Pertembungan pendapat yang merugikan
Oleh: Rossem
Kata orang, semua parti politik itu benar. Semua cakap orang
politik itu benar. Hujah-hujah yang disampaikan diterima akal. Maka dengan
“benar’ itulah justeru terjadinya banyak
persengketaan dikalangan sesama pendokong parti, termasuk pemimpin yang kemudiannya
mepengaruhi ahli-ahlinya menyokong
sesuatu kelompok. Perbalahan pun tak dapat dihindar, akhirnya parti pun pecah.
Timbalan Presiden Pas, Haji Mohamad Sabu mengatakan,
Presiden Pas, Tuan Guru Haji Hadi Awang pidatonya hebat, ceramahnya hebat,
kuliahnya di Rusila hebat, sehingga kereta parker berbatu-batu, tapi bila
pilihan raya umum tak boleh rampas Terengganu daripada tangan BN. Itu benar.
Sesiapa pun tak dapat nafikan kebenaran itu. Sebuah fakta!. Makanya, kata-kata
Mat Sabu itu benar.
Gayung bersambut. Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Dr Mohd
Khairuddin Aman Razali sosok yang seperti mewakili Haji Hadi pula menjawab “Jangan terpengaruh
dengan pemikiran demokrasi atau hanya berjuang untuk demokrasi semata-mata sehingga
mengukur kejayaan seseorang itu berdasarkan kalah menang pilihan raya (Demokrasi) ”.
Banyak lagi
hujah-hujah agama diberikan untuk memperlekehkan Mat Sabu. “Nabi Nuh dulu
berdakwah selama 1,000 tahun tetapi yang beriman dengan baginda menurut
beberapa riwayat tak lebih 100 orang”. Itu juga benar. Sesiapa pun tak dapat menafikan
kebenaran itu, lebih-lebih lagi sumbernya
al-Quran. Tak percaya al-Quran berdosa - sesat. Kesimpulannya, dua-dua benar!
Maka benarlah kata orang; kalau mahu jadi politikus, harus bijak
berhujah. Tahun 1980an saya sering menghadiri ceramah Mat Sabu terutama di
Taman Melawar, Kuala Lumpur. Ketika itu Pas dalam kondisi sakit, ditolak
majoriti orang Melayu, bahkan Negeri Kelantan pun terlepas kepada BN. Mat Sabu dalam pidatonya
yang berapi-api membandingkan sokongan yang sedikit kepada Pas ketika itu samalah
seperti kisah Nabi Nuh berdakwah selama 1.000 tahun, tetapi yang beriman tak
sampai 100 orang. Sekarang Dr. Khairuddin pula bercakap seperti Mat Sabu 30
tahun dahulu. Itulah politik!. Hanya mereka yang diberikan Allah usia panjang
saja dapat menilai sesuatu itu dalam skop yang lebih luas.
Mat Sabu dan mereka yang seangkatan dengannya mahu Pas menang banyak kerusi dalam
pilihanraya Umum ke 14 nanti, dapat merampas kembali Kedah, Terengganu disamping
mengekalkan kuasa di Kelantan. Formula untuk mencapai kemenangan satu-satunya
ialah dengan berkerjasama
dengan PKR, DAP dalam Pakatan
Rakyat seperti ketika menghadapi dua
pilihan Raya Umum sebelumnya yang menghasilkan natijah yang baik - kerusi yang
dimenangi oposisi melonjak.
PAS berjaya merampas Kelantan dari tangan Umno/BN tahun 1990
atas
kesepakatan politik dengan
Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Gabungan itu memukul mundur BN sehingga ke jeruk
dinding, tinggal 2 kerusi sebagai mengubat rindu. Penggal berikutnya APU
mengalami zaman suram akibat pembubaran Semangat 46, datang pula Parti KeAdilan menyuntik vitamin. Membentuk Barisan Alternatif (BA), hasilnya BA menang besar pada pilihan raya umum 1999. Terengganu berjaya dirampas dan dapat
menawan Kedah. Itu yang ditekankan Mat Sabu dalam ceramahnya di Tumpat dua
minggu sebelum muktamar. “Bukan sindir presiden” kata Naib Presiden PAS,
Salahudin Ayub. Mat Sabu bercakap tentang PAS boleh luaskan wilayah apabila
berada dalam sepekatan politik.
Dengan kerjasama itu
PAS ditakdirkan menang di Kelantan dan mentadbir negeri selama 25 tahun sejak 1990 dengan dasar
Membangun Bersama Islam. Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz sebagai akitek pembangunan
Islam di Kelantan pernah berkata; Bila kita jadi kerajaan baru boleh suruh
orang buat itu buat ini (syariat). Kita ada kuasa. Jika didapati melanggar arahan, Majlis Perbandaran
(Kerajaan Tempatan) boleh ambil tindakan undang-undang. Tutup premis judi
misalnya. Itu pentingnya kemenangan
menurut pandangan Mat Sabu. Opini itu ternyata selari dengan Tok Guru Nik Aziz
semasa hayatnya.
Tok Guru Haji Hadi Awang dan yang seangkatan dengannya lebih
menjurus kepada memelihara maruah parti
daripada dipermainkan rakan kongsi- DAP dan PKR. Biar rebah tertirap, misai
jangan patah. Presiden lebih mengetahui daripada penyokong akar umbi tentang karenah yang ditimbulkan pemimpin DAP dari
masa ke semasa kerana mereka lebih rapat dan kenal akal budi masing-masing.
Umum mengetahui, sejak mula ditubuhkan, perjuangan PAS ialah
menegakkan Islam. Pengundi khususnya di Kelantan mendesak Kerajaan Negeri
melaksanakan Hudud. Lebih 20 tahun rakyat Kelantan bersuara mahukan Enakmen
Jenayah Syariah II itu dipraktikkan di negeri
itu. DYMM Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sudah perkenan, Dewan Undangan
Negeri sudah meluluskan sebulat suara, hanya menunggu untuk kelulusan parlimen.
Yang menguriskan hati pendokong PAS
ialah perjuangan hudud telah ditentang rakan komponen terutama DAP, bahkan
kepimpinan tertinggi dikritik dengan teruk. Justeru hujah yang dilontar Haji Abdul Hadi Awang juga tidak boleh
dipandang ringan.
Namun saya yakin, selepas muktamar ini suasana kembali
tenang damai. PAS tak akan keluar dari
Pakatan Rakyat. Lalu teringat kata-kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang saat ia
tersepit “ Kalau ROS (pendaftar pertubuhan) batalkan pendaftaran DAP sebelum
PRU 13, kita tanding guna lambang PAS”.
No comments:
Post a Comment