Tuesday, January 22, 2013

CATATAN 22 JANUARI 2013



Tujuh dulang hantaran untuk Kelantan

Negeri Kelantan ibarat anak dara sunti yang cantik menawan, jelingan matanya  tajam bab pisau, lenggang lenggoknya bab bidadari istana,  sesiapa memandang pasti tergila-gila lebih-lebih lagi lelaki hidung belang.

Kerana kecantikannya yang luar biasa  maka ramai lelaki mahu masuk meminang, antaranya  dari Putrajaya. Tanggal 19 Januari  datang satu rombongan, ketua rombongan, masih ganteng orangnya meskipun usia  50an, mulutnya  merah bab delima merkah, rambutnya  putih bagaikan kapas  dijemur,  berkata kepada  si gadis ayu: jika menerima pinanganku akan ku berikan padamu tujuh dulang hantaran yang mahal-mahal, ada lagi pemberian istimewa lain yang tak disebutkan sekarang. 

Antara  tujuh jenis hantaran itu,   sebuah masjid berkubah emas, jalan raya dengan aspal daripada emas hitam impot dari luar negara,  stadium bolasepak berbumbungkan perak dan lain -lain. Stadium bolasepak diulangsebut beberapa kali kerana lelaki itu tahu si gadis ayu merupakan peminat tegar bolasepak.

Bunyinya seperti hantaran yang akan dibawa Sultan Melaka ketika mahu meminang Tuan Puteri Gunung Ledang sepertimana  diriwayatkan  dalam hikayat Melayu klasik. Hanya sedikit berbeza  ialah  hantaran  yang akan dipersembahkan  Sultan Mahmud Shah  adalah atas kemahuan Puteri Gunung Ledang, sementara hantaran lelaki dari Putrajaya, Najib Shah  itu atas kehendaknya sendiri, belum tahu sang gadis menerima atau tidak.  

Puteri Gunung Ledang bukan sembarangan manusia, leluhurnya dari kaum bangsawan yang terhormat. Kepintaran akalnya melebihi Sultan Melaka. Puteri Gunung Ledang tak mahu menjadi permaisuri sultan yang sudah tua renta itu, lalu dicarinya helah  supaya sultan membatalkan hasrat memperisterikannya dengan cara yang berhemah. Hati sultan harus dijaga, jangan sampai terluka atau gila, maruah sultan harus dipelihara, jangan sampai malu.  Lalu Puteri Gunung Ledang mengenakan syarat yang berat dengan harapan sultan tak sanggup menunaikannya.

“Baginda sultan perlu menyediakan  tujuh dulang hantaran,  antaranya;  jambatan emas dari Kota Melaka ke Gunung Ledang, jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang, 7 dulang hati nyamuk, 7 dulang hati hama, 7 tempayan air mata anak dara, 7 tempayan air pinang muda dan satu mangkuk  darah Sultan Ahmad, iaitu putra Sultan Mahmud Shah yang masih kanak-kanak.

Demi cinta yang berkobar-kobar, sang sultan  sanggup menunaikan  sepertimana dipinta, kecuali semangkok darah Sultan Ahmad, sangat sukar baginya,  mengenangkan itulah  satu-satunya putra lelaki kesayangan baginda. Akhirnya hasrat mempersuntingkan Puteri Gunung Ledang hancur berkecai seperti kaca terhempas ke batu.

Begitu juga dengan Kelantan, sekiranya lelaki ganteng dari  Putrajaya itu benar-benar tergila-gilakan Kelantan, tak perlu hantar tujuh dulang hantaran, memadai dengan hanya satu dulang, iaitu Umno mesti terima Islam sebagai wadah perjuangannya!.

No comments:

Post a Comment