Friday, August 10, 2018

Bukan masanya mempamer otot-­otot



Oleh: Rossem
Suka atau tak suka,  DAP telah berjaya  menyatukan  orang Cina dalam sebuah parti besar yang didominasi  kaum  itu  sejak 40 tahun lalu, manakala Parti MCA yang ditubuhkan sejak Malaya merdeka  dengan matlamat memperjuangkan nasib orang Cina ditinggalkan begitu saja oleh orang Cina. Menerima nasib  sama ialah parti GERAKAN. Majoriti kaun India juga mengucapkan selamat tinggal  kepada parti MIC  . Mereka kini  bersama  dengan DAP  dan PKR.  Parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH). 

DAP menjadi kerajaan  dalam PH  dengan kekuatan  kerusi parlimen nombor dua paling banyak selepas PKR.  Matlamat perjuangan DAP , antaranya  membangun kaum Cina.  Itu hak mereka. Jadi kenapa kita harus marah?. 

Sebaliknya orang Melayu terus berpecah kepada lima kelompok. UMNO, PAS, PKR, Amanah dan PPBM. Masing-masing menyingsing lengan, mempamerkan otot-otot, kamu bodoh,  munafik,  golongan ahzab dan pelbagai lagi maki hamun.  UMNO dan PAS terus menerus  memperlekehkan  PH.   Manakala PH  dalam diam-diam  kucing terus  menjalankan siasatan  ke atas pemimpin UMNO, mendakwa dan mengheret mereka ke mahkamah.  Siapa  cerdik? 

Ada  orang Melayu bangga  menjadi pembangkang ,  bisa mempamerkan  kepintarannya berhujah di parlimen. Memang kita kagum dengan kehebatan  mereka berhujah, tetapi  untuk apa, kalau hanya  sekadar menjadi bahan gelak ketawa dan riuh rendah bunyi tepuk meja.  Semua itu ibarat    angin lalu, tidak menjadi kudis gatal pada pihak   kerajaan, contohnya   RUU tentang SST, hujah-hujah pembangkang  ada yang realistik , tetapi bila speaker  mengatakan “ siapa setuju  kata setuju, siapa tak setuju kata tak setuju”.  Pembangkang pun melopong- kalah,  suaranya minoriti. Ada juga pembangkang hanya sekadar menjadi pasu bunga tetapi bila balik ke kawasan masing-masing, beritahu pengundi “saya telah mengangkat masalah anda di parlimen”.

Menjadi pembangkang bukan satu kebanggaan, menjadi kerajaan  yang dikehendaki.   Mulai sekarang, latihlah  anak-anak kita   agar dewasa  dapat menerajui  kerajaan,  bukan menjadi pembangkang. Syarat utama menjadi kerajaan ialah berpelajaran, bijaksana, berakhlak mulia.   Didik anak-anak sedari  kecil dengan akhlak mulia, tanamkan sifat benci kepada korupsi, penyalahangunaan kuasa dan lain-lain kejelekan.  Bila sifat-sifat itu bercermin dalam diri, baru pengundi berminat mengundi kita. 

Tinggalkanlah Najib Razak , kita tidak boleh lagi membuang masa mempertahankan bekas Perdana Menteri Malaysia itu,  UMNO  tidak upaya  membawa beban berat ini selamanya.  Membina semula parti  adalah  lebih penting. Kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa. Ramai yang sependapat dengan Annuar.  Itulah garis sempadan  persahabatan dan kesetian seseorang dalam pentas politik. Saat berkuasa dijulang, hilang kuasa ditinggalkan. Sifir politik memang  begitu. Harus berani.


Yang menang tulis sejarah, yang kalah tulis puisi. Teringat  sebuah sajak karya Alamrhum Khalid Slleh tentang  orang Melayu dan  Tanah Melayu (Buku; Kalau Aku Jadi PM- ITBM)

Jangan dijadikan serampang menikam dari belakang
Kebun pisang jangan dibuat tempat membela beruk
Tangan memberi jangan dilukai
Mulut tersenyum jari mencubit
Sekali berkepak jangan dahan dipatahkan

Ceritakan kepada mereka
Rumah kita bukan jamban
Untuk sesiapa membuang kotoran
Adat bertandang menghormati
Penghuni asal atau tuan rumah
Tangan bersalam ucaplah terima kasih

Kunyahlah makanan  yang dihidangkan
Sebagai penghormatan terhadap tamu
Nasi tambah jangan diminta
Sekalipun perut terasa lapar
Mulut celupar jangan dibiasakan di hadapan tuan rumah
Buktikan diri
Menjadi pedagang yang memahami adat menumpang

Unggun apai jangan dinyalakan
Kita lahir bukan untuk berperang
Bukalah nyanyian berbau perang
Melayu tak akan berperang
Tapi jangan terluka hati dengan mulut celupar.


Nasihat-nasihat Khalid Salleh itu seharusnya menjadi renungan orang Melayu , walaupun sajak itu ditulis pada  tahun 2014, namun,  kini dan akan datang tetap releven.  Asal usul orang Melayu dari Gugusan Pulau-Pulau Melayu yang disebut oleh pelayar dan pengambara Eropah The Malay Archepilago, seperti juga pelayar dari China menyebut  Mo lo yo. Al fatehah buat sahabat Khalid Salleh!


1 comment: