Wednesday, May 4, 2011

Sumpah Laknat- Budaya Orang Melayu?

Oleh: Rossem
Bangsa adalah apa yang tersisa dari moralnya, jika moralnya hilang,
maka bangsa juga akan turut hancur.

Kata-kata itu adalah ungkapan para pemikir silam. Kata-kata itu tidak
hanya dituju kepada lingkungan mereka dizaman itu, bahkan sesuai untuk sepanjang
zaman.

Ketika bangsa Melayu diambang keruntuhan peradabannya terasa
kata-kata sang bijak pandai itu seperti menuding jari ke muka kita.
Bangsa yang sedang bergelombang dengan keaiban ini sangat memerlukan
sebuah motivasi dari sang bijak pandai agar mereka sedar dari
kekhilafan dan ketelanjuran yang dilakukan secara mengila atas nama
kelangsungan politik dan kekuasaan.

Bangsa Melayu dan UMNO, dua nama yang saling terkait. Dua elemen yang didakwa berjalan seiring. Sebagai pengawal bangsa Melayu sejak negara mencapai kemerdekaan dari Inggeris lebih 60 tahun lalu. Demikian mereka cuba memahami kita dengan konsep itu sejak dulu.

Untuk itu, dikatakan bahawa, tokoh-tokoh seperti Almarhum Tengku Abdul Rahman, Almarhum Tun Abdul Razak, Almarhum Tun Husain On, Tun Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi dan sekarang Datuk Seri Najib Tun Razak adalah ketua-ketua pengawal yang mengawal selia bangsa Melayu agar keselamatannya terjamin dan tiada sesiapa yang berani mengugat. Juga sebagai doktor yang merawat bila bangsa Melayu ditimpa penyakit sosial.

Lalu kita pun melontarkan sebuah pertanyaan keras; apakah bangsa
Melayu berada dalam posisi selamat selama UMNO menjadi pengawal?
Apakah penyakit sosial orang Melayu sudah berjaya diubati oleh UMNO? Apakah jenis ubat yang disediakan mereka? Jawapannya pasti aduhai! Sebenarnya doktor yang merawat juga dihinggapi penyakit. Justeru, bagaimana doktor yang sakit mahu mengubat pesakit?

Ibu segala penyakit yang menimpa bangsa Melayu sekarang ialah rasa
keaiaban yang tiada tolok banding lantaran setiap hari dipalu gendang fitnah oleh pemalu gendang dari kalangan pemimpin Melayu terhadap saudaranya yang juga orang Melayu.

Tuduhan meliwat, melangani pelacur bahkan bermacam-macam lagi ditujukan kepada sosok yang satu ini yakni Anwar Ibrahim. Tuduhan sehingga diluar batas-batas undang dan moral menjadi kain basahan setiap hari. Imej aksi seks konon pelakunya adalah Anwar tepampang di akhbar dan televisyen tanpa sedikitpun rasa bersalah kerana menyiar kepada umum.

Bukan mahu membela sesiapa yang melakukan maksiat apalagi maksiat zina, tapi kita yakini bahawa cara mengaibkan kesalahan Anwar dengan tuduhan sedemikian rupa ialah kerana beliau menjadi ketua parti oposisi yang bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia. Andainya beliau tidak punya cita-cita politik, sebaliknya hidup sebagai rakyat biasa atau kembali menyertai UMNO, beliau tidak dikenakan tuduhan sebegitu keji.

Siapa yang membikin bangsa Melayu menjadi begitu aib, terasa hina
yang amat sangat? Tidak lain melainkan pengawal yang menjaga bangsa
Melayu itu sendiri. Seperti kata pepatah; harapkan pagar pagar makan
padi.

Walhal kes ini sangat mudah diselesaikan. Bawa mereka yang terlibat ke
mahkamah syariah kerana ada enakmen yang boleh disabitkan kesalahan
sama ada atas kes qazaf atau pelakuan zina sekiranya dapat dibuktikan.
Sedang di mahkamah sivil tiada kes untuk disabitkan kerana pelaku dan
wanita bukan gadis bawah umur, tiada unsur paksaan dan tidak untuk
edaran mahupun jualan.

