Sunday, February 17, 2013

Catatan 18 Februari 2013

Sedarkah apa yang anda bicarakan itu?

Politik berupa sebahagian hidup sehari-hari yang remah, tapi mengasyikkan. Politik juga adalah sebuah pasar malam tempat proses tawar-menawar yang rancak- sebuah proses yang biasa digerakkan oleh manipulasi, tanpa rasa malu, bosan ataupun bersalah. Dengan kata lain politik adalah sesuatu yang harus diperjuangkan dengan apa cara sekalipun, sehingga, demi mencapai matlamat politik, ada orang sanggup mengadaikan kecerdasan berfikir kepada syaitan yang sememangnya menunggu untuk menyesatkan. Maka berlakulah; firman dan sabda tersimpan rapi di pojok kehidupan yang fana.

Realiti dari hakikat ini! Pada suatu pagi yang membosankan. Di atas sebuah pentas yang dihias indah. Di dewan sebuah sekolah, di hadapan ratusan kaum miskin penerima BR1M, tampil seorang lelaki berkopiah putih, berbaju Melayu warna susu yang dipadamkan dengan seluar hitam. Di rostrum itu ia berdiri dengan megah sambil tangan memegang baton pengeras suara.

“Ada dikalangan pakcik, makcik, adek kakak yang hadir ini penyokong PAS atau PKR?” tanya lelaki bergelar ustaz itu. Pertanyaan tak mendapat respons dari hadirin. Diulang lagi, tak juga ada sahutan.

Pada pagi yang panas itu sang ustaz menyampaikan ucapan kurang lebih sejam, bukan kuliah fardu ainyang disampaikan tetapi pelajaran politik yang dahsyat. Bermula dengan riwayat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pantang melihat lelaki cun. Sehingga kisah lapuk usung tilam ke mahkamah tahun 1998 pun diceritakan kembali dengan penuh ghairah. Turut dikaitkan ialah senator Xenophon dari Australia yang kebetulan kelmarin ditahan di Lapangan Terbang Tambang Murah, Kuala Lumpur. Senator yang “cun” itu didakwanya sebagai rakan karib Anwar.

Lalu kita pun bertanya; apakah hukum menuduh seseorang melakukan zina / liwat, sedangkan si penuduh (ustaz) sendiri tak melihat perbuatan itu. Menurut hukum Islam, wajib ada empat orang saksi, melihat dengan lapan biji mata alu menumbuk lesong, kalau tidak jangan menuduh sembarangan, nanti di hadapan Allah lidah kelu bisu. Di hadapan Allah tak cukup dengan hanya menjawab “aku kata begitu kerana ada orang lain beritahu, suratkhabar pun memberitakan”.

Mengapa manusia bergelar “ustaz” seperti itu berani berbuat demikian? Jawapannya; kerana memenuhi nafsu politik yang berkobar-kobar. Bila berada dalam kondisi seperti ini kewarasan berfikir secara automatik lenyap, wahyu dan sabda pun dipinggirkan.

Salah seorang hadirin yang barangkali tak tahan dengan perilaku jelek sang penceramah lantas bangkit melontarkan sebuah kata berbisa yang mengejutkan hadirin “ Kaba ke kecek tu?” (cakap Kelantan; sedarkah apa yang anda bicarakan itu?) Segera dijawab penceramah “kaba, kaba, kaba”(sedar, sedar, sedar). Orangramai pun ketawa.

1 comment: