Wednesday, August 29, 2018

KEMERDEKAAN YANG CUBA DIGUGAT


OPERASI BERTAM

Wilayah operasi memburu komunis  paling kerap  saya terlibat ialah Gua Musang. Kawasan  luas meliputi Kg. Pulai, Bertam, tanah rancangan LKTNK Maranto,   Kg. Belom dan kawasan kediaman Orang Asli.  Bukit , hutan tebal, sungai  menjadi sahabat. Cuaca dingin Banjaran Titiwangsa terutama malam hari menganggu tidur. Ancaman malaria yang menakutkan. 

Gerombolan  Rejimen  Ke 10 PKM  adalah musuh menunggu.   Aktif di sekitar Gua Musang (ketika itu Ulu Kelantan) dibawah pimpinan  Abu Samah Kasim. Markas induknya  di Weng, Thailand Selatan. Komander Rashid Maidin mengirim unit  khas  regimennya ke Gua Musang untuk  menyebarluas fahaman komunis seterusnya menguasai wilayah  strategik. Sejarah pernah mencatatkan, komunis Bintang Tiga pernah menguasai Gua Musang  selama tiga hari zaman dharurat dahulu. 

Sore, 20 Disember 1973 kami tiba di Kg. Bertam, 15 kilometer dari Gua Musang dengan keretapi dari Kota Bharu (Wakaf Baru). Tahun 1970an jalan raya Kuala Krai- Gua Musang belum dibina. Keretapi satu-satunya nadi pengakutan . Warga Kelantan dari daerah lain mahu ke Gua Musang tiada pilihan kecuali  keretapi.  Gua Musang bandar mati. Sebut nama  Gua Musang sudah kecut perut. Ancaman komunis dan Malaria. 

Malam kami tidur berhampiran stesen keretapi Bertam. Mandi sungai Negiri. Esok pagi   menaiki  perahu  (boat) mudik Sungai Bertam. Setiap boat   memuatkan delapan  atau sembilan penumpang.  Antara dua pilihan, jika pasukan bersenjata  komunis menyerang hendap ketika kami atas boat, kami membalas tembakan , jika terjun ke dalam sungai belum tentu selamat, air deras dan dalam. 

Tiga jam perjalanan perahu, kami tiba di Kg. Lai,  kampung Orang Asli di pinggir sungai Negiri.  Dari jauh kelihatan beberapa lelaki dan kanak-kanak  berdiri memerhati kami dari atas tebing.  Seorang daripada mereka menyandang   senapang patah-  Tok Batin. Satu keluarga Orang Asli tinggal di situ.  Ramah dan terlajak  mesra.

“Encik jangan takut, di sini tidak ada komunis, kalau ada sudah lama kita tembak” Cakap banyak pula Tok Batin ini. Kami dengar sahaja, masuk telinga kiri, keluar telinga kiri. Tak boleh percaya!.   “Apa nama Tok Batin?”  Tanya saya. “Keladi” jawab beliau.  “Macamana boleh nama Keladi?”  “Emak saya beritahu, saya beranak tepi pokok keladi”. 

Tugas kami bukan  di kampung Orang Asli. Masih jauh di hadapan.  Bermalam. Menunggu matahari  bersinar  esok  pagi. Rupanya  esok pagi hujan lebat,  tak berhenti. Hujan bulan Disember  tak celek mata, kata orang Kelantan. Kami berjalan seharian dalam keadaan basah kuyup. 

 Perjalanan  sukar. Lebih  banyak mendaki daripada menurun.  Jalan balak hari itu  licin dan berbahaya.  Beban terlalu berat. Setiap orang  membawa bekalan makanan untuk seminggu. Beras, sardin, gula, garam, minyak goreng dan alatan memasak.   Selimut, kelambu,  seragam gantian,  khemah  turut dibawa,   kecuali bantal-  kami tidur beralaskan lengan.  Di pinggang, ratusan peluru melilit badan.  Rifle  SLR buatan British di tangan.  Rata-rata usia kami ketika itu 20an dan awal 30an. Fizikal utuh. 

 Kami tiba di perkampungan Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan (LKTNK) di kaki  Gunung Titiwangsa menjelang sore . LKTNK  dibuka Kerajaan Kelantan ketika negeri itu di bawah pentadbiran  Menteri Besar, Datuk Haji Mohd Asri Haji Muda (PAS) .  Jasa Almarhum Datuk Asri  kepada rakyat marhain Kelantan tak ternilai. Rakyat Kelantan yang miskin tak punya tanah diberikan tanah hutan.  FELDA belum wujud. 

Kami bermalam di LKTNK  beberapa hari. Layanan mesra  peneroka  terasa seperti “balik kampung”- bercuti. Sayur kangkung, bayam, cili api diberi percuma. Budu kami beli di kedai runcit kampung itu. Budu bila cukup rukunnya- cili api, limau nipis, kangkung,  kata orang tua-tua; Pak mertua lalu belakang pun tak nampak. 

