti
yang mentadbir Kelantan bukan penghalang royalti minyak disekat.
Berbeza parti adalah warna-warni sebuah demokrasi yang segar.
Berbalik kepada Sabah. “ Jangan cuba membohongi orang Sabah,
kemiskinan rakyat tidak berubah, masih tetap seperti dulu” ujar
Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd. Aminuddin Aling bila ditanya tentang
tahap kemiskianan di Sabah.
Beliau lalu mengajak kami menaiki boat ke Pulau Gaya yang letaknya
bertentangan dengan Kota Kinabalu untuk melihat sendiri sejauh mana
kemiskinan menerjah kehidupan penduduknya.
Boat laju yang memuatkan lima orang termasuk Speaker DUN Kelantan,
Dato’ Haji Nassaruddin Daud, Setiausaha Peribadi Menteri Besar
Kelantan, Haji Wan Zulkifli Wan Muhamad dan Puji dari KTV berlepas
dari pengkalan di Kota Kinabalu dan tiba di jeti masjid Arikob, Pulau
Gaya kurang lebih 15 minit. Selepas menunaikan solat sunat masjid
kami beramah mesra dengan warga di situ termasuk imam.
Sewaktu kami beredar dari jeti, seorang warga yang berdiri di
jambatan kayu berbisik “ Kami penyokong PR” Terkejut mendengarnya,
kerana selama berada di perkampungan air itu langsung tak berbicara
seputar politik.
Sesiapa yang pertama kali melihat perkampungan warga yang dibina di
permukaan air laut pasti terkejut. Tiada rumah sedemikian di
Semenanjung. Melihat anak-anak yang kumuh tanpa baju bermain-main di
serambi rumah hati jadi luluh. “Ini betul-betul miskin. Bukan cubaan…”
keluh ku.
Sebaliknya, di seberang sana, Kota Kinabalu, hotel-hotel mewah empat
dan lima bintang berdiri megah, siap menunggu pelancong, domestik dan
luar negara. Kemudian pelancong -pelancong itu dibawa melawat Pulau
Gaya untuk melihat rakyat Sabah yang dihimpit kemeskinan tegar.
Rupanya kemiskinan itu menjadi produk yang menguntungkan pihak-pihak
tertentu.
Jurang antara kaya dan miskin di Sabah sangat ketara. Maka benarlah
seperti kata warga Sabah yang saya temui di Tawau dua hari sebelum
itu “ Rakyat Sabah miskin, yang kaya pemimpinnya”.
No comments:
Post a Comment