Tuesday, June 8, 2010

Lanun tiada lagi di Laut Caribbean tapi di Laut Mediterranean

Oleh: Rossem


Di sana sini rakyat Malaysia meneriakkan “pergi jahanam Zionis Israel dan Selamatkan Palestin”. Para pemimpin politik Pakatan Rakyat khususnya PAS mengerakkan ribuan pendukungnya di seluruh negara berkumpul di lapangan untuk menyuarakan kemarahannya terhadap tindakan biadap tentera Zionis menyerang kapal bantuan misi kemanusian yang sedang belayar menuju Gaza di Laut Mediterranean. Di Kuala Lumpur lebih 20 ribu rakyat membanjiri perkarangan kedutaan Amerika Syarikat selepas usai solat Jumaat, 4 Jun. Turut melakukan demonstrasi ialah NGO-NGO. Tidak ketinggalan UMNO.


“Kita boikot semua produk Israel, dari minuman seperti kopi, makanan segera, air berkarbonat dan perkhidmatan yang terkait dengan negara Yahudi” Laung Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin. Bicaranya lantang, bersemangat dan berapi. Puluhan produk Israel disebut-sebut untuk mengingatkan setiap rakyat Malaysia agar segera memulau produk dari negara rejim ganas itu. Yang tidak disebut hanya APCO. (Apco Worldwide, syarikat perunding yang dikatakan pro Israel dan berkhidmat untuk Malaysia).


Lalu beberapa teman mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) meminta saya melukis kartun khusus tentang kehipokritan pemimpin tertentu. Menurutnya, selagi kita merelakan APCO masuk ke rumah kita, tidur sebantal dengan kita, maka apalah gunanya berdemonstrasi dan berteriak yeh yeh mengutuk Israel. Kerana perbuatan itu hanya mengundang ketawa publik.


Atau mungkin juga sebuah sandiwara!


Seperti pernah terjadi suatu masa dulu, ketika era perang dingin sedang memuncak. Ada sebuah negara Arab, pada siang harinya , di hadapan khalayak rakyak mengutuk keras Amerika Syarikat. Pada malam harinya, sang pemimpin menelefon presiden Amerika Ayarikat memberitahu “Tuan Presiden, saya lakukan disiang tadi cuma lakonan. Saya terpaksa lakukan seperti itu (kutuk AS) agar rakyat terus menerus menyokong saya dan saya dapat memerintah lebih lama”.


Selanjutnya, lewat media, kita dapat melihat aksi para penunjuk perasaan meluahkan rasa benci dan geram yang tidak terhingga kepada komando rejim Zionis yang sangat brutal saat mendepani para aktivis misi keamanan internasional ketika menawan kapal Mavi Marmara yang sedang belayar menuju Gaza. Reaksi para demonstration adalah berbagai, ada yang menjulang sepanduk, berteriak, menghayung penumbuk dan membakar bendera bintang berbucu enam- Israel. Kebencian itu diluahkan secara spontan terhadap sebuah rejim yang tidak berperikemanusian.


Tiada semburan gas pemedih mata atau tangkapan dilakukan polis seperti berlaku kepada penunjuk perasan lain!


Di Kota Bharu, kurang lebih dua ribu orang berkumpul di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV sejak awal pagi Jumaat tanggal 4 Jun. Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat sepatutnya memberi kuliah mingguan di Dataran Ilmu pada pagi itu, namun telah memindahkan lokasi kuliah ke Dataran Stadium, sekaligus melancarkan protes besar-besaran, mengisi program itu dengan ceramah berkaitan dengan Palestin, baca puisi dan solat hajat berjamaah.


Sehari sebelum itu saya telah diminta panitia menjemput Dinsman, sosok pemusi terkenal tanahair untuk mengklamasikan sajak khusus tentang Palestin pada acara itu. Beliau sampai ke Kota Bharu sebelah malamnya, walhal, Dinsman sudah terikat dengan sebuah lagi program baca sajak di Rumah Pena, Kuala Lumpur pada keesokan malamnya, namun kerana semangat dan demi rakyat Palestin yang dizalimi, juga kerana jemputan Tok Guru, beliau sanggup ke Kelantan.


Dan pada pagi yang cerah, di hadapan ribuan muslimin dan muslimat, di posisi yang sangat hampir dengan Tok Guru, Dinsman membaca puisi dengan penuh semangat sambil berdiri. Khalayak pendengar terpaku seketika.


Pada bait pertama puisinya beliau membaca sepotong ayat al-Quran yang bermaksud “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan reda kepadamu sehingga engkau mengikut agama mereka. Katakanlah sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk sebenar. Sekiranya engkau mengikut kemahuan mereka setelah mengetahuinya. Tiadalah lagi untukmu perlindungan Allah dan pertolongan-Nya. (Q.Surah al-Baqarah:120)


Tiada bunyi laungan dan teriakan keras orangramai mengutuk Israel seperti tempat-tempat lain pada pagi itu. Ternyata di sini tidak ada istilah Emosional. Tidak ada histeria. Orang Kelantan sedar, untuk apa laungan keras, untuk apa hingar bingar, sedangkan dunia sudah lama pekak tuli dengan isu kezaliman Zionis terhadap rakyat Palestin. Dunia sudah terlena di ribaan Amerika Syarikat.


Sebaik-baiknya umat Islam mengadu langsung pemasalahan mereka kepada Allah SWT Yang Maha Berkuasa. Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Menyedari hakikat itulah makanya pada pagi itu, usai kuliah Tok Guru semua yang hadir bersolat hajat berjamaah. Tok Guru sendiri mengimami solat. Diakhiri dengan doa panjang sekitar 20 minit. Di penghunjung doa, suara Tok Guru tersekat-sekat dengan isak tangis. Majlis pada pagi itu terasa keberkesanannya, terasa tersentuh kerohaniannya berbanding dengan teriakan dan laungan kutukan yang keras dan berapi tapi kakikatnya kosong.


Pada pagi itu, Abdul Hadi, seorang wakil Palestin yang juga turut berucap memberitahu bahawa Turki akan bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan rejim Israel sebagai memprotes serangan komondo Israel ke atas kapal misi bantuan yang diketuai Turki. Mendengar itu, Israel terus menghubungi pemerintah Turki, memujuknya agar tidak memutuskan hubungan diplomatik. Namun Turki yang dipimpin Abdullah Gul mengenakan syarat yang berat, salah satunya, Israel hendaklah memohon maaf kepada Turki secara terbuka dan menyerahkan penjenayah kemanusian itu kepada mahkamah antarabangsa untuk diadili.


Ketika api kemarahan sedang marak, tiba-tiba terbaca sebuah berita; Seorang Rabbi Yahudi yang anti Israel dari kelompok Nature Karta mengecam Zinosme dan menyatakan lebih baik tinggal di bawah kekuasaan dan hukum Islam daripada di Israel. Mereka merasakan, datuk nenek mereka lebih aman tinggal bertahun-tahun dalam perlindungan Khilafah, terutama dari zaman Nabi Muhamad saw sampai Ali bin Abi Tholib.


Membaca itu, hati kita pun sejuk!

No comments:

Post a Comment