Tuesday, February 12, 2013

CATATAN 8 FEBRUARI 2013



PAS-DAP Kawan atau lawan?

 Selagi dua sahabat karib itu gagal dipisahkan, hati kita  tak puas, tugas kita belum sempurna,  selagi persahabatan mereka kekal  nyawa  kita dalam bahaya. Mahu atau tidak mahu, dengan apa cara sekalipun kita harus cerai beraikan mereka kerana  kunci kemenangan kita  nanti bergantung kepada sejauh mana keakraban persahabatan mereka. Ujar panglima-panglima perang dan pakar-pakar strategi yang hebat-hebat dan banyak duit.

Menyedari  itu maka panglima perang yang hebat-hebat itu pun mengarahkan  media pro mereka manfaatkan  kepakaran, antaranya menjalankan  misi adu domba, fitnah dan  mengitar semula isu lama bertujuan agar  hubungan akrab antara PAS-DAP beratakan. 
Isu yang sering diratip  ialah DAP anti Islam. DAP  menentang pelaksanaan undang-undang hudud di Malaysia. Isu kontroversi itu dikira boleh mempengaruhi pengundi Melayu menjauhi PAS yang didakwa berselongkol dengan DAP.
Bukti  kesungguhan  pendokong Umno  mengangkat  isu ini mereka sanggup  mengupah pihak tertentu memasang kain rentang di beberapa lokasi strategik di Kelantan. Pekerja upahan  ramai di negeri itu sekarang. Serahkan saja tugas kepada mereka, nescaya mereka bereskan kerana matlamat mereka wang.  Bahkan di kawasan kubu PAS yang sebelum ini tiada siapa  yang berani menaikkan bendera dacing, kini sudah ada individu yang berani berbuat demikian waktu malam.
Di  beberapa batang jalan  sekitar Pasir Tumboh, Kota Bahru,  tampak kain rentang bertulis hijau berlatarbelakangkan putih.  “Haram orang Islam berkawan dengan DAP kerana mereka kafir harbi” beberapa petikan ayat al-Quran disertakan sebagai hujah.
DAP sebuah parti multi etnik, bukan orang Cina saja menjadi ahli parti, orang Melayu / Islam juga ramai. Bagaimana perasaan orang Islam DAP   bila membaca tulisan itu?  Di Malaysia tidak ada kafir harbi, badan-badan wewenang seperti majlis fatwa kebangsaan pun tak pernah diskusi dan mengeluarkan pernyataan seputar ini. Justeru dari mana datangnya akar pertuduhan itu?
Tak dinafikan, Pengerusi DAP, Karpal Singh, pernah mempertikaikan pelaksaan hudud di Malaysia, namun ia hanya berkisar  dari aspek perundangan dan faktor Malaysia negara sekular.  Karpal tak pernah menghina hukum hakam Islam selama memberi pandangannya tentang undang-undang  yang terkait dengan syariah Islam.
 Sebaliknya kelompok itu menutup mata bila Pengerusi MCA (BN), Chua Soi Lek beberapa kali  mengeluarkan kenyataan yang terang-terang menghina hukum yang diturukan  Allah SWT seperti katanya “ Negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat” (perhimpunan Agung MCA ke-59,  21 Oktober 2012), Pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berdepan dengan kemusnahan jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia” (Kuala Lumpur, 4 Disember 2012), anggaplah larangan Islam berjabat tangan lelaki dan perempuan adalah nilai hina”(kempen Pilihan Raya Kecil Dun Tenang, Johor).  Bahkan pemimpin Umno sendiri seperti mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apa kurangnya dalam bab ini malah  sudah diketahui umum.
Klimiks dari episod adu domba Umno berakhir tanggal 26 Januari 2013 bila Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat terbang ke Pulau Pinang dan mampir di rumah Karpal Singh di Jalan Kebun Bungah.
Seorang  bertongkat dan seorang lagi berkerusi roda berjabat tangan, persahabatan bertaut  malah lebih akrab. Media Umno/BN pun bungkam. Mata pemimpin Umno terkebir-kebir,  air liur ditelan terlekat di halkum. “Rencana kita untuk membikin mereka bergaduh gagal” barangkali begitu  keluh mereka. 
Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Haji Hadi Awang pun menyanyi “Satukan perkara sama. Raikan perkara berbeza” Bunyi seperti lagu Ramli Sarip tapi bukan Ramli Sarip.  Itulah lirik terbaik yang datang dari otak yang cerdas.
 “PAS, DAP, PKR tak boleh bersama, pasti   berakhir dengan kehancuran” lagi-lagi usikan pendokong Umno. Lalu Tuan Presiden yang bijak bistari menjawab “Kita sudah buktikan, daripada mesyuarat bersama, berhimpun bersama (HKR) …”
Meskipun sudah dijelaskan sejelas-jelasnya, namun lesung batu tetap berbunyi, pedas sambal cili api terkena biji mata tak dipedulikan, pertanyaan dari pendokong Umno tiada noktah, itulah  namanya  kempen pilihan raya, mahu menguji sejauh mana kebijaksanaan dan kesabaran.   “Mengapa PAS berkawan dengan DAP, tidak  dengan Umno?”
Soalan seperti itu tak perlu pimpinan tertinggi PAS di Kuala Lumur menjawabnya, serah saja pada golongan akar umbi di kampung.  “Kami pernah berkawan  dan tidur sekamar dengan Umno (Barisan Nasional -Perikatan)  di zaman Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak Hussain, setelah Almarhum meninggal dunia, Tun Hussain On diangkat Presiden Umno. Beliau kemudiannya menendang keluar PAS  dengan bengis. PAS rebah tersungkur di muka pintu, tinggal nyawa-nyawa ikan. Nasib baik  Allah masih sayangkan PAS dengan memanjangkan usianya.  Setelah dirawat sekian lama, menelan ubat dan vitamin akhirnya sehat walafiat.
 Dengan tenaga dan  kekuatan  baru itulah PAS bangkit semula sehingga berjaya merampas kembali Kelantan dari tangan Umno/BN tepat  jam 1.05 pagi Ahad, tanggal 21 Oktober 1990.
Jawapan seperti itu rasanya mudah difahami, namun masih ada lagi suara bertanya “Kenapa PAS berselongkol dengan DAP?” Jawab pendokong PAS, ringkas “Kerana kami mahu menumbangkan Umno/BN pada PRU13  ini”.

No comments:

Post a Comment