Tiada lagi suara garau Mat Sabu
Oleh: Rossem
Bangsa Kurdis yang mendiami di tiga negara utama, Iraq,
Turki dan Syria pernah melahirkan tokoh Islam terbilang iaitu Salahudin Ahyubi.
Panglima perang Islam itu berjaya mengalahkan
panglima perang Salib RichardHati Singa. Dengan kekalahan raja Inggeris itu Baitulmaqdis
berjaya ditakluki. Demikian tokoh yang dilahirkan bangsa hebat dalam sejarah
perang Salib yang masyhur di abad lalu.
Orang Kurdis tak popular di Malaysia. Bangsa itu
asing di negeri ini. Jarang orang Malaysia melihat atau terserempak berjalan-jalan
di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, tidak seperti orang Pakistan, Afrika,
Bangladesh, Myanmar, Vietnam dan Rohingya
berlambak di sana sini. Pasar Borong Selayang seperti sudah ditakluki orang Rohingya,
Di Bazar, Nilai, Negeri Sembilan menjadi Little Pakistan, Chow kit Indonesia.
Kesimpulannya, kalau mahu lihat pelbagai bangsa daripada pelbagai ceruk belahan
dunia datanglah ke Malaysia. Yang
tak ada mungkin orang Eskimo.
Bangsa Kurdis menurut Mohamad Sabu, suatu bangsa yang
menghormati tetamu. Bila mengunjungi ke rumah mereka, ketika mahu pulang, tuan rumah akan mengangkat naskah al-Quran dan
tetamu harus melalui di bawah al- Quran itu sambil tuan rumah menjirus air ke tanah tempat laluan tetamu. Tujuannya
supaya tetamu itu, di lain kesempatan
datang lagi di rumah mereka. Demikian budaya masyarakat Kurdis yang
masih diamalkan sehingga sekarang. Kata Mat Sabu ketika berucap pada Muktamar
PAS di Selangor. Mat Sabu sebenarnya ada cerita lain disebalik cerita bangsa
Kurdis, yang mahu disampaikan.
Dalam masyarakat kita (masayarat PAS) bila terjadi
perpisahan (kalah bertanding), bukan
disirami air sejuk, atau melewati di bawah naskah al-Quran sebagai simbolik
kepada “selamat jalan”, sebaliknya disimbah dengan asid. Kalau tak mati pun, bagaimana
andainya mahu datang balik. Mahu bertandang semula ke rumah lama. Pasti
tak berguna lagi, mata sudah buta, hidung sudah koyak, telinga sudah robek.
Demikian kata Mat Sabu dengan nada sedih.
Bangsa Kurdis bangsa yang melahirkan pahlawan Islam
terbilang- Salahuddin Al-Ayubi. Hanya lewat budaya bangsa yang tinggi nilai peradabannya saja bisa melahirkan
sosok terbilang, pembela Islam, pemberani yang digeruni. Kita (PAS), masih jauh panggang dari api.
Saya dahulu sering menghadiri ceramah Mat Sabu, terutama di
Taman Melawar, Kuala Lumpur. Beliau sering bercerita tentang ketakjuban beliau
kepada bangsa Arab. Ketika di Lubnan, menyaksikan pejuang-pejuang Islam turun ke
medan bertempur dengan Israel. Pemuda-pemuda Arab Lubnan memiliki wajah yang cantik, kulitnya putih, kakinya kemerahan,
sanggup meninggalkan rumah, mengalas senjata, mencari syahid. Kalau di Malaysia
pemuda secantik itu jadi bintang filem. Katanya sambil seloroh.
Mat Sabu yang pernah digelar ayam jagoh PAS oleh Umno, kalah
dalam mempertahankan jawatannya Timbalan Presiden PAS yang disandang selama dua
penggal. Beliau kalah kepada pencabarnya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada Muktamar Tahunan
PAS Pusat ke 61. Dengan kekalahan itu barangkali
nama Mat Sabu akan beransur-ansur dilupakan seperti kita pernah melupakan Datuk
Haji Mohd Asri Haji Muda, walaupun jasanya kepada rakyat Kelantan amat besar
ketika menjadi Menteri Besar pada dekad lalu. Antara jasa-jasa beliau ialah
membuka tanah LKTN (Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan-1960-1971). Lebih
7,000 peneroka dari seluruh negeri Kelantan yang tidak punya tanah diberi tanah pertanian percuma di Gua Musang (dulu
Ulu Kelantan), Kg. Jakar Tanah Merah dan Kg. Beris Lalang di Bachok (Sekarang
harga tanah di Beris Lalang melangit kerana lokasinya berhampiran dengan pusat
pendaratan ikan terkenal di Kelantan iaitu Tok Bali).
