Thursday, November 12, 2009

Banjir: Kebijaksanan negara jiran memudaratkan kita.




Oleh: Rossem

Hujan lebat pun turun!

Dulu, ketika hujan seperti itu berterusan empat atau lima hari, siang dan malam. Pasti kita akan menemuai dua wajah yang berbeza. Wajah senyum dan wajah duka. Senyum kerana hujan sudah turun dan sebentar lagi akan banjir. Duka kerana petaka banjir, rumah, tanaman, ternakan, musnah ditengelami air.

Yang senyum adalah kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa tentang petaka banjir, yang difikirnya cuma, banjir suatu pesta bermain air yang ditunggu-tunggu. Boleh berenang dan berakit. Sementara yang berduka adalah orang dewasa terutama ibu bapak. Mereka mengeluh, akibat banjir sesuatu yang berharga seperti rumah, ternakan, tanaman, akan rosak, mati, hilang dan sebagainya. Bahkan akan kehilangan sumber pendapatan dan kerugian besar. Juga dikhuatirkan, anak-anak ditelan air banjir yang deras seperti sering diberitakan dalam akhbar.

Pencarian rezeki pastinya kendala. Yang punya kebun getah tidak dapat menorah. Yang berkerja kontraktor tidak boleh beroperasi, yang berniaga kecilan-kecilan tidak dapat meneruskan perniagaan. Kecuali yang bergaji tetap, tidak terjejas rezekinya. Barangkali!

Tapi kebelakangan ini, banjir yang melanda desa-desa di daerah Meranti, Pasir Mas, luar biasa hebatnya. Walaupun hujan hanya turun kurang lebih selama tiga hari berturutan di negeri Kelantan, namun perkampungan di sepanjang Sungai Golok itu sudah bertukar menjadi sebuah tasek yang luas. Sesiapa yang melihatnya, tidak percaya bahawa tasek itu sebelum banjir mengamok adalah sawah padi dan lokasi permukiman warga yang hidup aman damai.

Kenapa terjadi begitu? Saya bertanya kepada salah seorang warga di desa itu, apakah sebelumnya banjir besar seperti ini pernah melanda perkampungan di sini? Jawapan yang diterima “Hanya dalam lima tahun kebelakang ini, banjir datang dengan sekala yang besar. Sebelumnya banjir tetap ada, tapi tidak sebesar sekarang”

Rupanya, banjir besar melanda desa-desa dalam daerah Meranti, seperti Kg. Kubang Pak Hitam, Kg. Siput, Tok Rusa, Kg. Maghribi, Kg. Lancang, Jejawi, Bongor, Jeram Perdah, Kg. Kelawar dan Bongor Nyiur adalah akibat daripada tindakan pemerintah Thailand membina benteng penahan banjir di sebelah negaranya, iaitu sepanjang Sungai Golok dari pekan golok sehingga ke Kg. Mundok, perbatasan antara Malaysia-Thailand lima tahun lalu. Sejak itu, setiap tahun air banjir yang melimpahi Sungai Golok tidak lagi memasuki Negera Gajah Putih itu, sebaliknya menghala ke Malaysia sehingga menjadikan daerah sempadan itu bagaikan sebuah tasek besar, seperti yang berlaku sekarang.

Tindakan pemerintah Thailand menyelamatkan negaranya dan membiarkan negara jiran dilanda musibah dianggap umum sebagai kebijaksanaan sepihak. Sehingga orang Meranti yang saya temui mengungkapnya secara sinis; Pemerintah Malaysia juga bijak, tapi kebijaksanaan itu kurang sedikit daripada Thailand. Dengan bahasa mudah ia berkiah; saya tidak takutkan isteri, cuma tidak berani. Saya tertawa sendiri mendengar sinis itu.

Banjir, menjadikan permukiman itu lumpuh total. Kereta, motosikal, terpaksa diparking di kawasan tinggi di luar perkampungan terlibat. Begitu juga dengan lembu kerbau, kambing, harus dicari lokasi lebih tinggi untuk menempatkan binatang ternakan itu. Sekolah ditutup. Kerja rutin warga terhenti. Hanya dengan boat saja boleh berhubungan dengan kawasan lain.

Dalam kondisi seperti ini, harapan warga hanya satu; ada tangan-tangan ikhlas yang sudi menghulurkan sumbangan berupa makanan asas seperti beras, ikan sardin, garam, gula dan kopi. Tanpa bantuan, untuk meneruskan kehidupan menjadi sukar. Justeru setiap mangsa banjir sangat mengharapkan insan yang sudi menghulur bantaun..
Di sini, kanak-kanak juga berwajah duka, tidak seperti tadi digambarkan. Bila hujan turun dan berlaku banjir, kanak-kanak dan remaja meneriakkan ye ye lantaran boleh berpesta banjir. Di sini, seperti ibu bapa mereka, berwajah teduh, termagu di beranda loteng rumah melihat air bah yang memenuhi halaman rumah. Dengan dapur tidak berasap. Mereka menunggu sebuah harapan; kalau-kalau ada wakil rakyat datang menjengok, melihat nasib diri.

Tanggal 11 November 2009 saya mengikuti ADUN Meranti, merangkap Speaker Kelantan, YB Ustaz Haji Nassuruddin Haji Daud dan ADUN Ayer Lanas, YB Usataz Haji Abdullah Haj Ya’kub untuk bersilaturahim ke rumah-rumah warga mangsa banjir di kawasan DUN Meranti. Kebetulan Ustaz Haji Abdullah berasal kawasan ini. Mereka ternyata sangat gembira sekali dengan kedatangan Wakil Rakyat mereka. Sambil menghulurkan sumbangan bantuan seadanya.

Saya “malu sendiri” dengan YB Nassuruddin, kerana beliau sendiri yang memandu boat merentasi “tasek” banjir untuk ke perkampungan menemuai dan bertanya khabar mangsa. Pernah boat kami berpusing dan merempuh longgokkan sampah saat melewati air deras. Namun kemahiran beliau mengemudi, akhirnya boat yang memuatkan empat penumpang itu kembali stabil, dan menerus kan perjalanan.

No comments:

Post a Comment