Oleh: Rossem
Dua kali hujan turun. Khalayak yang membanjiri Stadium
Sultan Muhammad Ke -IV malam 1 Disember 2012 tetap tak berganjak dari tempat duduk masing-masing.
Hujan pertama saat pengacara memulakan ucapan untuk mempersilakan para panelis
maju ke pentas khas yang dibina di depan astaka stadium untuk memulakan acara. Hujan
kedua takala wacana masuk pusingan akhir.
Para panelis terdiri Ustaz Azhar Idrus, pelakon Heliza Helmi
dan artis terkenal Indonesia, Medya Sefira mundur kembali
ke kerusi masing-masing di sebelah pentas, menunggu hujan reda. Hujan yang turun
secara tiba-tiba tanpa amaran itu
berhenti 10 minit kemudian, panelis lalu mengambil tempat di pentas.
Walaupun malam itu
bertembung dengan siaran langsung televsyen perlawanan bolasepak piala Aff
Suzuki 2012, Malaysia – Indonesia namun kehadiran tak
kurang dari 10,000 dengan majoritinya anak muda.
Bicara Selebriti siri ke -7 anjuran Kerajaan Negeri Kelantan
ini dihostkan Hari Hiburan Islam (HAI) yang
dipimpin Timbalan Pengerusi Jawatankuasa
Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan, Haji
Ahmad Baihaki Atiqullah upaya menarik
minat anak-anak muda negeri Kelantan sehingga
pada siri terakhir penutup tirai 2012 ini kehadiran peminat luar biasa
sekali, namun jumlah kehadiran sudah
dapat dijangkakan, justeru penganjur mengubah tempat acara dari Kelantan Trade Centre atau Balai Islam
Lundang seperti sebelumnya kepada tempat
yang lebih luas dan selesa iaitu Stadium
Sultan Muhammad Ke-IV.
Publik memenuhi stadium
sejak jam 8.00 malam, mereka kemudiannya mendirikan solat Insya berjamaah. Hal seperti ini dianggap lumrah di Negeri Serambi Mekah yang ditadbirkan
ulama lebih 22 tahun dengan dasar
Membangun Bersama Islam. Setiap
kali berlangsung acara di lapangan, mendirikan
solat fardu berjamaah tak pernah diabaikan, kerana itu antara yang diajarkan pemimpin kerajaan negeri kepada rakyat.
Bila menamakan program hiburan, ramai beranggapan kerajaan negeri
Kelantan tak ada bezanya dengan
negeri-negeri lain membenarkan
hiburan diadakan secara terbuka. Kesangsian itu dijelaskan
panelis pertama yang tampil berbicara, iaitu Ustaz Azhar Idrus” Hiburan
adalah fitrah manusia, justeru ia dibolehkan
selama hiburan itu tidak bercanggah dengan kehendak Islam”.
“Hiburan sesuatu yang signifikin, setiap orang berbeza
citarasa. Ada
orang terhibur bila dikelilingi anak-anak atau cucu, saat membaca al-Quran,
mendengar lagu, melihat panorama alam yang indah permai dan sebagainya. Yang
menjadi kesalahan ialah bila hiburan itu
diselit dengan unsur-unsur yang bertentangan dengan Islam”
“ Bank itu tidak salah, ia tempat menyimpan wang paling
selamat, yang menjadi kesalahan ialah sistem yang digunapakai iaitu riba.” Kata
Ustaz Azhar Idrus atau dikenali juga dengan sapaan Ustaz Seleberiti atau Ustaz Youtube.
Ustaz Norazaliza atau akrab dengan panggilan Ustaz Ja yang
menjadi pengacara gantian malam itu
sebelum diambilalih pengacara
sebenar yang diundang khas dari TV Al-Hijrah, Amin Idris, bertanya Ustaz Azhar; apa rahsia ustaz setiap
kali diundang menyampaikan kuliah, sehingga ribuan penonton hadir?”
“Pada awal penglibatan saya dalam bidang dakwah (1999),
setiap kali mengajar, hanya seorang saja hadir, kemudian bertambah menjadi dua, tiga dan empat orang. Untuk sampai
ketahap sekarang, mengambil masa lama.” Tutur beliau.
“Yang penting pendakwah harus arif tentang uslub dakwah.
Untuk mendekati anak muda, pendakwah harus mengikut rentak mereka,
mengambil tahu keinginan mereka, boleh
berbicara menggunakan bahasa dan istilah
mereka, barulah anak-anak muda respet seterusnya datang mengikuti kuliah
yang disampaikan bahkan membawa pula teman-teman mereka”. Ujar Ustaz Azhar.
Selain Ustaz Azhar yang sememangnya sudah popular di kalangan anak-anak muda, khalayak seperti
tak sabar menunggu untuk mendengar bicara dari artis yang pernah berlakon filem
Ketika Cinta Bertasbih iaitu artis tinggi lampai dari Indonesia, Medya Sefira.
Dengan mengenakan jilbab labuh berwarna merah pinang masak,
Medya, 24, membuka bicara dengan menyapa
khalayak mengguna dialeg Kelantan “ Nak
kecek Kelate, apo kobar?” . Khalayak ketawa!
“Ini pertama kali saya
menjejak kaki di bumi Kelantan, namun sebelum kemari teman artis, Oki Setiana
Dewi pernah memberitahu; Kelantan sebuah
negeri yang amat disenanginya, pemimpinnya Islami, warganya peramah” tutur
Medya. Temannya Oki Setiana Dewi pernah diundang ke Kelantan untuk program
Bicara Selebriti siri ke-5 pada Mac 2012.
Artis asal Bandung,
lulusan Institut Teknologi Nasional
Bandung dalam bidang jurutera ini baru
saja selesai berlakon dalam filem Cinta Suci Zahrana yang diangkat
dari novel karya novelis terkenal, Habiburrahman
El Shirazy dan disutradarai Chaerul Umam. Filem ini belum lagi ditayangkan
di Malaysia, namun di Indonesia sudah pun ditayangkan.
Panelis ketiga, Heliza Helmi, 26. Artis Akademi Fantasia
Musim Ke-5, asal Terengganu, sangat petah berbicara sehingga penonton
merasakan seperti sedang mendengar seorang pakar motivasi menyampaikan motivasi kepada umum.
Di akhir Bicara Selebriti, ketiga-tiga panelis diminta mendeklamasi
sajak ciptaan masing-masing. Sajak yang
baca Medya Sefira yang berjudul “Seperti apa Kelantan itu?” ternyata sangat
menyentuh hati nurani sehingga khalayak
tak berganjak dari tempat duduk, walaupun ketika itu hujan turun semakin lebat
dan Medya mendeklamasi sambil dipayungi petugas HAI.
Kesempatan selama beberapa hari di Kelantan, Medya dan
Heliza mengunjungi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz
Nik Mat di kediaman rasmi JKR 10.
Turut hadir pada malam itu, Exco Penerangan, Pembangunan
Maklumat, Sains dan Teknologi Kelantan, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan
Pengarah Urusetia Penerangan Kelantan, Haji Abdul Rahman Yunus.
No comments:
Post a Comment