Sunday, December 30, 2012

Tahun baru 2013, kriminal dan harapan

Oleh: Rossem

Priiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiip! Tepat jam 12.00 tengah malam, tanggal 31 Disember 2012, wisel berbunyi, menandakan tamatnya tahun 2012 dan kita
pun memasuki gerbang tahun baru Masehi 2013 yang tiada sesiapa dapat meramalkan apa akan terjadi pada tahun itu, apakah langit 2013 terus
mendung atau sinar bakal menerangi alam kehidupan seperti diidamkan setiap orang.

Meretap tangis sampai terkeluar biji mata pun tahun 2012 tidak akan kembali  lagi sepertimana tahun-tahun terdahulu yang telah kita tinggalkan. Abadi ia  di pojok sejarah  untuk renungan dan iktibar. Yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan.

Olehkerana setiap  kita menginginkan sebuah kehidupan baru yang lebih baik dari sebelumnya,  maka pengalaman yang dilalui sepanjang tahun 2012 seharusnya  dijadilkan panduan. Mana-mana  yang jelek tinggalkan, ambil hanya yang baik dan menguntungkan.

Lumrahnya dalam masyarakat Malaysia, kedatangan  tahun baru setiap tahun  tidak mendatangkan apa-apa makna dari segi perubahan  sikap dan tingkahlaku seseorang. Minda mereka masih ditakok lama. Keinginan yang didorong nafsu jelek masih kekal  dan berterusan dilakukan. Bahkan ada  orang seperti berlumba-lumba mengulangi perbuatan yang sama tanpa mempedulikan masyarakat membencinya.

Di dada akhbar setiap hari,  terpampan berita tentang kriminal dengan bermacam-macam perilaku sadis, seperti pembunuhan, perampokan, penderaan  ke atas kanak-kanak, penculikan, buang bayi, rogol dan
lain-lain. Perbuatan seperti itu terus bermaharajalela tanpa mengira masa dan ketika. Sama ada tahun baru atau tahun terdahulu.

Sebuah akhbar tabloid yang senonim dengan laporan kriminal memuatkan berita setiap hari  tak kurang lima atau lebih kejadian kriminal yang berlaku seluruh negara. Bayangkanlah, muka  depan terpapar kisah
seorang gadis dijumpai mati dengan leher hampir putus akibat ditetak, muka surat dua nenek mati ditikam perompak yang memecah masuk rumahnya, muka surat tiga pekerja bandaran jumpa mayat kesan sembelih,
muka surat empat,  budak perempuan 10 tahun dirogol, muka surat lima, bayi  dua bulan didera pengasuh dan bermacam-macam lagi. Sementara yang tidak dilaporkan media juga banyak.

Berita yang menakutkan itu berulang setiap hari tanpa ada tanda-tanda ia akan berkurang. sehingga kita merasa lali sendiri dan menganggap kejadian itu perkara biasa. Sehingga  hilang rasa kepekaan, ibarat
kita melihat kecelakaan  jalan raya dengan mangsa tergolek di tepi jalan. Ramai  penunggang motosikal atau kereta memberhentikan kenderaan dan masing-masing keluar melihat. Tetapi  terlalu sedikit yang mahu membantu, selebihnya sekadar mahu bertanya siapa mangsa itu sambil mengeluh;  oh! kesian, kepalanya pecah.

Terjadi   demikian kerana masyarakat kita kurang kepekaan disebabkan  sudah terbiasa dengan pemandangan seperti itu  di  jalan raya Malaysia.

Namun yang kelakarnya, pada muka surat berikutnya, disiarkan kenyataan seorang menteri cabinet dengan katanya: Malaysia tersenarai sebagai Negara paling selamat untuk dikunjungi pelancong.

Baru-baru ini berkesempatan   menonton televisyen setelah tidak bebuat demikian sejak sekian lama. Saya jarang menonton televsyen kerana tiada sumber maklumat yang benar-benar tepat dan boleh diyakini
didapati daripada sumber tv khususnya ruangan “berita”, kerana diketahui di Malayisa, setiap cannel majoriti beritanya  adalah propaganda pemerintah.

Malam itu, sebaik saja buka tv, kebetulan segmen  berita sedang memaparkan seorang meknik  membelasah anak tirinya berusia 2 tahun, memukul badanya kemudian menghempas budak kecil itu ke kerusi  tanpa
sedikit pun rasa belas kesihan terhadap kanak-kanak  yang tak tahu melawan selain menangis ketakutan minta dikasihani.

Sikap tak berperikemanusian   lelaki Melayu bertubuh sasa itu mengingatkan saya apa yang sedang berlaku di Syria sekarang. Tentera rejim Bashar Asad yang haus darah suka membantai kanak-kanak rakyatnya sendiri tanpa belas kesihan. Ada yang dipenggal lehernya, dibedah perut , dicungkil mata dan  bermacam-macam bentuk seksaan, hanya  disebabkan bapa atau salah seorang keluarga  kanak-kanak itu
menyertai pasukan penentang.

Melihat aksi teruk membelasah kanak-kanak 2 tahun seperti seseorang terkena rasukan  iblis yang ditunjukkan di tv itu, terlintas difikiran saya bahawa  orang  Melayu juga tak kalah seperti tentera rejim Bashar Asad, cuma bezanya  pendokong Bahsar melakukan kezaliman kepada rakyatnya menggunakan senjata seperti senapang, bom dan sebagainga. Sekiranya  bapa tiri kanak-kanak   malang itu juga  memiliki senapang yang sama seperti tentera Bahsar, barangkali anak tirinya itu ditembak mati  sebagaimana tentera Bashar menembak kanak-kanak yang tak berdosa.

Kekerasan jenayah tidak hanya berlaku dalam  lingkungan sosial masyarakat, bahkan merebak  ke sektor politik.   Tahun 2012 menyaksikan paling banyak berlaku kekerasan jenayah disebabkan perbedaan politik.

Umno /BN dikatakan mula menggunakan khidmat “samseng” untuk menganggu aktiviti ceramah dan perhimpunan yang diadakan Pakatan Rakyat (PR). Bas yang digunakan  PR di sembur cat merah, dibaling objek  dan sebagainya. Di Pantai Dalam dan Gombak, penyokong PR dipukul ketika sedang mendengar ceramah yang disampaikan pemimpin mereka.  Dan terbaru, kenderaan pacuan empat roda  yang membawa peserta Jelajah Oren dihalang samseng dari memasuki Felda di Negeri Sembilan. Mengakibatkan kenderaan rosak, 2 peserta cedera.

Sementara amaran-amaran yang diberikan pemimpin Umno, misalnya  Dato’ Seri Shahrizat Jalil ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini kemungkinan akan berulangnya tragedi 13 Mei di Negara ini jika BN kalah pada PRU 13 nanti. Amaran itu seolah memberi semangat kepada gerombolan samseng yang sememangnya ramai terdapat dalam masyarakat Malaysia.

Tak tahulah apa akan jadi kepada negara kita yang tercinta ini bila dua elemen samseng yang sudahpun  ujud dalam masyarakat Malaysia bersatu tenaga menghancurkan keharmonian hidup  yang terbina sejak sekian lama.

Teringat ungkapan Ketua Oposisi Malaysia  yang dimuatkan dalam facebook beliau; Tutuplah tahun 2012 dengan cara membebaskan, bukan melupakan, kita harus mampu membebaskan beban fikiran tanpa adanya
tekanan.

No comments:

Post a Comment