Oleh: Rossem
Gas pemedih mata. Nama yang sinonim dengan negara dunia ketiga, tapi ia jarang sekali digunakan di Barat di mana produk itu asalnya dicipta. Tahun 2008 dan awal 2009 tercatat- Thailand adalah negara paling banyak menggunakan gas pemedih mata di dunia, ekoran tindakan polis negara Gajah Putih itu menyuraikan penunjuk perasaan yang digerakkan pendokong mantan Perdana Menteri Thailand dalam buangan Taksin Sinawatra.
Barangkali penggunaan gas pemedih mata kedua terbanyak bagi tahun 2009 kalau tidak Iran, Malaysia. Namun di Malaysia tidak ada angka rasmi dikeluarkan polis negara ini, berapa jumlah yang digunakan untuk menyembur puluhan ribu massa yang berarak di sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, Sabtu, tanggal 1 Ogos 2009.
Kenapa gas pemedih mata itu diciptakan? Jawapanya ialah, ia dicipta untuk mempertahankan sebuah kekuasaan, untuk mempertahankan seorang pemimpin yang tidak disenangi rakyat daripada digugat rakyat, lalu respons atau jawapan daripada protes rakyat itu ialah gas pemedih mata!
Kronologinya. Seorang yang berseragam biru tua dan bertopi merah yang berdiri gagah di atas trak yang juga berwarna merah itu akan mengeluarkan arahan lewat alat pengeras suara “Bersurai, kalau tidak kami akan suraikan kamu”. Tapi tentunya suara amaran itu seperti angin berlalu tanpa meninggalkan bekas- tidak dipedulikan massa. Sehinggalah tahap kedua – sang berseragam biru tua dan bertopi merah itu kemudiannya membunyikan pula loceng – Anak buah mereka yang sudah lama bersiap siaga itupun melepaskan tembakan gas pemedih mata, diikuti semburan air kimia, pukulan belantan dan tangkap.
Teringat suatu masa dulu, pernah, ketika masih memakai seragam hijau dan topi biru muda, berdiri di saf-saf yang ditentukan dalam kondisi siap siaga untuk menembak gas pemedih mata ke arah ribuan para penunjuk perasaan yang berteriak “pergi jahanam Dato’ Asri” di simpang Jalan Dato’ Pati (Dataran Ilmu) di Kota Bharu. Gas pemedih mata itu tampak memutih seperti salji turun di musim sejuk saat kami lepaskan ke sasaran. Para unjuk rasa pun bertempiaran melarikan diri. Namun 20 minit kemudian datang lagi dengan teriakan yang semakin keras, bahkan brutal. Tapi waktu itu, seingat saya tidak ada tangkapan dilakukan, mungkin disebabkan mereka dari kalangan mahu menumbangkan Kerajaan Pas Kelantan yang dipimpin Dato’ Asri Haji Muda. Tokoh politik saingan, merangkap Timbalan Menteri Besar Kelantan ketika itu Dato’ Haji Mohd. Nasir dengan didalangi pemimpin-pemimpin UMNO tertentu tempatan bermain bola api untuk menjatuhkan ketuanya Asri.
Di Kuala Lumpur tanggal 1 Ogos, berlaku lagi tunjuk perasaan. Para demontrasi yang jumlahnya puluh ribuan, yang cuma meneriakkan “tidak” kepada ISA. dibantai tanpa manusiawi. Sang pembantah ini datang dari seluruh negara, sekaligus mewakili sebahagian besar rakyat Malaysia cuma menuntut agar akta zalim itu dicabut daripada perundangan negara kerana dianggap tidak releven lagi dengan semangat zaman. Namun jawapan kepada protes aman itu ialah gas pemedih mata, belantan, water canon dan tangkapan.
Barangkali pihak yang berwenang lupa bahawa gas pemedih mata tidak pernah boleh menyelamatkan sesebuah kekuasaan, sebaliknya mempercepatkan keruntuhannya. Diktator Ferdinand Marcos pernah menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan para penunjuk perasaan yang jumlahnya ratusan ribu yang setiap hari berarak melewati Istana Malakanang sambil meneriakkan kata-kata “Pergi jahanan diktator”. Akhirnya sang diktator yang berkuasa selama 20 tahun itu terpaksa akur dengan kuasa rakyat yang dipimpin seorang wanita bernama Corazon Aquino. Marcos kemudiannya meninggalkan Filipina dan memohon suaka politik di luar negara. Tahun 1986 tercatat dalam sejarah negara itu sebagai tahun kejayaan sebuah “kuasa rakyat” menyingkirkan seorang diktator dan menegakkan kembali demonkrasi.
Ikon demokrasi kesayangan rakyat Filipina itu mati tanggal 1 Ogos 2009, dalam usia 76 tahun, setelah bertarung dengan kanser kolon selama setahun. Menariknya tarikh kematian itu sama dengan tarikh Pakatan Rakyat mengerakkan massa yang jumlahnya juga puluhan ribu di Jalan Tunku Abdul Rahman, Sabtu, 1 Ogos.
Demikian juga apa yang berlaku di Indonesia tahun 1998. Pemerintah orde baru, Suharto juga menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan tunjuk perasaan rakyat tapi berakhir dengan kejatuhan jua. Rakyat berundur bila matanya terasa kepedihan tapi pedih hati sukar dipatahkan, ia terus hidup dan subur dalam diri setiap orang. Dalam hal ini seharusnya pemerintah mengambil sikap yang lebih bijaksana dalam mengurus pemasalahan rakyat.
No comments:
Post a Comment