Oleh: Rossem
Sebelum manusia mengenal huruf, Lukisan dan
lakaran kartun adalah bahasa visual paling awal.
Berilah sebatang pensil dan kertas kepada kanak-kanak seawal usia dua
tahun , ia akan menconteng, membuat garisan , titik, membentuk menjadi imej
tertentu. Naluri manusia tanpa mengira
usia ingin meluahkan sesuatu yang tersimpan di hatinya. Justeru, lukisan kartun adalah bahasa visual paling mudah. Kartun
juga boleh mengkritik
kepincangan masyarakat dengan gaya lucunya tanpa menimbulkan amarah.
Sejarah menunjukan seni kartun di Malaysia berkembang sejak era sebelum kemerdekaan. Kartun-kartun ketika itu digunakan untuk membangkitkan kesedaran, betapa pentingnya negara lepas bebas dari
penjajah Inggeris. Kartunis Ali Sanat,
misalnya dengan watak “Wak Ketuk” sering
dikaitkan dengan unjuran nasionalisme Melayu dalam usha membangkitkan kesedaran
sosial, ekonomi dan politik rakyat Tanah Melayu. Kartun Allahyarham dimuatkan dalam akhbar Warta
Jenaka, Warta Ahad, Utusan Zaman sekitar
tahun 1940an.
Selepas kemerdekaan
1957, Raja Hamzah (Allahyarham) dengan
kartun “Dol Keropok” disiarkan dalam Utusan Melayu bermula tahun 1958, seterusnya di Berita Harian. Karya beliau berupa sindiran tentang kepincangan masyarakat, budaya dan
pemikiran khususnya orang Melayu ketika
itu.
Dunia kartun Melayu
terus bersinar dengan
kemunculan Allahyarham Rejabhad seorang tentera, Datuk Lat atau Mohd Nor Khalid, Mishar,
Rossem seorang anggota polis Diraja
Malaysia, Jafaar Taib, Zainal Buang Hussain, Nan, Kerengge, Juragan, Tazidi,
Bor, Roslim, mie dan ramai lagi. Karya-karya mereka penuh dengan sindirian, dimuatkan dalam media
cetak, suratkhabar dan majalah. Mereka
adalah kartunis yang tajam pengamatannya.
Datuk Lat bukan saja terkenal di Malaysia, bahkan seluruh dunia. Buku
kartun beliau “Kampung Boy”
diterjemahkan ke dalam pelbagai
bahasa seperti Jepun, Arab, Cina
dan lain-lain.
Kartun Malaysia terus disemerakkan lagi dengan
kemunculan kartunis lapisan kedua yang lebih berani dan tajam seperti Zunar. Kritikannya menjadikan orang bersalah
kecut perut. Buku-buku kartun beliau ada yang
diharamkan. Namanya terkenal seluruh dunia. Banyak anugerah peringkat
antarabangsa diterima, antaranya “Anugerah Kartun Untuk Keamanan 2016” .
Negeri Kelantan
sering dikaitkan dengan “lubuk penyair”
kerana ramai dikalangan penyair terkenal
berasal dari negeri Cik Siti Wan
Kembang. Kelantan juga boleh dipanggil
“lubuk kartunis dan pelukis komik Malaysia kerana ramai golongan itu anak jati Kelantan.
Nor Zaharah Abdullah atau Nora anak Kelantan, mula melukis komik pada 1955 ketika berusia 15 tahun. Komik pertama dihasilkan berjudul “Cik Siti
Wan Kembang”, dikuti “Duyung Emas” dan “ Lembah Hidup”. Beliau sekarang menetap di Kuala Lumpur dan
uzur. Nik Mahmood Idris seorang guru
juga anak jati Kelantan, melukis komik sejak sebelum merdeka. Dikuti dengan
K. Bali lahir di Tendung, Pasir Mas , beliau Cina-Thai yang memeluk Islam
dan Othman Kangkong dari Kg. Kangkong
Pasir Mas (Allahyarham).
Selepas merdeka muncul
Razali Haji Othman atau Rizalman, asal Tumpat. Berhijrah ke Kuala Lumpur membuka penerbitan komik (Raz Studio). Majalah komik
terkenal “Bujal” , Salina” dan lain-lain diterbit
sendiri. Yamin Daud dianggap seorang tokoh besar dalam
bidang penerbitan komik sekitar awal tahun 1970an beroperasi di Paya Bemban, Kota Bharu sebelum
berpindah ke Kuala Lumpur. Ramai pelukis
komik bergabung dengan beliau , antaranya Hussain Saad (Allahyarham), Rossem,
Maarof Awang, Khuzae, Saari A.M dan Rudi
Mahmood.
Abdullah Ibrahim atau Dol berasal dari Kota Bharu, pernah
bekerja sebagai pelukis Dewan Bahasa dan Pustaka juga seorang pelukis komik
terkenal sekitar tahun 1980an. Ahmad Hilmy atau Mie seorang arkitek , masih
menghasilkan karya kartun sampai
sekarang. Kartun-kartun beliau
bertemakan kebudayaan rakyat Kelantan dan dibukukan.
Datuk Azman Yusof
juga anak jati Kelantan, lahir 1955 di Kota Bharu. Salah seorang
pengasas Creative Enterprise Sdn Bhd yang menerbitkan majalah Gila-Gila.
Sekarang dilantik sebagai pelukis Diraja
Selangor oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Rosidi Semail atau Rossem
kartunis asal Kelantan yang
menempah nama di akhbar Utusan Malaysia (1978- 1993) dengan watak kartun
“Konstabel Jabit” , kemudian bekerja
sebagai kartunis editorial akhbar The Sun, Petaling Jaya, Selangor (1993-2001).
Beliau dianugerahkan Tokoh Kartunis Malaysia 2017 oleh Rumah Kartun dan Komik
Malaysia, Kuala Lumpur. Sekarang beliau mengendalikan “Balai Kartun
Rossem (BKR)” di Peringat, Kota Bharu. BKR dijadikan galeri
tempat menyimpan dan mempamirkan khazanah kartun dan komik Malaysia sejak era sebelum kemerdekaan
hingga sekarang. Pelajar-pelajar universiti yang mengambil jurusan seni, mahu membuat rujukan tentang sejarah kartun
dan komik tanahair boleh datang ke
BKR.
Negeri Cik Siti Wan Kembang tak pernah tandus dengan seniman kartun dan komik. Generasi
pelapis muncul dengan lebih kreatif.
Kartunis Kamal Nawie dan Cas menjadi rebutan. Dua nama itu dikenali sebagai karikaturis
terbaik di Kelantan.
Dalam kontek budaya visual hari ini,
kartunis adalah seniman paling ke hadapan dalam menyampaikan mesej-mesej tertentu
kepada orangramai.