Tuesday, January 12, 2016

Haji Sulong permata Pattani




Oleh: H. Rosidi Semail (Rossem)

Sebuah wacana pemikiran Tuan Guru Haji Sulong, Kilauan Permata Pattani telah berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Kota Bharu, Kelantan, Malaysia tanggal  9 Januari 2016, dirasmikan Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan,  Dato’  H. Nik Abdul Kadir Nik Mohamad. Panelis  terdiri Prof. Madya Dr. Ahmad Omar Chapakia dari  Universitas Pattani, Thailand, Zamberi A. Malek  penulis buku Tuan Guru Haji Sulong, Ustaz Farid Mat Zain dosen Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam Universitas Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ustaz Abdul Razak Mahmud, mantan editor Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
-----------------------------
Wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan sebagian wilayah Songkhla pada abad 18 berstatus sebuah negeri Malayu Islam terkenal di rantau ini. Pattani sebagai  pusat tamadun Islam  banyak  melahirkan ulama, walaupun awal abad 20,  negeri umat Islam di Selatan Thai itu hilang status sebagai sebuah negara berdaulat kerana ditakluki Siam, tetapi masih mempunyai ramai ulama. Mereka berperanan membela agama dan mempertahankan identiti umat Islam dinegeri yang akhirnya masyarakat Islam  menjadi minoriti di negara penganut Budha-Thailand. Diantara mereka ialah Tuan Guru Haji Sulong bin Abdul Kadir. 

Haji Sulong ketika remajanya belajar di Mekah (awal abad 20), sekembalinya ke tanah air  membuka pondok dan berjuang menegakkan syariat Islam lewat politik. Pada tahun 1943, kondisi masyarakat Islam  di Selatan Thailand amat tertekan apabila pemerintah Phibul (Perdana Menteri Thailand)  membatalkan undang-undang Islam yang terkait dengan kekeluargaan dan pesaka serta memashuhkan jawatan mufti (Dato Yatitham). Umat Islam dipaksa menerima undang-undang civil yang bercanggah dengan  syariat Islam. 

 Umat Islam Pattani membuat pilihan sendiri. Haji Sulong dilantik oleh masyarakat sebagai kadi (hakim) untuk urusan yang terkait dengan undang-undang kekeluargaan Islam tapi jawatan itu tak diikthiraf oleh pemerintah Siam yang berpusat di Bangkok. 

Sikap diskriminasi yang melampau oleh pemerintah Siam-Budha terhadap umat Islam di empat wilayah Selatan, membangkitkan  kebencian umat  Islam kepada pemerintah  terutama pegawai-pegawai kerajaan  yang sering menipu dan menzalimi rakyat. Tiada kebebasan bersuara, berfikir, bergerak dan berpolitik.  Sesiapa yang cuba menegur pemerintahan Siam, ditangkap dan dibunuh. Rumah-rumah di selongkar, perempuan dirogol, nyawa orang Islam tiada harga.

Tak tertahan dengan kezaliman pegawai kerajaan,  umat Islam mengutus surat kepada pemerintah, akhirnya kerajaan Tawang Thamrong Nawasawad membentuk penatia khusus (20 Maret 1947) untuk menyiasat apa yang berlaku di wilayah Selatan supaya dapat  diperbetulkan.

Penatia itu tiba di Pattani tanggal 3 April 1947, Haji sulong sebagai Ketua Majlis Agama Islam  dan peimpin masyarakat Islam Pattani mengadakan perjumpaan dengan kira-kira 100 ketua masyarakat Pattani  berbincang dan  merangka   tuntutan yang mahu diserahkan kepada penatia yang dikirim pemerintah Siam. Tujuh tuntutan dapat dirumuskan iaitu:

1.       Pemerintah Thai hendaklah melantik pemerintah daerah (Pattani, Yala, Narathiwat dan Satun) mereka yang beragama Islam.

2.       Hasil yang didapati di  empat wilayah ini hendaklah dibelanjakan untuk wilayah ini sahaja.

3.       Pelajaran bahasa Melayu dibenarkan diajar di sekolah dasar sehingga darjah empat.

4.       Karyawan kerajaan di empat wilayah ini 80 persen diambil dari kalangan orang Islam lokal

5.       Membenarkan bahasa Melayu diguna di kantor pemerintah disamping bahasa Thai. 

6.       Membenarkan Majlis Agama Islam menggunapakai undang –undang sendiri (syariat).  

7.       Pemerintah hendaklah mengasingkan Mahkamah Syariah daripada mahkamah kerajaan di empat wilayah ini.

Tujuh tuntutan itu diserahkan kepada pemerintah pusat dan  diberikan perhatian serius oleh Pusat.

 Perdana Menteri Thai ketika itu, Tawang Thamrong Nawasawad membawa tujuh tuntutan itu ke mesyuarat kabinet (Julai 1947), namun ditolak kabinet. Hal ini mengecewakan Haji Sulong dan umat Islam empat wilayah Selatan itu.  Walaupun begitu, Haji Sulong meneruskan  peranannya menekan pemerintah yang ketika itu mengamalkan sistem demokrasi. Beliau memberi tumpuan  kepada dua institusi agama ialti masjid dan pondok.

Pergerakan Haji Sulong  menimbulkan kebimbangan pemerintah Thai, lebih-lebih lagi beliau akrab dengan seorang lagi tokoh politik  luar (Kelantan)  iaitu Tengku Mahmood Mahyuddin. Pada Disember 1947, Ahli Dewan Senet Thai, Bajong Sricharon berjumpa dengan Tengku Muhyuddin di Rantau Panjang, Kelantan, Malaysia. Hasil perjumpaan itu Tengku Mahyuddin bersetuju  pada dasarnya untuk menghadiri perbincangan  dengan pemerintah pusat di Bangkok. Haji Sulong tak hadir dalam perbincangan di Bangkok, Tengku Mahmood sebagai wakil beliau dan umat Islam empat wilayah Selatan. 

