Tuesday, May 25, 2010
Bolasepak dan sepakjudi
Oleh: Rossem
“Tidak lama lagi ramai rakyat Malaysia bangun malam”. Bila saya melontarkan ungkapan itu kepada seorang teman, dengan spontan ia bertanya separuh lucu; bangun untuk qiyamul lail? Tidak, jawabku, mereka bangun mengadap televisyen untuk menonton bolasepak Piala Dunia yang akan berlangsung di Afrika Selatan dan dipancarkan terus menerus hampir ke seluruh planet bumi termasuk Malaysia.
Kenapa mereka (umat Islam) sanggup bangun jam 3.00 pagi hanya untuk menonton pertandingan bolasepak? Apakah tidak mengantuk?. Terfikir juga, mengapa untuk sebuah pertandingan seperti itu kita begitu mudah bangun malam?
Jawabannya kerana adanya niat, keinginan yang kuat dan minat yang menebal.
Lalu, pernahkah kita merasa ada niat dan keinginan untuk sengaja bangun di malam hari, di jam yang sama, tapi dengan tujuan yang berbeza. Kali ini bangunnya bukan untuk menonton pertandingan bolasepak, tapi bangun untuk qiyamul lail, melakukan solat tahajud. Mendekatkan diri dengan Allah SWT, Tuhan yang menciptakan kita. Waktunya sama, kira-kira dari pukul tiga sampai lima Subuh, kerana itulah sepertiga malam terakhir yang dianjurkan Rasulullah SAW untuk solat tahajud.
Atau setidak-tidaknya, bangun awal sedikit, sebelum pertandingan bola sepak bermula, ambillah masa kurang lebih setengah jam untuk memanfaatkannya dengan solat tahajud, dua rakaat atau empat rakaat juga boleh.
Hidup memang pilihan dan harus memilih. Mahu bangun tengah malam untuk menonton bolasepak atau bertahajud atau dua-duanya sekaligus, itu juga adalah sebuah pilihan. Tapi Allah SWT sudah merancang heningnya malam untuk sebuah kenikmatan beribadah. Bagi kita, jangan lepas peluang itu. Pilih kemanisan menonton bola sepak atau kemanisan beribadat di sepertiga malam. Sambil bersimpuh di atas sejadah cinta, mohonlah kepada Rabb apa yang dinginkan.
“Dan pada sebahagian malam bertahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu: mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.’ (QS Al-Israa.17:79).
Cerita tentang bolasepak tidak hanya sepkadar bangun malam mengadap televisyen sambil menghirup kopi panas atau menonton beramai-ramai bersama teman-teman di café house lewat skrin gergasi, sambil bertepuk tangan dan ketawa terbahak-bahak Tapi disebalik permainan yang diminati ramai itu, ada tangan-tangan kotor telah dengan sengaja mencalit najis ke atasnya. Bolasepak Pila Dunia telah dijadikan alat untuk satu bentuk perjudian yang dihalalkan di Malaysia oleh kerajaan BN-UMNO.
Keputusan pemerintah Malaysia meluluskan lesen judi bolasepak Piala Dunia mengejutkan ramai orang. Bahkan tidak keterlaluan sehingga dikatakan bahawa, baru menang satu kerusi parlimen Hulu Selangor, UMNO sudah berani meluluskan lesen judi. Kalau menang lebih banyak lagi, barangkali banyak lagi lesen maksiat dikeluarkan.
Isu judi bolasepak ini akan berlanjutan. Ia tidak cepat berkubur seperti isu-isu lain. Bahkan akan sentiasa hidup dan dimanfaatkan sepenuhnya kaum oposisi untuk menyerang UMNO. Meriam akan terus ditembak sehingga pilihan raya umum ke 13 nanti. Senjata ini ternyata sangat efektif kerana judi itu sendiri amat sensitif dengan umat Islam, apalagi ditegah oleh agama.
Kita pun tidak faham, dari segi moralnya kenapa UMNO-BN masih berminat untuk melesenkan judi. Apakah mereka tidak tahu bahawa tindakannya itu pasti akan diprotes umat Islam negara ini. Hati dan perasaan umat Islam Malaysia pasti terluka, manakala untuk menghilangkannya tersangat sukar.
Namun di luar wilayah moralnya kita faham, UMNO-BN sudah terhutang budi kepada taukeh-taukeh judi tersebut, justeru inilah caranya untuk membalas kebaikan mereka, kerana selama ini telah menolong UMNO-BN, terutama saat setiap kali menghadapi pilihan raya, sama ada pilihan raya umum atau kecil.
Kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato” Nik Abdul Aziz Nik Mat; Sewaktu pemerintahan Islam di Madinah, pelbagai maksiat berlaku, seperti minum arak, judi, rogol, rompak, tetapi bila turun ayat diharamkan arak, warga Madinah meninggalkannya terus, sehingga tempayan arak pun diterbalikkan, berbeza dengan sekarang, di bawah pemerintahan BN-UMNO, tiba-tiba judi diberi lesen.
Itu opini Tok Guru, tokoh dari kalangan ulamak dan politik Islam. Sosok ini antara yang sering mengkritik parti nasionalis sekular itu. Kritikannya dianggap lumrah. Namun yang bukan dari kalangan orang politik juga turut memprotes keras pemberian lesen judi, antaranya bekas pemain bolasepak kebangsaan, Datuk Abdul Ghani Minhat dan Presiden Persatuan Bolasepak Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh. Hanya yang terkunci mulutnya ialah menteri yang menjaga Islam di Jabatan Perdana Menteri, serta para syhibul samaah mufti-mufti.
Selanjutnya tentang judi bola. Kementerian yang meluluskan judi ialah Kementerian Kewangan. Lewat Menterinya Datuk Chor Chee Heung dan Timbalannya Datuk Awang Adek Hussin ( kebetulan orang Kelantan) menegaskan telah memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan aktiviti perjudian pada Kejohanan Bolasepak Piala Dunia 2010.
Dalam hal ini, bagi orang Kelantan, tengok saja bola, ingat nama Timbalan Menteri asal Kelantan itu. Walaupun bukan beliau yang harus dipertanggungjawabkan dalam hal ini, namun pupularitinya di Negeri Serambi Mekah pasti terjejas teruk. Setiap rakyat Kelantan akan mengingati nama itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment