Tuesday, February 17, 2009

Kerajaan PR di Perak tumbang. Apakah imej Umno pulih?

Oleh: Rossem


“Umno hilang daya tarikan” tajuk itu menjadi “head line” akhbar-akhbar arus perdana tanggal 19 Januari 2009. Kenapa ia menjadi berita besar? kerana kalimat itu terbit dari mulut Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sekiranya datang dari mulut pemimpin Pas atau PKR tentu tidak layak untuk mendapat status berita.

Selanjutnya dengan wajah muram ia menambah “Untuk itu kita harus melakukannya secara radikal bagi mengambalikan semua keyakinan rakyat terhadap Umno supaya Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang tidak terus merosot sokongan”

Di wajahnya tampak kesedihan yang tidak dapat ditutupi. Kenapa Umno gagal mempertahankan kerusi DUN Kuala Terengganu Januari 2009. Apa salahnya Umno sehingga ditolak rakyat. Fenomena ini mendatangkan kesan buruk kepada pendokong parti, sehingga sebahagiannya telah diserang penyakit rendah diri yang ketara. Malu untuk mengaku sebagai orang Umno. Tiada gah untuk mempamirkan pelekat parti pada kenderaan masing-masing sepertimana dilakukankan sebelumnya.

Bengang dengan kekalahan itu, orang nombor dua Umno (Timbalan Presiden Umno), Datuk Seri Najib Tun Razak pula dengan nada separuh geram mengajak seluruh warga Barisan Nasional khususnya Umno bangkit dari tidur“ Seluruh pemimpin BN mesti bangkit dan bingkas kembali menyusun strategi perubahan kepada parti bagi mengelak dihukum pada PRU ke 13 nanti” Najib terasa terpukul dengan kekalahan yang memalukan dalam PRK Kuala Terengganu, walhal di sana terkumpul segala jenis jentera parti, material yang tidak terbatas, saluran televisyen yang memihak, namun nasibnya seperti Permatang Pauh- berputih mata.

“Ubah paradigma dan pendekatan politik agar lebih berorientasikan rakyat” Dengan nada yang sedikit tinggi ia meminta para pendokong setia BN bangun dari tidur, jangan lagi seperti ular sawa kekenyangan, lebih baik jadi ular lidi saja, biarpun kecil, tapi bijak menyelinap di celah-celah daun untuk memburu mangsa.

Kata-kata Najib, bukan kata-kata kosong, ikrar yang dilafaz disertai dengan gerak kerja. Mesin mereka beroperasi siang malam demi merealisasikan apa yang diikrarkan. Akal yang pintar boleh meruntuhkan sebuah bangunan yang sebelumnya dianggap mustahil untuk diruntuhkan. Sebisa-bisa ular tedung boleh terpukau dengan muzik seruling si tukang penjinak yang profesional.

Dan kira-kira sebulan kemudian, keberhasilannya pun mendampar. Dua ADUN PKR dan seorang ADUN DAP di Perak melompat parti. Maka runtuhlah sebuah kerajaan yang dipilih rakyat secara sah lewat pilihan raya umum, dengan hanya sebaris kata-kata “ Kami keluar PKR dan menjadi ADUN Bebas”

“Walaupun ADUN Bebas, tapi kami menyokong Umno/BN” Kata tiga juara lompat itu di depan media. Para perancang operasi yang ikut bersama sidang press pun tersenyum lebar. Senang sekali di atas keberhasilan luar biasa itu.

Walhal, keberhasilan itu disisi lain telah meruntuhkan sebuah sistem demokrasi yang dipraktikkan negara ini sejak merdeka. Gara-gara elit-elit Umno yang rakuskan kuasa, maka kerangka demokrasi itu menyembah bumi. Umum mengetahui, tertegaknya kerajaan PR yang dipimpin Datuk Nizar Jamaluddin di Perak adalah hasil dari proses demokrasi, lewat kempen yang efektif dan peti undi. Apa mungkin sebuah kerajaan yang dtegakkan begitu rupa dan mengikut prosedur yang sah, boleh ditumbangkan lewat “silap mata”oleh pemain silap mata yang licik?

Namun kita juga amat kesal, dengan sikap wakil-wakil rakyat terbabit, yang mengkhianati pengundi mereka, dengan cara melompat parti. Dalam ilmu pelayaran, sosok seperti ini pasti tidak layak diangkat mejadi nahkoda kapal, tapi bila mengingatkan PKR bagai sebuah “parti transit” maka suhu kekesalan kita pun jadi menurun secara tiba-tiba. Biarlah sejarah saja menghukum parti itu!

Selanjutnya tentang demokrasi yang dibelasah. Teringat kata-kata seorang ilmu sosial dari Itali, Maria Palmieri, menulis dengan keras: demokrasi adalah sebuah organisasi sosial dan politik yang hodoh, orang diciptakan untuk dipimpin, dan bukan untuk memimpin, dan akhirnya diciptakan untuk jadi hamba (yes man) dan bukan jadi tuan.

Dengan senario yang berlaku di perak, di Kedah (Bukit Selambau) dan di Selangor (Bukit Lajan) apkah imej Umno akan pulih. Apakah parti Melayu itu sudah diterima majoriti rakyat. Jawabannya belum pasti. Rakyat sekarang rata-rata berpendidikan tinggi, mereka dapat menilai antara retorik, propaganda dengan realiti. Malah berdasarkan opini secara rambang, sudah terkesan – rakyat sebenarnya tidak bersetuju cara yang dilakukan Umno, khususnya merampas negeri Perak dari tangan PR seperti itu- menepikan demokrasi !

No comments:

Post a Comment