Tuesday, August 25, 2009
Penatnya UMNO menghadapi Tok Guru
Oleh: Rossem
Bulan Ogos, bulan mencerca Tok Guru!. Bunyinya seperti sebuah jadual yang siap diatur atau seperti program yang tercatat dalam kalender tahun melawat Malaysia, dengan acara-acara yang menarik untuk setiap bulan. Atau juga seperti kebiasaan yang dilakukan sesebuah syarikat: Setiap bulan sosok-sosok terbaik dari segi pencapaian tugasnya akan dipilih menjadi karyawan terbaik untuk bulan tesebut. Maka sekeping foto dengan senyum melebar pun akan dilekatkan pada dinding pejabat untuk tontonan ramai.
Ogos adalah bulan Tok Guru! Sebagai bulannya, potret Menteri Besar Kelantan itu pun dimuat pada lembaran akhbar arus perdana setiap hari, tapi bukan untuk sanjungan. Sebaliknya seberkas kritikan tertuju ke arahnya. Daripada orang politik dan cendekiawan yang diminta opini semuanya menembak Tok Guru. Gegerannya bagaikan guruh membelah langit.
Sepanjang bulan itu atau mungkin sehingga ke bulan berikutnya, sebahagian besar para pemimpin dan cendekiawan UMNO akan mengkritik Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ekoran kenyataannya bahawa penyokong UMNO tidak masuk syurga kerana parti itu mengamalkan Islam plastik.
Islam plastik? Bunyinya pun sangat menakutkan. Sehingga barangkali tidak tergamak si tukang tulis UMNO untuk memasukkan ungkapan itu dalam tulisan mereka di akhbar, lalu perkatan plastik diganti dengan Palestin. Plastik dengan Palestin itu bunyinya hampir sama, apalagi sekiranya Tok Guru Nik Abdul Aziz yang menyebutnya, kerana umum sedia maklum, pertuturan Tok Guru yang usianya sudah melewati 70an itu amat perlahan. Bagi wartawan yang tidak sering dengan Tok Guru mungkin mereka sukar untuk menangkap makna disebalik ungkapan yang dituturkan.
Bila plastik ditulis Palestin bererti sebuah negara yang bernama Palestin telah tersentuh maruahnya. Rakyat Palestin lebih-lebih lagi pemimpin mereka dari kelompok Hamas yang sangat akrab dengan Pas mungkin akan marah. Kalau hal ini terjadi, maka ia sangat mendukacitakan, sedangkan maksud Tok Guru bukan Palestin tapi plastik.
Ekoran kejadian itu, Tok Guru mahu menyaman media yang terlibat termasuk sebuah stesen televisyen. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Rais Yatim yang menjaga televisyen pun marahnya seperti orang kebakaran janggut “Nik Aziz boleh mengemukakan sebanyak mana pun saman yang dia nak, mungkin lebih panjang dari serbannya."
Perkataan “lebih panjang dari serbannya” sangat menyentuh nurani umat Islam kerana dalam masyarakat Islam, serban adalah satu pakaian yang mulia yang tidak sepatutnya di hina. Perbuatan menghina serban yang juga pakaian Rasulullah saw ini sudah keterlaluan. PAS melalui lidah Mohamed Hanipa Maidin akan mengemukakan saman atau sang menteri memohon maaf.
Salah lapor ucapan Tok Guru ini sangat lumrah. Pada Jumaat, pagi, tanggal 21 Ogos, di kuliah rutinnya di Dataran Ilmu, Kota Bharu, kebetulan saya ikut hadir bersama ribuan para jamaah. Tok Guru di penghujung kuliahnya menyebut “Hari ini saya merasa puas, kerana dapat meluahkan perasaan saya dalam isu dibangkitkan UMNO ekoran kenyataan - ahli UMNO tidak masuk syurga” Tok Guru dengan penuh semangat mengulas kenyatan-kenyataan yang didakwanya sebagai salah lapor oleh media. Dan berjanji akan mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman akhbar yang terlibat menyiarkannya.
Sebelum itu, dalam kuliahnya, beliau menceritakan tentang siapa sebenarnya penyebar ajaran sesat di Malaysia. Tok Guru kemudiannya memberi contoh pergerakan Al Arqam. Pertubuhan yang dipimpin Ustaz Ashaari Muhamad itu telah dikatogerikan oleh pemerintah Malaysia sebagai salah satu ajaran sesat, begitu juga dengan ajaran Ayah Pin. Walhal UMNO juga menurut Tok Guru sebagai sesat, kerana parti itu menolak hukum Islam dalam pentadbiran negara. Menolak Hudud dan memisahkan Islam daripada politik negara adalah bercangah dengan syariat Islam . UMNO mengambil nasionalisme menjadi dasar perjuangannya. “Bukankah itu satu bentuk ajaran sesat?” Kata Tok Guru.
Justeru kenapa berlakunya double standard seperti ini, di mana Al- Arqam dan ajaran Ayah Pin dikenakan tindakan, sebaliknya UMNO dibiarkan.
Walaupun Tok Guru berkali-kali memberitahu bahawa kenyataannya telah sengaja diputarbelitkan media pro UMNO untuk tujuan tertentu, namun pernyataan Tok Guru bagaikan tidak diendahkan. Ayat yang diucapkannya telah ditokok tambah sehingga umum memahami- penyokong UMNO tidak layak meraih syurga menurut persepktif Tok Guru.
Namun, umum mengetahui, sosok yang bernama Tok Guru Nik Abdul Abdul Aziz Nik Mat itu bila membuat teguran atau kritikan terhadap sesuatu praktik ummah yang difikirnya bertentangan dengan Islam tidak pernah mengkritik individu secara langsung, sebaliknya yang dikritik adalah dasar parti atau pertubuhan. UMNO sejak dulu memang menjadi sasaran kritikan keras Nik Aziz disebabkan dasar yang dibawa parti Melayu terbesar itu ialah nasionalisme.
Nasionalisme bagi Tok Guru tersangat buruk. Suatu doktrin yang ditentang sejak dulu. Status bangsa di matanya tersangat rendah. Melayu, Cina, India atau Inggeris tiada nilai di sisi Allah SWT, menurutnya. Sebaliknya Islam yang menjadi hitungan. Justeru di mana-mana pun bila Tok Guru bercakap, hal seperti ini ditekankan tanpa mempedulikan samada khalayak pendengar suka atau tidak.
Selepas ini mungkin lebih banyak lagi serangan ke atas Tok Guru. Atau serangan itu semata-mata bertujuan meraih undi UMNO untuk Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir tanggal 25 Ogos lalu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Nabi pun Umno tak hormat, Ulama lagi la Umno tak hormat. Umno ni pemimpin toghut je yang dia tau nak hormat. Lagi bnyk pemimpin tu buat salah, lagi la tinggi penghormatan Umno kepada mereka.
ReplyDeletewww.pemudakemehe1.blogspot.com