Sebelum muktamar pengaruh golongan ulama dan professional
agak seimbang, pasca muktamar golongan ulama atau pro ulama kembali menguasai setiap cabang
kepimpinan. Ketika Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Ni Mat menjadi Mursyidul Am PAS, beliau memberi peluang
seluas-lusanya kepada golongan “professional” menyertai PAS hingga ramai dikalangan mereka terpilih menduduki
kerusi kepimpinan parti. Mat Sabu antara bukan ulama yang terpilih menduduki jawatan tertinggi parti sehingga
menjawat jawatan Timbalan Presiden selama
dua penggal.
Umum bersetuju, PAS sebagai parti politik yang membawa wadah Islam harus dipimpin golongan ulama.
Majlis Syura Ulama adalah tiang seri kepada parti itu. Sesiapa yang menepikan
tiang seri itu, maka rosaklah struktur rumah.
Pada Muktamar PAS ke-61, Dewan Ulama (sebahagian besar ahlinya menjadi
anggota Majlis Syura Ulama) membentang usul memutuskan hubungan politik dengan
DAP tanpa bahas. Tindakan keras itu sebagai tindak balas di atas serangan
bertubi-tubi pimpimpin DAP ke atas Presiden
PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. DAP juga telah gagal untuk berpegang kepada
prinsip "setuju untuk tidak bersetuju" dalam prinsip dan perjuangan
bersendiri setiap parti dalam Pakatan Rakyat seperti perjuangan untuk
melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam. Maka kerjasama politik dengan DAP pun
“tutup buku”.
Dulu ada tiga tuku untuk meletakkan periuk bertanak nasi,
kini tinggal dua, periuk pun senget. Kesan awal daripada tindakan memutuskan
hubungan dengan DAP, lantikan politik di Pulau Pinang dari kalangan orang PAS
diminta meletakkan jawatan serta merta. Mat
Sabu orang pertama berbuat demikian (Pengarah PBA Holdings), dikuti dengan Mujahid Yusof
Rawa. Kira-kira 1,000 anggota PAS dikatakan memegang jawatan dalam kerajaan
Pulau Pinang. Bukan material yang diutamakan, yang harus difikirkan ialah siapa
pula yang bakal mengisi jawatan (politik) itu. Bagaimana nasib pendokong PAS di
Pualau Pinang?
“Lim Guan Eng cepat sangat, gopoh sangat...masa kita buat keputusan itu dulu, bukan nak suruh putus serta-merta. Kita nak suruh rujuk pada Majlis Syura," kata Ketua Dewan Ulama Datuk Dr Mahfodz merujuk usul yang di bawa sayap parti itu ketika muktamar di Kuala Selangor. Nadanya seperti sedikit kesal. Apa pun, nasi sudah menjadi bubur, tapi bubur juga boleh dimakan. Amat sesuai untuk orang tua yang tak punya gigi. Kita khuatir dengan situasi dan kondisi yang melanda PAS, parti itu akan ditinggalkan oleh anak-anak muda yang utuh giginya. Kalau hal ini terjadi, maka PAS akan kembali kepada zaman mula ia ditubuhkan iaitu milik orang-orang pondok dan ustaz. Tapi saya tak percaya. PAS tetap kekal menjadi wadah perjungan alternatif bagi bangsa Melayu, lebih-lebih lagi setelah melihat UMNO ketandusan tokoh yang boleh memimpin parti itu dalam mengangkat martabat orang Melayu.
Melihat kepada keputusan pemilihan kepimpinan PAS pada
muktamar lalu yang dimenangi golongan ulama dan pro ulama dengan menepikan
golongan professional , namun dikalangan yang dikatakan ulama ada yang
sekaligus professional . Golongan ini, selepas menamatkan pengajian Islam di universiti Timur Tengah mereka mengambil
PhD di Eropah. Mereka berkebolehan mentadbir dengan baik.
Yang mengkhuatirkan ialah ustaz-ustaz yang baru tamat
pengajian dari
universiti-universiti Islam Timur
Tengah, pulang ke tanah air terus menyertai PAS, bila diberi peluang bercakap
tak selari dengan tokoh-tokoh lama PAS. Contohnya; ada yang mengeluarkan
kenyataan, kalah dalam pilihan raya pun
tak apa, keredhaan Allah jua yang kita inginkan. Berbeza dengan Allahyarham Tok
Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat “ Kita mahu kerusi,
kerusi itu kuasa (kerajaan), bila dapat kuasa baru boleh menjalankan
hukum Islam”. Kesimpulannya, satu saranan walaupun juga benar tetapi boleh
melemahkan semangat juang ahli, dan satu
saranan lagi upaya membangkitkan
semangat untuk bekerja keras demi
mencapai kemenangan, sekaligus mendapat keredhaan Allah.
Buat usul dan sokong usul gunapakai lutut akhirnya kantoi
ReplyDelete