Monday, April 19, 2010
Budayawan jangan jadi khazanah yang diam
Oleh: Rossem
Mereka menulis dengan gaya dan opini yang tersendiri. Mengupas isu-isu yang sangat terdesak. Meluahkan rasa hatinya yang paling dalam tentang nasib masa depan bangsa ini, terutama bahasa ibundanya- Melayu, yang menurutnya semakin mengecil, seperti sepohon bonsai yang hanya layak di simpan dalam pasu buat perhiasan.
“Saya melihat sastera Melayu sebagai khazanah yang diam” kata A. Samad Said dalam buku “Kumpulan Esei Budayawan Bertindak”. Selanjutnya sang tokoh itu menyambung: Sedangkan sastera boleh bersuara dan bertindak serentak di luar buku. Lalu beliau memberi contoh, Dinsman, sosok sasterawan yang telah pun mengembangkan sastera di luar buku. “Terbukti pada Dinsman bahawa seni kata wajar diperkayakan dengan seni tindak. Kerana itu, Dinsman tampaknya tidak lagi terlalu mempercayai karya seni diam”.
Selanjutnya beliau menyarankan: Teks drama perlu keluar ke tengah pentas. Harus bergerak menemui masyarakat. Kerana yang terkhazanah itu, (termasuk sastera) masih lagi “tidak hadir” selagi tidak ditemui dan dihidupkan melalui tindakan. Makanya sekali lagi Sasterawan Negara itu menuji Dinsman; melalui semangat Budayawan Bertindak menghadirkan diri di tengah khalayak mengisi pentas memberitahu khalayak bahawa sastera juga boleh merubah masyarakat.
Selama ini, pesepsi umum bahkan secara lojikalnya memertabatkan bahasa Melayu adalah tugas pemerintah, atas perhitungan bahawa penguasa pasti punya keupayaan maksimal untuk merealisasikan cita-cita dan perjuangan bangsa. Namun amanah yang diberikan kepada manusia yang begelar politikus itu hasilnya jauh menyimpang, bahkan sebaliknya. Seperti kata pepatah “harapkan pagar, pagar makan padi harapkan Yang Berhormat bahasa Melayu semakin tidak dihormati”.
Barangkali, itulah yang dimaksudkan Pak Samad, kesan daripada tidak keprihatianan pemerintah akhirnya “bahasa menjadi diam”. Sedang bahasa juga harus menjadi seperti air sungai yang mengalir deras, kerana “mengalirnya air” itu menjadikan mineral bersih. Jika diam terpaku, lama-lama akan menjadi busuk!
Albert Camus berkata: Bukan kerana perjuangan kita menjadi seniman, tetapi kerana kita seniman maka kita menjadi pejuang. Makanya A. Samad Said, Dinsman, Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Mohd Hasni Abas, Kassim Muhamad, Abd. Shukur Harun, Anbakri, Azizi Hj Abdullah, Anuar Asmadi, Amni Jagat, Dr. Ibrahim Gaffar, Mohd Azmi Abdul Hamid, Pyan Habib, Zunar (sekadar menyebut beberapa nama) mengerakkan upaya masing-masing, menyatakan protes secara terbuka bahawa dasar pembelajaran matamatik dan sains dalam bahasa Inggeris yang dipraktikkan pemerintah adalah merupakan satu penderaan terhadap bahasa ibunda sendiri- Melayu.
Mutakhir ini lewat media massa saban ketika dimuatkan berita seputar penderaan ibu atau ayah terhadap anaknya, sama ada anak kandung atau anaktiri. Ramai orang menangis sedih bila membacanya, walhal “bahasa Melayu” juga mengalami nasib yang sama- didera begitu rupa oleh ayah kandungnya sendiri yang kejam. Namun dalam kes ini tidak ramai yang menangis, hanya dikalangan kelompok budayawan bahasa sahaja yang terpanggil untuk menyatakan protes yang mendalam. Mereka itu seperti dikatakan Albert Camus; seniman yang menjadi pejuang!.
Bahasa itu adalah seni ucap tertua milik manusia. Bermula sejak Nabi Adam as kemudian mengembang mengikut geografi, wilayah dan daerah. Kerana perbezaan geografi itu menurut sasterawan terkenal Indonesia, Putuwijaya; Seni bahasa sebagai bahagian dari kebudayaan yang sebenarnya berharap akan mendapat kasih sayang yang lebih baik dari masa ke semasa dari pemerintah.
Selanjutnya sang sasterawan itu menambah; di negaranya, Indonesia bahasa juga menjadi pengemis yang berjuang sendiri untuk hidup. Berbeza sekali dengan kegiatan olahraga yang kendati prestasinya tak seberapa (bahkan bola sepak kalah melulu) tetap saja mendapat “bajet tahunan” yang lumayan.
Berbalik negara kita, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan salah satu badan yang ditubuh pemerintah untuk tujuan pengembangan bahasa dan sastera Melayu di Malaysia. DBP selama kewujudannya telah berfungsi dengan baik dalam lingkaran yang terhad. Tapi malangnya badan itu tidak diberi peruntukan kuasa bertindak menyaman mana-mana pesalah bahasa. Sebagai bukti, papan kenyataan, kain rentang, poster dan sebagainya yang mencemarkan bahasa dan salah ejaannya tidak dikenakan sebarang tindakan. Maka kita pun bertanya, mengapa hal seperti itu boleh terjadi?
Maka benar seperti kata Dato’ Dr Hassan Ahmad; Amat pelik kerana bahasa yang martabatnya mahu diperjuangkan atau diperkasakan itu bukan bahasa kecil-kecilan, bukan bahasa suku kaum yang hayatnya hampir pupus, tetapi adalah bahasa yang besar, bahasa yang selama lebih seribu tahun menjadi alat pembina tamadun tinggi di seluruh rantau Melayu-Indonesia, merentas sempadan bahasa-bahasa etnik yang beratus banyak, bahasa yang pernah menjadi bahasa kerajaan lama sebelum bahasa Inggeris menjadi bahasa kerajaan atau bahasa ilmu di tempat yang hari ini disebut England.
Justeru, sayangilah bahasa itu. Letakkan ia di tempat yang sewajarnya ia berada!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Salam Rossem,
ReplyDeleteKawe baru jumpo blog demo. Kemah!