Menuduh orang melakukan zina adalah tuduhan yang amat berat di sisi Islam.
Menurut Sheikh Yusuf al-Qaradhawi, ilmuan yang punya autoriti dalam bidang syariah; orang yang menuduh wajib mengemukakan bukti dengan empat orang saksi yang adil dan tidak fasiq. Ini adalah ketetapan Allah SWT yang tidak boleh dikompromikan dan orang yang tertuduh tidak dituntut untuk bersumpah kerana pada dasarnya setiap manusia bersih dari sebarang tuduhan.
Jika semua amalan mahu diselesaikan dengan amalan bersumpah, maka tidak perlu diwujudkan mahkamah, hakim mahupun polis. Pelaku jenayah boleh sewenang-wenangnya melepaskan diri mereka dengan hanya melakukan sumpah. Akibatnya, system kehidupan negara akan menjadi porak peranda.
Sumpah bagi orang-orang munafik adalah perkara biasa, seperti dijelaskan Allah SWT di dalam al-Quran, bermaksud “Mereka (orang-orang munafik) menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan hartanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka kerjakan” –(Al-Munafiqun:2)
Sifat orang-orang munafik ini memang pandai berpura-pura, berlakon dan bijak berkata-kata. Namun begitu mereka sebenarnya sering dihimpit rasa cemas dan gelabah serta bersifat angkuh dan sombong.
Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud “Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan petah sekalipun kosong) (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (batang buruk). Mereka menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya, maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmat-Nya. Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsumua dari kebenaran) Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu, mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh.” –(Al-Munafiqun:3-5).
No comments:
Post a Comment