Sepucuk surat ditulis Haji Sulong diberikan kepada Tengku Mahmood Mahyuddin supaya diserahkan kepada pemerintah Pusat di Bangkok, isi surat tersebut berbunyi : 

 Orang-orang Melayu (Islam) dalam pemerintahan Siam merasa azab sengsara diatas perbuatan zalim  yang dilakukan pegawai kerajaan ke atas kami. Kita sudah merayu kepada kerajaan Siam tapi tak berhasil, sebab itu kita mewakilkan Tengku Mahmood Mahyuddin bin Tengku Abdul Kadir mencari jalan supaya jangan menghalang  bangsa Melayu untuk mempraktikan ajaran Islam dan adat istiadat bangsa Melayu.

Sebulan selepas itu, tanggal 16 Januari 1948, Haji Sulong ditangkap bersama beberapa orang sahabatnya iaitu Wan Uthman Wan Muhammad, Haji Wan Hussain dan Wan Mohamad Amim. Dengan tertangkapnya Haji Sulong rundingan damai yang diusahakan Tengku Mahmood Mahyuddin dengan pemerintah pusat di Bangkok terhenti. Haji Sulong yang bergerak secara damai dianggap  sebagai penentang dan pemberontak.  Padahal pergerakannya bukan untuk memerdekakan empat wilayah umat Islam di Selatan.

Berita penangkapan Haji Sulong tersebar luas. Timbul reaksi  daripada masyarakat Islam  lokal dan macan negara. Pada 19 Januari 1948 pengikut beliau  berdemonstrasi di depan balai polis Teluban, tempat Haji Sulong ditahan. Menuntut supaya pihak kerajaan memberi sebab, kenapa Haji Sulong ditangkap. Tuntutan tak dilayan. Haji Sulong dipindahkan ke penjara Pattani, kemudian ke Nakom Sri Thammarat, diantara alasan diberikan ialah; Haji Sulong mempunyai pengikut yang ramai di Pattani, kalau terus ditahan di wilayah itu  khuatir pengikutnya akan berbuat sesuatu yang bisa kerosakkan keamanan. 

Pertengahan Juni 1952, Haji Sulong dibebaskan dari penjara setelah 4 tahun  berada dalam tahanan. Kepulangannya ke Pattani disambut ribuan umat Islam. Mereka menunggu di stesen keretapi Kokpor. Umat Islam masih mengharapkan kepimpinan Haji Sulong. Buktinya majlis pengajian Haji Sulong semakin diminati orangramai. Masjid tempat beliau menyampaikan pengajian penuh dengan jamaah, Pengaruh Haji Sulong ternyata  kuat. Perkembangan itu menyebabkan kerajaan Thai bimbang. Gabenor wilayah, Phraya Rattanapaldi mengeluarkan arahan (24 Disember 1953)  menutup majlis pengajian yang disampaikan Haji Sulong. Sejak itu Haji Sulong tak dibenarkan mengajar. Arahan itu membuatkan Haji Sulong menulis surat kepada Luang Sanavin Viwat, Menteri Dalam Negeri  menjelaskan bahawa beliau tak berniat menentang kerajaan  dan menuntut kemerdekaan. Antara suratnya berbunyi:

Saya hanya mengajar agama kepada orang yang datang untuk belajar secara sukarela. Buat masa sekarang saya tak kemana-mana, hatta  ke majlis khawin atau kematian, supaya tak dituduh melakukan aktivitas yang tak disukai pemerintah.

Surat rayuan Haji Sulong ditolak. Menunjukkan tindakan gabenor wilayah  direstui pemerintah pusat di Bangkok. Bahkan mereka sudah merancang tindakan lebih berat ke atas Haji Sulong. Kebetulan waktu itu perkembangan politik di Tanah Melayu sedang hangat kerana Tanah Melayu sedang proses kemerdekaan daripada Inggeris. 

Haji Sulong dipanggil oleh Kolonel Bunlert Lert Paricha, Ketua Polis Songkhla. Tanggal 13 Ogos 1954 Haji Sulong bersama Wan Seman Muhamad, Che Ishak Yusof dan Ahmad Haji Sulong berangkat dengan mobil dari Pattani ke Songkhla. Berepa hari selepas itu, kedengaran berita kehilangan Haji Sulong dan kawan-kawannya. Kehilangan Haji Sulong secara mistri, menambahkan ketegangan politik di empat Wilayah.  Umat Islam percaya Haji Sulong dan mereka yang bersamanya dibunuh oleh polis Songkhla.

Haji Sulong disifatkan sebagai ulama dan mujahid besar bumi  Pattani. Kehilangan beliau  menambahkan simpati umat Islam dan marah serta benci kepada pemerintah Thai sehingga ke hari ini. 

Cucu Haji Sulong Surin Pitsuwan, pernah menjadi menteri luar Thailand dan Setiausaha Agung ASIAN, dalam sebuah tulisannya beliau menyifatkan : Haji Sulong sebagai ulama dan pemimpin perjuangan yang berjuang mewujudkan identiti  bagi masyarakat Islam. Lantaran itu, setiap pergerakan perjuangan yang ada sekarang adalah sebagai symbol pemimpin perjuangan  Pattani. 

Haji Sulong lahir di Pattani tahun 1895. Mendapat pendidikan awal di pondok Tok Guru Wan Musa (ayah beliau). Ketika usia 12 tahun, menyambung pelajaran di Mekah. Tahun 1927 pulang ke tanah air. Pada 1929 beliau membuka pondok iaitu Madarasah Al-Maarif Al Wataniah Al Patoni.


2 comments: