Wednesday, July 29, 2009

UMNO - PAS seperti Majnun dengan Laila?


Oleh: Rossem

“Nik Aziz hulur salam- Mursyidul Am Pas sedia lupa sengketa demi perpaduan”.
Membaca tajuk akhbar arus perdana tanggal 26 Julai 2009 mengundang rasa ingin tahu yang berkobar. Belum sampai sebulan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerang pemimpin tertentu dalam Pas kerana melontar idea perpaduan tiba-tiba beliau sendiri mahukan perpaduan. Kenapa sih bisa jadi begitu?.

Sang taksub dalam Pas justeru jadi takut untuk membaca berita ditulis wartawan kerana ternyata sangat kontradiktif dengan apa yang difahaminya tentang sikap Tuan Guru yang dikenalinya selama ini. Tuan Guru yang khilaf atau kenyataan Tuan guru telah diputarbelikkan media untuk kepentingan kelompok tertentu. Demikian persepsi mereka.

Sementara pertimbangan nalar publik terutama dikalangan orang Melayu pasti menginginkan sebuah perpaduan antara dua partai politik Melayu itu wujud segera demi memperkuatkan posisi bangsa yang tampak semakin menurun mutakhir ini. Kelompok ini tentunya daripada kalangan pendokong UMNO, kerana mereka merasakan kapal yang ditumpangi selama ini lobang bocornya sudah semakin membesar, dikhuatiri akan karam bila-bila masa saja. Justeru disaat-saaat seperti ini, salam perpaduan kepada musuh politiknya- Pas wajar diucapkan, tinggal lagi untuk berbuat demikian tentu terasa berat, perasaan malu masih menebal dalam diri. Maruah harus dipelihara. Seperti kata orang lama; walaupuan muka tersemban ke tanah tapi misai jangan rosak.

Loh! Tiba-tiba Tuan Guru yang tidak mahu perpaduan terjalin antara UMNO-Pas menginginkan pula perpaduan. Mana mungkin. Namun bagi mereka yang kenal Tuan Guru, pasti tidak mudah mempercayainya bulat-bulat. Tentu nalarnya dapat menangkap; Ini olahan media pro UMNO bertujuan mengeksplotasi ucapan Tuan Guru cuma.

Maka pada esok harinya publik menemui sejambak jawapan dari Tuan Guru. Komentar balasnya berbunyi: Bukan kerjasama antara Pas-UMNO. Saya bercakap dalam konteks antara kerajaan Negeri dan Pusat. Makasud saya ialah hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan pusat harus akrab, kerana negeri ini mempraktikkan sistem feudalisme.

Sekali lagi UMNO terpukul dengan jawapan Tuan Guru itu. Namun seberkas kesalahan harus dituding kepada media pro UMNO, mereka itu ternyata salah lapor. Tuan Guru bermaksud lain, ditulisnya lain. Atau mereka sememangnya berniat untuk memerangkap Tuan Guru bertujuan melaga-lagakan Mursyidul Am itu dengan pemimpin Pas lain.

Apa yang berlaku kini, mereka yang telah memberi reaksi berdasarkan laporan salah oleh media, sepatutnya bersabar dahulu sebelum menembak, amati secara saksama maksud yang disampaikan Tuan Guru, kerana kegagalan berbuat demikian, publik akan menilai kaum akademik sama sifatnya seperti sang politikus, menembak sasaran tapi sering tidak tepat.

Misalnya, salah seorang professor, juga Ahli Jawatankuasa Gabungan Penulis Nasional (Gapena) mengatakan “Nik Aziz dah menyeleweng, jadi macam tak berguna lagi”. Sementara Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi melontarkan kemarahannya kepada Tuan Guru “Mursyidul Am Pas itu bukan pejuang Islam sebenar”.

Marah mereka ini bagaikan seorang pengusti bengis, mahu membelasah lawan tanpa menghitung posisi diri, apakah saat itu posisinya mantap atau langkahnya sumbang, bila dilibas musuh apakah bisa bertahan. Kini penonton melihat sang pengusti itu telah kehilangan bijaksana, sedang mereka sebenarnya bertarung dengan seorang pengusti veteran lagi berpengalaman. Tuan Guru masih memiliki “buah sulit” untuk mematah hujah lawan politiknya.

Akhirnya bunyi suara dari Kampala, Uganda, bergema secara tiba-tiba: Para pemimpin UMNO mulai sekarang tidak lagi perlu memberi respons kepada kenyataan Nik Aziz Nik Mat yang terkait parti itu dengan UMNO. Kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Dri Muhyiddin Yassin yang berada di Uganda kerana menghadiri Dialog Perkongsian Pintar Global 2009. Maka dengan teguran sang ketua itu, isu kerjasama Pas- UMNO dikira mereda.

Namun perbalahan UMNO- Pas ini, kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat akan terus berpanjangan, kerana UMNO itu ibarat Majnun dan Pas Laila. Majnun mengilai Laila lantaran Laila itu seorang gadis cantik, justeru ia berusaha sedaya upaya untuk memilikinya, walaupun ia tahu Laila tidak kepingin.

Mengingatkan ini, teringat syair Laila Majnun yang dijadikan lagu oleh penyanyi Papa Rock Ramli Sarip:

Terkulai di puncak rindu
Tenggelam dalam sedu
Kasih mu tak siapa
Bisa tanggalkan
Biar luka parah
Biar jiwa lara
Kasih mu yang sebati
Sukar ku pisah
Siapa bisa rasakan
Gelora cinta si Laila
Siapa gerangan
Kalaulah bukan Majnun
Mesti ada saksi
Mesti tegak bukti
Sebuah pengorbanan
Sebagai ganti
Lafazkan cinta mu satu
Azamkan cinta mu satu
Nazarkan cinta mu satu
Kibarkan cinta mu satu
Laungkan cinta mu satu
Jaungkan cinta mu satu

No comments:

Post a Comment