Trio Datuk T akhirnya melakukan sumpah laknat di masjid untuk meminta Allah SWT melaknati diri mereka jika apa yang didakwa itu bohong.

Benar, tujuan mereka melakukan sumpah mahu menunjukkan kepada
orangramai bahawa dakwaan mereka selama ini tiada unsur bohong, walhal
sumpah seperti itu tiada terdapat nas-nasnya dalam al Quran. Sumpah
laknat hanya boleh dilakukan suami isteri saja, yakni kerana suami
membuat tuduhan zina dan isteri perlu bersumpah untuk menolak tuduhan
itu.

Selanjutnya, yang dinyatakan dalam al Quran ialah; seseorang yang
menuduh individu lain melakukan zina wajib mendapatkan empat orang
saksi adil, tidak fasiq dan tidak pernah melakukan maksiat

Hukum fikah pula menjelaskan sekiranya ingin menuduh seseorang
melakukan zina, individu itu wajib membawa empat orang saksi tidak termasuk
dirinya. Sekiranya gagal menghadirkan bukti dan saksi , individu
tersebut tidak layak membuat tuduhan.

Sekiranya tidak layak, individu itu wajib dikenakan hukum qazaf,
hukuman kepada orang yang menuduh orang berzina tanpa empat orang
saksi. Dalam Islam orang seperti ini dicabuk dengan 80 kali rotan.

Selanjutnya, sumpah laknat bukan cara terbaik untuk menegakkan kebenaran, kerana semua orang boleh bersumpah dan ramai orang melakukannya kerana beranggapan tidak
perlu takut dengan sumpah.

Orang-orang Melayu sudah biasa dengan “sumpah”. Seawal usia belasan tahun sudah berani melakukan sumpah. Saya masih ingat di zaman kanak-kanak, teman-teman saya yang sering mencuri buah mangga di kebun Pak Soh, bila tuannya mengetahui dan bertanya si pencuri, dia malah menafikan dengan keras bahkan sehingga bersumpah “kalau saya mencuri jadi kafir saya”.

Rupanya perangai orang Melayu tak berubah. Zaman kanak-kanak dengan
zaman dewasa sama saja, suka bersumpah. Tapi sumpah Datuk Eskay di
Masjid Amru Al As, Sentul, Kuala Lumpur, tanggal 30 April 2010 sebelum Asar ada lucuannya. Orang yang dituduh melakukan zina tidak bersumpah sebaliknaya yang menuduh pula bersumpah. Kanak-kanak yang dituduh menucuri buah mangga Pak Soh tidak bersumpah sebaliknya tuan punya kebun mangga, yakni Pak Soh pula bersumpah.

Allah SWT Maha Kaya, Dia penguasa sekian alam. Dia berkuasa melaknat
atau tidak melaknat sesiapa yang Dia kehendaki. Barangkali diantara kita ada yang mahukan individu yang bersalah itu menerima hukuman dari Allah SWT di dunia setimpal dengan perbuatannya supaya yang lain dapat menyaksikan balasan itu serta menjadi iktibar kepada yang lain, namun Sumpah Laknat- Budaya baru Orang Melayu?bagaimana andainya bala dari Allah itu menimpa seluruh rakyat Malaysia, di mana kita sendiri pun tidak menjangka bagaimana bentuk musibah itu.

Musibah atau bala bila tertimpa ia tidak mengenal orang jahil atau orang beriman. Kesemuanya terkena. Dan musibah juga pelbagai. Musibah jenis apa kita belum tahu. Andainya UMNO mengalami kekalahan besar pada Pilahan Raya Umum ke 13 akan datang, itu juga dikirakan sebagai musibah besar.

1 comment:

  1. UMNO selalu melaungkan bahawa kedudukan Melayu di Malaysia sekarang terancam..kalau benar dakwaan itu..bermakna UMNO telah gagal menjaga kebajikan Melayu selama ini...maka UMNO memang tidak lagi layak berkokok untuk menjadi juara pembela Melayu..kalau dalam bolasepak..dah lama coach tu kena buang..

    ReplyDelete