Sunday, September 2, 2018

SERAMBI KEMERDEKAAN YANG DILUPAKAN



Kg. Pasir Mayat- Mei 1977

Mencari, mengesan, menjejaki  pasukan bersenjata komunis  di kawasan yang luas ibarat mencari sebatang jarum di padang bola, sukar menemui,  harus berhati-hati. Kaki bila-bila masa boleh terpijak jarum  jika alpa.   95 peratus daripada daerah Gua Musang ketika itu diselimuti hutan tebal, bukit, gunung dan sungai. Ladang kelapa sawit belum ada. Peneroka menanam getah di kaki gunung Titiwangsa cuma. 

Sungai Nenggiri ibarat Sungai Nil di Mesir,  bermanfaat bagi warga pendalaman, selain sumber ikan air tawar,  Sungai Nenggiri menjadi laluan penting warga kampung di pendalaman  keluar masuk. Mereka  selesa menaiki boat berulangalik ke Bertam seterusnya  menaiki  keretapi ke Gua Musang dan  lain-lain distanisai. 
 
Kg. Setar, Kg. Pasir Mayat dan banyak lagi,  adalah antara  kampung- kampung yang terdapat di sepanjanrg Sungai Nenggiri. Majoriti warganya berasal  dari daerah lain, kangkangan kemiskinan lantas berhijrah ke sini  membuka ladang getah. 

Gerombolan komunis bisa hidup jika ada perkampungan. Mereka memerlukan  orang kampung untuk  mendapatkan bekalan makanan dan maklumat. Aktiviti pembalakan juga sumber komunis  mendapatkan  bekalan lojistik.  Siapa tahu, pemandu lori balak bermain ciku cap  dengan komunis?   Justeru operasi pasukan keselamatan ditumpukan   kepada  kampung-kampung  sepanjang Sungai Nenggiri  yang disyaki mempunyai hubungan secara langsung atau tidak  dengan anggota pasukan bersenjata kompeni dari Regimen Ke 10 PKM, pimpinan Abu Samah Kasim.  

Mei 1977  tiba di Kg. Pasir Mayat setelah seharian  berjalan kaki dari lokasi lain.  Tiada jejak komunis  ditemui sepanjang perjalanan. Terasa aman.  Memasuki pinggir Kg. Pasir Mayat  banyak kebun dan rumah warga ditemui.  Orang-orang  kampung menyapa dengan g peramah. Kampung Pasir Mayat  terbahagi dua, di seberang sungai lebih ramai penduduk, kami tinggal di seberang sini.  Cuaca bulan Mei panas. Musim kemarau di Kelantan.  Sungai Nenggiri airnya cetek, sesetengah tempat membentuk pulau pasir ditengah-tengahnya. 

Khemah didirikan dalam kebun getah  di pinggiran sungai, mandi sungai, minum air sungai.  Airnya seperti teh susu, tak jadi hal- kami sudah biasa, kalau musim hujan lagi  teruk- dua kali lipat susunya, 

Setelah beberapa hari tinggal di situ, datang seorang budak lelaki kampung Pasir Mayat,  usia sekitar 10 tahun, pucat dan kurus,  seperti mohon  simpati. Hari pertama kami layani seperti biasa, beri ia makan dan minum, malam kami suruh ia pulang. Ia pulang. Besok datang lagi. Hairan dengan keadaannya seperti tidak terurus, kami tanya secara terperinci. 

Budak itu kematian ibu kandung,  tinggal bersama ibu tiri. Setiap hari diberi makan hanya sekepal nasi dengan pucuk kayu. Tidak pernah dihantar sekolah. Dimarahi ibu tiri setiap hari.  Kami  simpati. Kesihan melihatnya. Beri  ia makan nasi,  lauk sardin dan minum susu. Mungkin inilah  pertama kali  dalam hidupnya minum susu. 

Akhirnya  tak mahu pulang ke rumah, mahu terus tinggal bersama kami. Prosudur tak mengizinkan orang awam  tinggal bersama. Bagaimana andai komunis menyerang?  tetapi dengan budak malang ini kami mengalah.  Biarkan  ia tinggal bersama selagi kami berada di sini.  Kepadanya  kami ajari, kalau bunyi tembakan, cepat-cepat bersembunyi dalam kubu. 

Dia senang sekali.  Wajahnya tampak ceria.  Kami hanya suruh ambil air, cucu periuk dan bersih kawasan sekitar. Badannya yang dahulu kurus,  dua minggu sudah gemuk berisi. 

Masa untuk pulang ke pengkalan pun tiba,  Kg. Pasir Mayat akan kami tinggalkan. Sungai Nenggiri yang lesu akan kami lupakan.  Setelah mendapat tahu kami akan pulang, budak itu menangis hiba. Memohon agar dibawa pulang bersama. Salah seorang  anggota platun kami  sanggup memeliharanya di kota, tetapi bagaimana cara  membawanya keluar. Tak boleh ikut bersama- menyalahi persudur.
Cara paling mudah, hanyutkan budak ini di Sungai Nenggiri. Biar dibawa arus ke Kota Bharu. Uh! Macam kisah Nabi Musa as  , dihanyutkan ibunya di sungai Nil ketika Musa masih bayi, demi  menyelamatkan nyawa  dari dibunuh Firaun. Dia bersetuju.  Kami tebang buluh, bukit rakit,  berbumbungkan  plastik untuk berteduh daripada panas dan hujan. 

Sehari sebelum kami pulang ke pengkalan.  Pagi itu cuaca panas seperti biasa.  Kami hantar kanak-kanak itu ke rakit yang ditambat di tebing sungai. Berbekalkan beras, ikan sardin, mee segera, setandan pisang, sedikit wang   dan bahan api, cukup untuk perjalanannya daripada Kg. Pasir Mayat ke Kota Bharu.  Rakit ditunda perlahan-lahan dengan galah panjang. Kami memerhati dari atas tebing - sayu dan hiba. Seorang kanak-kanak cekal, tabah dan berani pernah saya temui.  Sebuah sajak  saya tulis untuknya.

Perjalanan rakit antara Kg Pasir Mayat ke Kota Bharu  mengambil masa tiga hari.  Besok platun kami akan berangkat pulang. Hari ke tiga salah seorang dari kami akan menunggu kanak-kanak itu di Tambatan Diraja, Kota Bharu, lokasi kanak-kanak berakit sendirian  dijangka tiba. 

Rakit itu hanyut dibawa arus secara alami, hanya perlu mengawal  di kawasan jeram. Bagi warga pendalaman yang tinggal sepanjang Sungai Nenggiri berakit ke Kota Bharu itu lumrah. Sering melihat  rakit  sarat dengan muatan pisang melintas di hadapan kami dalam perjalanan ke Kota Bharu.  Tiba di Kota Bharu mereka menjual  pisang dan  buluh rakit.  Balik naik keretapi. Pernah kami bertanya; berapa hari perjalanan ke Kota Bharu?  Tiga hari kata mereka. Justeru kami tidak khuatir dengan nasib kanak-kanak itu.



1 comment: