Monday, May 3, 2010
Kelantan, RM4 juta dan Blogger.
Oleh: Rossem
Di negara yang berhari-hari dipanasi politik dan maki hamun serta suara bising orang tertentu yang bicaranya berbentuk dakwaan, sedang matlamatnya mahu menjatuhkan tokoh tertentu, akhirnya fikiran rakyat menjadi bingung. Kehidupan sehariannya menjadi terganggu. Kerja-kerja rutinnya menjadi hilang fokus.
Publik kemudiannya hanyut di bawah arus yang diciptakan, sehingga sisa-sisa dari kalangan rakyat yang tidak termakan isu yang bersifat “dakwaan” itu menjadi semakin meluak dengan isu yang diputarkan silih berganti.
Kononnya, maklumat yang di paparkan, yang kemudiannya menjadi rebutan media arus perdana, sama ada media elektronik dan media cetak, adalah pendedahan umum bertujuan untuk memburukkan kredibiti tokoh tertentu. Namun sekarang tidak lagi terbatas kepada tokoh tertentu, bahkan terhadap parti yang didokong tokoh tersebut.
“Orang kecewa sanggup melakukan apa saja” kata salah seorang Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Mohd. Amar Abdullah. Beliau memberi komentar terhadap seorang bolgger yang mendakwa; sejumlah RM4 juta telah dibelanjakan oleh PAS untuk memburukkan reputasi Perdana Menteri ke lima, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan mewujudkan pesepsi buruk terhadap mantan Perdana Menteri itu bertujuan menjatuhkan beliau, UMNO/Barisan Nasional.
Dakwaan sang blogger itu dilambung tingi-tinggi sehingga sampai cucur atap. Kerana isu ini merupakan kesempatan terbaik yang ditunggu-tunggu sekian lama untuk menjatuhkan orang tertentu, sekaligus merosakkan imej PAS. Hal ini bukan aneh, ia lumrah dilakukan di negara yang mempraktikan sistem demokrasi. Sesiapa saja boleh membuka pekung di dada, seperti dilakukan sosok ini yang pernah berkhidmat dengan tokoh tertentu dalam PAS. Dan tentunya lebih mengetahui banyak rahsia tentang aktiviti para pemimpin parti tersebut. Hanya sejauh mana “kebenaran” isu yang diapungkan itu menjadi minat publik untuk mengetahuinya. Itu saja!
Namun bagi saya, Jika benar RM4 juta telah dibelanjakan untuk tujuan seperti dinyatakan, isu yang putarkan sang blogger itu ternyata telah memberi kredit kepada PAS, kerana dengan hanya wang sekecil itu, seorang bergelar Perdana Menteri terpaksa angkat kaki dari Putrajaya. Bukan itu saja, dengan wang sekcil itu juga, empat buah kerajaan gergasi BN runtuh pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dulu. Ternyata PAS lebih hebat dari Umno, sedang Umno telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk menawan Kelantan, namun gagal.
PAS Kelantan berjuang bermatian-matian untuk mempertahankan Negeri Serambi Mekah dari dirampas BN, kerana posisi kerusi Dewan Undangan Negeri ketika itu berada dalam kondisi cemas, hanya lebihan satu kerusi. Sedang BN mengasak kiri kanan, belakang dan depan. Tetapi PAS, dengan hanya bermodalkan RM4 juta (seperti didakwa blogger) tiba-tiba memperolehi kemenangan besar, berjaya merampas lebih banyak kerusi DUN, tinggal sisanya enam kerusi untuk UMNO.
Atau ibarat sebuah peperangan, satu pihak punya kelengkapan perang yang secukupnya, senapang, meriam dan tank, sementara satu pihak lagi hanya dengan bersenjatakan parang, lembing dan panah. Dalam peperangan itu pasukan yang menggunakan peralatan perang kuno tiba-tiba meraih kemenangan. Lalu dipertikaikanlah, dari mana parang, lembing dan panah itu diperolehi. Demikian juga dengan isu ini; ditanyakan dari mana wang RM4juta itu diperolehi dan kepada siapa diageh-agehkan.
Dan kalau benar terdapat penyelewengan, salah gunakuasa, korupsi seperti didakwakan berlaku dalam kes ini, terpulanglah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatannya.
Dalam hal ini, pemerintah punya injin terbaik dan lengkap untuk menyibarkan kepada rakyat apa yang didakwanya sebagai “kebenaran”. Maklumat untuk melemahkan parti lawan diselongkar sampai ke dasar, walhal, tidak semua yang diangkat itu sebagai satu kebenaran. Hanya media memutarkannya setiap masa suntuk tujuan perang saraf. Akhirnya rakyat menerimannya sebagai satu kebenaran.
Dalam hal ini juga barangkali sang blogger ini berpegang kepada prinsip kebenaran. Kebenaran harus dinyatakan meskipun pahit. Tapi “kebenaran” bukan autoriti, ia hanya kaidah.
Persoalan klasik kita, bagaimana sanggup ”kebenaran” jadi kaidah, bila ”kebenaran” itu sendiri jangan-jangan dibentuk oleh kekuasaan? Bagaimana menetapkan kebenaran itu, bila ibarat kata pepatah, ”kepala sama berbulu, pendapat berlainan”?
Namaun kebenaran yang tidak boleh disanggah ialah kebenaran al-Quran dan al Hadis.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment