Tuesday, January 22, 2013

CATATAN 23 JANUARI 2013



Bukan salah ibu mengandung

Kata empunya cerita, Utusan Melayu tidak dilahirkan di atas dulang emas,. Salah seorang pengasasnya Almarhum Yusuff Ishak menitis air mata apabila ia dapat mencukupkan  modal dari beberapa orang Melayu bagi menerbitkan Utusan Melayu di Singapura tanggal 29 Mei 1939.

Ketika Utusan Melayu (jawi) edisi pertama terbit dan dipasarkan untuk orangramai, orang  Melayu sujud syukur. Penyair Usman Awang pun menulis sajak  memuji akhbar itu:

 Utusan Melayu
Ketika tanahair menjadi bisu
Engkaulah penyambung lidah bangsamu
Orang-orang yang takutkan kata merdeka
Engkau jeritkannya selantang suara

Kini 70 tahun berlalu, akhbar tertua itu mula dibenci bangsanya sendiri. Bukan salah ibu mengandung, tapi salah akhbar itu sendiri kerana mengikut telunjuk pihak tertentu dengan menepikan kehendak dan inspirasi umat Melayu yang lain.

Kredibiliti akhbar itu mutakhir ini jatuh merudum sehingga sebahagian orang Melayu mengelarnya sebagai akhbar pencetus fitnah nombor satu di Malaysia.  Setiap  berita dan laporan yang ditulis dan disiarkan tanpa asas yang kukuh, malah  sebahagiannya menjurus kepada fitnah yang dirancang, mangsa fitnah kemudiannya membawa ke pengadilan dan mahkamah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas akhbar itu dan bayar ganti rugi.

Antaranya; menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menyokong pergerakan lesbian, guy, biseksual dan tran seksual (LBGT) –Anwar menang. Menuduh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Mohamad Nizar berhubung pembelian nombor plat WWW1 oleh Sultan Johor sebagai penderhaka sultan, anti Sultan Johor dan cuba menghasut rakyat membenci Sultan- Nizar menang.

Menuduh Ahli Parlimen Bukit Gelugur, Karpal Singh menolak Islam sebagai agama rasmi negara- Karpal menang. Menuduh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad memutarbelitkan ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil – Khalid menang. Menuduh Ketua Menteri Pualau Pinang, Lim Guan Eng anti Islam dan anti Melayu – Guang Eng menang.

Saya bukan sekali-kali mahu bermusuh  dengan Utusan Melayu, kerana diakhbar itu juga pada tahun 1978  karya saya mula disiarkan setiap hari sehingga ditamatkan tahun 2010. Sepanjang tempoh itu kartun-kartun  saya berkelana  hampir disemua media yang diterbitkan  syarikat itu, seperti akhbar Utusan Melayu (Jawi),  Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan beberapa majalah.

Bukan salah ibu mengandung, bukan salah Almarhum Yusuff Ishak,  tapi salah Umno yang mengkudakan akhbar Melayu terunggul itu. 

No comments:

Post a Comment