Thursday, November 26, 2009
Padang Arafat; cinta Adam Hawa bersemi
Oleh: Rossem
Ada orang bertanya; di muka bumi ini di mana tempat mengembirakan sekali bagi anda? Saya jawab, Mekah dan Madinah terutama di musim haji. Kenapa tidak di tempat lain. Di tempat lain gembiranya berbeda, ia hanya seperti ilusi mimpi yang muncul dalam sekelip mata, kemudian berlalu atau seperti awam berarak kemudian hilang entah ke mana. Berbeza dengan dua kota suci itu, memandang fotonya saja sudah bisa membangkitkan aura, keinginan dan semangat, apa lagi bila sudah menjejakkan kaki di kota Nabi Allah Ibrahim itu. Pasti air mata mengalir tanpa disedari. Seberkas kenangan abadi dalam hati nurani paling dalam akan bersemadi. Ingatannya tidak mudah luput meskipun bertahun-tahun berlalu.
Kemuncak ibadah haji ialah di Arafat. Saya masih bisa mengingati situasi dan kondisi di sana biarpun sudah empat tahun berlalu. Manusia Muslim yang berpakaian ihram tampak bagaikan gelombang samudera putih bergerak dalam satu saf yang besar melewati tanah gersang yang berbukit-bukit dengan satu matamat, Menyahut panggilan Allah SWT.
Arafat melambangkan awal kehidupan manusia di muka bumi. Di dalam riwayat Nabi Adam a.s dikatakan: Setelah turun ke bumi Adam bertemu dengan Hawa di Padang Arafat. Di tempat itulah mereka saling berkenalan.
Adam turun ke bumi kerana diusir dari syurga setelah mengingkari perintah Allah. Kenapa demikian? Walhal di syurga hidupnya sarat dengan kesenangan, kemewahan, kenikmatan, kepuasan.
Ada sesuatu yang diinginkan Adam a.s di Syurga, yang tidak bisa diperolehinya, iaitu berkasih sayang dengan Hawa. Justeru Adam sanggup meninggalkan negeri (syurga) limpahan kemewahan itu dan sebagai gantinya Allah SWT meletakkannya dalam dunia yang penuh dengan “penderitaan, ketamakan, pembunuhan”.
Itulah awal kehidupan manusia (Adam) yang memiliki kesedaran, suka memberontak, memiliki tanggungjawab. Adam diusir daripada syurga. Ia kesepian. Dunia ini adalah penjara bagi dirinya. Ia menerima hukuman terhadap pemberontakannya. Lalu bertaubat dan taubatnya diterima Allah SWT.
Apakah hubungan haji dengan semua ini? Haji melambangkan pertaubatan manusia, termasuk kesedaran dirinya yang mencakup perasaan terasing dan terbuang. Sebagai akibatnya timbullah tekad untuk “kembali” kepada Allah.
Peralihan “Adam yang berada di syurga” menjadi “Adam yang berada di dunia” merupakan pencerminan dari karekter dan tingkah laku manusia pada zaman sekarang. Suka memberontak, agresif dan sering terjebat dengan bujukan syaitan dan Hawa.
Percikan cinta yang pertama sekali dalam pertemuan Adam dengan Hawa menyebabkan mereka saling memahami. Itulah petanda pertama dari pengetahuan! Adam mengetahui isterinya mempunyai jenis kelamin yang berbeza, tapi mempunyai naluri yang sama dengan dirinya sendiri.
Adam bertemu dengan Hawa (yang memiliki jenis kelamin yang berbeza). Mereka bertukar pendapat dan akhirnya saling memahami. Kehidupan “individual” mereka berakhir dengan terciptannya sebuah keluarga. Keluarga kecil itu kemudian menjadi besar dan terus membesar, membesar sehingga hari ini anak cucunya memenuhi setiap ruang muka bumi ini.
Ibadat haji, menjadikan diriku banyak berfikir tentang kebesaranMu dan KeagunganMu. Ibadat haji tidak sekadar rukun, sebaliknya tersirat makna. Jika mahu ditulis atau dibahaskan seputar makna dan falasafahnya, pasti tidak akan habis perbahasan itu. Sesungguhnya berada di dua kota suci, Mekah dan Madinah, terutama saat mengerjakan haji, pasti meninggalkan kesan yang mendalam kepada kita, kerana setiap yang dilakukan itu sarat dengan falasafah bagi mereka yang mengetahuinya.
Selamt mengerjakan haji semoga mendapat haji mabrul.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment