Sunday, November 8, 2009

Zaman Inggeris tauliah, selepas merdeka pun tauliah


Oleh: Rossem

Tentang larangan mengajar agama di tempat-tempat tertentu sudah wujud sejak sebelum merdeka. Dan waktu itu tentunya atas titah kolonial Inggeris. Surat khabar Utusan Melayu tanggal 10 Mei 1955 bersamaan dengan 18 Ramadhan 1374 (harga 15 sen) mencatatkan: Syarahan -syarahan politik di bangunan Majlis Agama Islam (MAIK), Masjid-masjid, surau-surau di negeri Kelantan adalah ditegah mulai 1 Mei yang lalu. Demikian pemberitahuan MAIK kepada semua pertubuhan politik, iman masjid, surau dan orang ramai. Kecuali setelah mendapat kebenaran pihak Majlis.

Titah larangan ini tidak saja berlaku di Negeri Kelantan bahkan di negeri-negeri lain di semenanjung termasuk Selangor. Ia sudah dikuatkuasakan lebih 60 tahun namun larangan itu masih berkuatkuasa sampai sekarang walaupun Malaysia sudah merdeka.
Ceramah politik , walaupun politik Islam tidak dibenarkan di Masjid dan surau. Dan sehingga saat ini kita tidak nampak bila larangan itu akan ditarik balik. Walhal politik Islam (siasah syariah) tidak terpisah dari Islam.

Fungsi masjid sebelum merdeka dan selepas merdeka dihadkan kepada peribadatan ritual semata-mata. Ceramah-ceramah yang disampaikan guru-guru agama hanya berkisar seputar ibadat itu, manakala untuk mengetahui politik Islam secara mendalam harus ke tanah lapang, bentang tikar dan duduk sambil mendengar pidato yang disampaikan penceramah PAS.

Kalau siasah syariah tidak terpisah dari Islam, justeru kenapa tidak dibenarkan mempelajarinya di Masjid? Jawapannya sangat mudah. Kerana sistem sekular yang menjadi anutan pemerintah tidak mahu politik (walaupun politik Islam) dibawa masuk ke dalam masjid. Masjid itu suci, jangan dikotori dengan sampah politik. Kerana bagi mereka, politik adalah kotor, bergelumbang dengan korupsi dan penyalahgunaan kuasa.

Jadinya, masjid dan surau hanya untuk tempat ibadat ritual semata-mata. Itu pun ada batas tertentu. Sesiapa mahu mengajar di masjid, surau dan di rumah-rumah persendirian ditetapkan harus dengan kebenaran Jabatan Agama Islam Negeri. Dengan kata lain perlu ada surat tauliah. Tanpa surat tauliah boleh ditangkap dan dihukum.
Sedangkan setiap umat Islam disarankan Nabi SAW: Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.(Riwayat al-Bukhari).

Isu tauliah panas kembali dengan penahanan Mantan Mufti Perlis, Dr Mohd. Asri Zainal Abidin, saat sedang memberi kuliah agama di rumah seorang ahli korporat di Uky Heigt, Ulu Klang, Selangor tanggal 2 November 2009. Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertindak menahan beliau setelah mengintip aktiviti Dr Asri sekian lama. Dan kesalahan mudah yang boleh dikenakan kepada doktor alumni universiti Jordan itu ialah mengajar tanpa tauliah, kerana sememangnya Dr Asri tidak punya tauliah.

“Isu tauliah mengajar agama adalah isu lapuk yang diwarisi sejak zaman penjajah” Demikian kata Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya. Mufti penganti Dr. Asri itu menganggap tauliah itu satu peraturan bersifat dua mata yang boleh “membunuh tuannya” jika disalahgunakan, malah lebih parah jika digunakan pihak tertentu yang berselindung di sebalik posisi sebagai penemuduga atau penyemak kelayakan sebelum diberikan tauliah.

Mereka yang menapis pemberian tauliah perlu telus dari segi prosedur kerana mereka bertindak bagi pihak jabatan agama dan Ketua Agama Negeri berkenaan. Apa benar wujud standard dalam proses pemberian tauliah sehingga mereka yang berkelulusan agama dari institusi Islam yang diiktiraf perlu ditapis dan diselidik?
Adakah lojik mereka yang lebih rendah kemahirannya menilai kelayakan orang yang lebih tinggi kemahirannya?

Setiap tindakan hendaklah perlu ditekankan bagaimana untuk memastikan praktik Islam di Malaysia menepati kehendak al-Quran dan Hadis.Dan setakat yang ketahui, Dr Asri, setiap bicaranya masih berkisar dalam ruang lingkup al-Quran dan Hadis. Sementara Majlis Fatwa Kebangsaan pun tidak pernah memutuskan bahawa apa juga ajaran yang disampaikan mantan mufti Perlis itu sesat.

Justeru ramai yang kecewa dengan penahanan Dr Asri termasuk Perdana Menteri Datu Seri Najib Tun Razak, sehingga sebahagiannya mensifatkan penahanan itu sebagai bersifat dendam peribadi pihak tertentu yang mahu mengaibkan pihak lain melalui permainan salah guna kuasa.

Kekecewaan umum itu terbit dari rasa keanehan yang mendalam, bagaimana seorang bertaraf mufti, berpelajaran tinggi sehingga memiliki ijazah kedoktoran di bidang pengajian al-Quran dan Hadis sesuka hati diperlakukan seperti orang lain.

“Sewaktu berjawatan mufti Perlis pun, saya adalah satu-satunya mufti yang tidak diizinkan berceramah, kuliah dan mengajar di Selangor. Saya masih tertanya-tanya, apakah kayu ukur yang dipakai JAIS bagi membolehkan saya memperolehi tauliah” Ungkapan itu beberapa kali diluahkan Mantan Mufti itu setiap kali ditanya wartawan.

Justeru dalam hal ini, sesuai dengan perkembangan waktu dan semangat zaman, setiap Jabatan Agama Islam Negeri, terutama JAIS perlu gubal garis panduan sebenar atau perbaharui peraturan lapok supaya memudahkan seseorang yang layak untuk menjadi pensyarah atau mengajar agama. Kerana cara yang digunapakai sekarang sangat mengelirukan, bahkan boleh menjadi bahan lucuan dalam masyarakat. Kita tidak mahu, Islam berada dalam persepsi yang kurang enak di mata umum khususnya non Muslim.

No comments:

Post a Comment