Semuanya selepas aidilfitri
Oleh: Rossem
Hari raya aidilfitri 1436H pun tiba. Ramadhan ditinggal pergi. Sesiapa yang berusia 60 tahun pada Ramadhan lalu, bererti
ia sudah menjalani ibadat puasa hampir 50 bulan, setelah ditolak zaman belum
baligh. Orang-orang yang beriman menitis air mata setiap kali Ramadhan berlalu. Orang yang kurang iman gembira boleh makan siang.
Apa pun Ramadhan menguji kesabaran kita dalam segenap aspek. Antara nafsu
sarakah dan akal sehat yang didorong oleh keimanan yang kental
berperang tanpa gencatan senjata selama sebulan penuh, masing-masing mahu
menewaskan satu sama lain. Medan tempur adalah kita. Lokasinya ialah seketul
hati yang disembunyikan di dalam kubu yang dibina dari tulang rusok. Dalam peperangan itu ada yang
menang, ada yang tewas. Namun siapa
mencapai kemenangan, Allah saja yang Maha Mengetahui.
Di Bazar Ramadhan yang diwujudkan di setiap taman perumahan,
lorong, di kota dan desa, manusia berpusu-pusu memilih untuk membeli juadah
berbuka. Kita juga hairan, kata ekonomi meleset, nilai ringgit turun menjunam, minyak
naik, harga barangan melambung, tapi pengguna bersesak-sesak di bazar ramahdan seperti
suasana dalam bas mini di Kuala Lumpur tahun 1970an. Kalau tiba lewat, jam 7
sore, sebahagian makanan sudah habis.
Itu menunjukkan rakyat Malaysia dari kalangan Melayu Islam masih mampu
berbelanja besar untuk berbuka puasa. Barangkali melihat “kemewahan” itu mendorong
kerajaan tak teragak-agak menaikan harga minyak beberapa kali dalam setahun dan
GST.
Di rumah, hidangan
penuh meja, beraneka jenis kuih- Cik Mek Molek, akak, teri mandi, buah mulung, mee
goreng, laksa penang, sementara lauk pula, ikan kembung, ayam percik, daging bakar, tom yam, telur dadar,
tak ketinggalan juga ulam, sampai tak tahu yang mana satu hendak dimakan. Kalau
ada lima orang anak, lima jenis minuman disediakan- air serbat, air tebu, air
kelapa, air soya, kerana selera minum anak-anak berbeza.
Perbuatan itu semuanya didorong oleh nafsu. Sepatutnya di
bulan puasa kita bisa berjimat cermat
kerana tak makan siang. tetapi berlaku
sebaliknya. Itu dinamakan; telah terkena jerat hawa nafsu.
Ramadhan bulan ibadat. Nikah kahwin walaupun juga dikira
ibadat tetapi tak dilakukan dalam bulan puasa atas sebab-sebab tertentu. Saya
banyak menerima undangan majlis perkahwinan, semuanya berlangsung selepas hari
raya aidilfitri. Jadi, selepas hari raya ini banyak kerja yang harus kita
penuhi.
Yang akan berlaku juga selepas aidilfitri ini ialah
penubuhan parti baru serpihan PAS. Olehkerana parti itu belum lahir maka
namanya belum diberikan. Hanya desas desus mengatakan “Parti Islam Progresif”.
Kalau benar menggunapakai nama itu, kita
dilanda kehairanan, bolehkah Islam
ditempel dengan istilah lain?. Dulu kita
pernah dengar Islam Sosialis dibawa Kassim Ahmad. Hakikatnya nama-nama itu mengambarkan
Islam sepertinya tak lengkap, walhal
Islam itu al din. Mungkin akan datang
muncul pula parti Islam liberal. Makin bercelaru!
Di Malaysia menubuhkan parti serpihan bukan sesuatu yang
aneh, Umno sudah mengalaminya beberapa kali. Datuk Onn Jaafar meninggalkan Umno
menubuhkan Parti Negara. Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Semangat 46.
Tengku Razaleigh dianggap hebat ketika
itu kerana disokong bekas Perdana Menteri
Tengku Abdul Rahman Putra dan Hussain Onn, namun ternyata gagal bertahan, akhirnya dibubarkan.
PAS lagi banyak melahirkan parti serpihan. Antaranya Parti
Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim), Berjasa, Islah dan beberapa lagi yang kurang
terkenal. Hamin dipimpin oleh bekas Presiden PAS Datuk Haji Mohd Asri Haji Muda
(Allahyarham), sementara Berjasa di pimpin mantan Timbalan Menteri Besar
Kelantan, Datuk Haji Mohd Nasir. Kedua-dua parti itu berkubur juga akhirnya. Kecuali
Berjasa dengan pertolongan rakannya Umno
dapat merampas Kelantan dari tangan PAS, kemudian parti itu ditelan Umno- mati.
Dalam konteks PAS, menubuhkan parti baru oleh kalangan
mereka yang keciwa kerana tak terpilih dalam Muktamar kelmarin jangan dipandang
sebelah mata, apalagi mentertawakan, kerana kesannya sangat besar. Walaupun
saya yakin parti itu kelak akan menerima
nasib yang sama seperti Hamim dan Berjasa, namun dengan kondisi yang berlaku akan membantutkan kemenangan PAS pada Pilihan
Raya Umum Ke 14 akan datang.
Berdebar-debar menunggu apa yang akan berlaku selepas Aidilfitri ini.
Samada parti baru ditubuhkan atau tidak. Samada perpecahan dalam PAS bertambah
melebar atau berkurang. Sepertimana sebelum ini ramai mengharapkan muktamar PAS
di Kuala Selangor dapat menjernihkan hubungan politik PAS-DAP, namun ternyata,
keputusan muktamar tidak membawa kepada kejernihan hubungan dengan DAP, sebaliknya makin parah, ialtu memutuskan
hubungan dengan parti yang sama-sama
membentuk Pakatan Rakyat (PR).
Seorang petugas parti pernah meluahkan perasaan kesal dan keciwa kepada saya” Kita bekerja keras
bertahun-tahun membina rumah, akhir dalam sekelip mata rumah itu dirobohkan Tok
Ketua Rumah”.
apa yg berlaku adalah proses membersihkan dan mematangkan PAS - biar mereka yg pentingkan jawatan, pentingkan kemenangan serta bersekongkol dengan parti orang kafir keluar dari PAS
ReplyDeletePAS perlu tegas dalam perjuangannya - jangan taksub menghalalkan cara untuk menang - yg penting mendapat keredaan Allah SWT