  Komander platun kami  Insp. Ramli, baru menikah, pulang ke pengkalan. Pengantinya Insp. Ahmad Tejuddin  Abdul Majeed (Datuk). Beliau juga komander sementara kerana  komander kami sakit.

Selepas beberapa hari di kampung  peneroka LKTNK, kami  meneruskan perjalanan   mendaki banjaran Titiwangsa  melewati  jalan  balak.  Makin lama makin tinggi. Dengan bag di belakang seberat kurang lebih 25 kilo,  rifle SLR di tangan, mata meliar ke kiri kanan. Kewaspadaan tingkat tinggi, gerombolan komunis di mana-mana sahaja, dibalik pokok, berselindung di  baner kayu . Demikian  gambaran kami ketika itu. Akhirnya  tiba di lokasi mengikut yang diarahkan komander operasi di pangkalan.  

Suhu  terlajak  dingin.  Tidur malam terpaksa menggunakan semua pakaian  dibawa. Mandi pagi  sebahagian sahaja yang sanggup, yang lain jadi “kambing” takutkan air.  Minyak untuk mengoreng  tak pernah cair. Diisikan dalam botol kaca. Sukar  mengambilnya . Suatu hari botol  minyak dipanaskan berdekataan api. Botol meletup minyak tumpah. 

Setelah empat hari di sini, tanggal  3 Januari 1974 hari raya Aidiladha. Kami  sambut hari raya  dalam hutan. Umat Islam di luar sana melakukan ibadat korban menyebelih lembu atau kambing, kami disini- kebetulan dapat seekor landak.  Bukan mudah menyebelih landak badan  berduri. Diantara kami ada juga yang berani  menyebelih. Dagingnya dibahagi-bahagikan.  Goreng. Ada yang kata sedap, terpulang selera masing-masing. 

Setiap hari langit banjaran Titiwangsa hamil hujan.  Kemudian turun, kadang-kadang  lebat dan gerimis.   Tengkujuh  Pantai Timur belum berakhir. Daunan  dan rumputan  lembab. Gunung diselimuti kabus. Matahari berhijab.  Masalah  besar timbul, dalam cuaca seperti ini,  dapatkah  helikopter  TUDM   mencari lokasi kami  untuk  menghantar  bekalanan makanan  mingguan. 
Genap seminggu.  Helikopter dijadualkan datang besok pagi menghantar makanan. Tanah lembut dan berair. Helikopter  pasti tak  mahu mendarat .  Sudah biasa dengan   karenah pilot TUDM.  Kami terpaksa tebang buluh, belah dan anyam seperti  buat  dinding rumah Melayu zaman dahulu, kemudian letak di tanah lapang sebagai pelantar.  Di atasnya dihampar kain warna oren untuk senang  dilihat pilot helikopter . Kain itu sememangnya kami bawa.

Cuaca semakin  buruk, helikopter dijadualkan datang hari itu tak dapat datang.  Percubaan hari kedua juga gagal. Kami mendengar bunyi helikopter  berlegar-legar di udara mencari  kawasan pendaratan, tetapi tak berani turun. Hujan semakin lebat.  Tak celek mata kata orang Kelantan. 

Tiap-tiap hari menunggu  kedatangannya seperti menunggu kekasih  lama tak jumpa.  Percubaan telah dibuat beberapa kali namun  gagal, kami tak salahkan pilot helikopter. Mendarat dalam  kabus resikonya   tinggi, helikopter boleh terlanggar pokok. 

Makanan  dalam tin seperti sardin sudah habis. Beras tinggal sedikit sahaja lagi. Terpaksa  tanak buat bubur. Dua tiga hari makan nasi bubur. Masalah besar ialah kehabisan bahan api.  Untuk mendapatkan makanan di perkampungan   peneroka LKTNK  tak mungkin kerana lokasi kami sudah terlalu jauh. 

Tanggal 25 Januari 1974, platun kami  diarah keluar dari kawasan operasi banjaran Titiwangsa  ke Kg Bertam. Kami berjalan kaki sejauh 12 kilometer melalui jalan balak. 27 Januari 1974 kami pulang ke markas batalion Pengkalan Chepa menaiki keretapi. 

Tentang peneroka  LKTNK yang baik hati, memberi sayur kangkung, cili api dan sebagainya,  di kalangan mereka   saya curigai. Cara komunikasi menimbulkan syak wasangka.  Berhati-hati dan waspada. Usia mereka sekitar 50an dan 60an. Kami panggil pakcik .   Orang Kelantan, berkain pelikat, bersemutar , pagi bawa cangkul ke kebun. Situwasi  seperti itu  lumrah bagi masyarakat desa di Cik Siti Wan Kembang.   

Beberapa minggu kemudian, dapat matlumat, salah seorang pakcik yang sering memberi kami kangkung  ditangkap  kerana dipercayai talibarut komunis. 




1 comment: