Sunday, July 26, 2009
Parti politik multi-etnik mula diterima
Oleh: Rossem
Dalam tempoh tidak sampai dua bulan, dua mantan menteri kabinet Malaysia menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Satu pencapaian politik yang sangat drastik oleh parti itu. Didahului tokoh UMNO, Datuk Zaid Ibrahim, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di era Tun Abdullah Ahmad Badawi, manakala MCA menyumbangkan mantan Menteri Kesihatan di era Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Dr. Chua Jui Meng. Dan berita terkini, mantan Naib Presiden MIC, Dato' SS Subramaniam juga menyertai parti tersebut.
Imej parti yang dipimpin Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun melompat satu tangga. Beliau tentunya menarik nafas lega setelah tampak sedikit sesak nafas ekoran peristiwa lompat parti oleh dua Wakil Rakyat PKR di Perak dulu sehingga mengakibatkan tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Datuk Seri Nizar Jamaluddin. Kini kes itu masih dalam proses mahkamah.
Zaid seorang politikus dan pengamal undang-undang yang punya prinsip sukar digoyah. Ia menolak apa jua yang bertentangan dengan prinsipnya biarpun dengan tindakannya itu mengundang kehilangan jawatan.
Zaid tampak di mata umum sebagai politikus yang melihat Malaysia dari kaca mata multi-etnik, multi-budaya dan multi-agama. Baginya, setiap rakyat tanpa mengira etnik, budaya dan agama harus diberi hak yang sama sebagai warga negara Malaysia. Sifat dan sikap yang dimiliki Zaid itu sangat sinonim dengan falasafah yang mendasari Parti Keadilan Rakyat, maka tidak aneh, kenapa beliau menyertai PKR.
Rasional yang sama diberikan Chua Jui Meng: PKR sebuah parti yang mewakili semua kaum di Malaysia. Justeru ia sangat bertetapan dengan inspirasi rakyat negara ini yang multi-etnik. “Beberapa tahun terakhir dalam MCA, saya cuba untuk menkoreksi parti itu agar diterima umum namun gagal” Kekecewaan itu menyebabkan Chua Jui Meng hilang kepercayaan terhadap parti yang didukungnya selama lebih 23 tahun.
Daripada sudut pandang sang politikus ini ternyata bahawa parti-parti politk yang dibentuk berasaskan etnik yang selama ini mendominasi politk tanah air sudah tidak releven lagi dengan masyarakat Malaysia hari ini. Rakyat kini sudah merasakan betapa selesanya bila pelbagai kaum itu berteduh di bawah satu payung. Bukti-bukti keharmonian itu sudah pun wujud dalam PR, sehingga rakyat merasakan lumayan amat. Orang Cina bertepuk tangan saat orang Melayu berceramah di atas pentas. Orang Melayu juga bertepuk tangan saat Lim Kim Siang atau Gobalakrishnan berceramah.
Situasi seperti itu tidak wujud dalam Barisan Nasional (BN), namun bagi Pakatan Rakyat (PR) merupakan lumrah. Hal ini boleh disaksikan pada setiap kali ceramah PR yang menghadirkan pemimpin dari PAS, PKR dan PAS di atas satu pentas. Saya pernah menyaksikan sendiri ribuan penyokong PAS bersorak gembira saat Lim Kit Siang berpidato dengan penuh semangat di malam pengistyiharan calon PAS, Mohd. Fauzi Abdullah bagi pilihan raya kecil N-41, Manek Urai, yang berlangsung di Padang Sekolah Manek Urai Lama baru-baru ini, padahal khalayak keseluruhannya adalah orang Melayu.
Berbalik kepada Zaid. “Dengan menyertai PKR, apakah Datuk berencana untuk bertanding di palimen Bandar Tun Razak atau di parlimen Kota Bharu pada Pilihan Raya Umum ke -13 nanti?” Secara berseloroh saya bertanya beliau saat pertemuan di hari penamaan calon Dewan Undangan Negeri Manek Urai, di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra, Kuala Krai. Jawapanya ringkas “Terserah kepada parti, saya di mana-mana pun boleh”.
Zaid kemudiannya mara selangkah lagi iaitu menyarankan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah agar menolak saja UMNO yang disifatkanya sebagai “perkauman” dan alternatifnya menyertai PKR. Bagi Zaid, Ku Li punya semangat nasionalisma yang kental, seorang pejuang Melayu tulen, tapi sepanjang penglibatanya dalam politik tidak pernah terdengar ungkapan yang dilafazkan putera bangsawan
Kelantan itu yang bersifat membenci dan menghina etnik lain dalam apa-apa isu pun.
Penyertaan Zaid, Chua Jui Meng dan SS Subramaniam ke dalam PKR merupakan difinasi jelas bahawa parti politik multi- etnik sudah mula diterima rakyat Malaysia. Sebaliknya masa depan parti-parti yang berteraskan kaum seperti MCA, MIC dan UMNO akan terus mengucup seperti belon kehabisan angin.
Persedian PR untuk menghadapi peperangan demokrasi pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti bahkan sudah lancar. Para-para jeneral yang dulunya berada di pihak musuh kini menjadi rakan seperjuangan, akan memimpin batalion dan rejemen dengan kaedah dan strategi tersendiri untuk satu tugas besar- mengambilalih pemerintahan negara daripada genggaman Barisan Nasional (BN).
Orang-orang seperti ini, mungkin mereka ingat akan Nelson Mandela. Ia berjuang sebagai pemimpin kaum kulit hitam, tapi akhirnya ia tidak berbuat hanya untuk kebaikan kaumnya. Ia menang untuk meruntuhkan kekuasaan apartheid yang memperlakukan orang secara menghina berdasarkan warna kulit. Maka kemenangan Mandela baru bererti kemenangan bila ia mengalahkan apartheid juga dalam bentuk baru. Demikianlah Mandela tak mendiskriminasikan orang kulit putih di bawah pemerintahannya.
Kita mengharapkan begitu….!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
OKAY MACAM BIASA, TINTA EMAS DARIPADA SEORANG MAHAGURU
ReplyDelete