Wednesday, March 20, 2013

CATATAN 17 MAC 2013

Angka Tujuh

Angka tujuh angka bertuah? Terpulang kepada pentafsiran seseorang, namun dalam masyarakat Melayu dahulu kala angka-angka tertentu dipilih untuk dijadikan asas dalam mengingati atau merayakan sesuatu hal penting dalam kalender kehidupan mereka. Misalnya, seseorang meninggal dunia, hari ketiga, ketujuh dan ke empat puluh adalah tarikh yang diperingati khusus ...sehingga tetamu yang datang bertahlil pun dihidangkan jamuan khusus yang berbeda dengan hari-hari biasa.

Dalam hikayat seribu satu malam juga mementingkan urutan angka. Angka 40 dijadikan asas kepada sekumpulan penyamun yang mahu menyamun rumah orang kaya Kasim Baba seperti diceritakan Almarhum Tan Sri P. Ramlee dalam filem “Ali Baba dengan 40 penyamun”.

Pemimpin di Putrajaya juga gemar akan angka! Angka yang dipilih ialah tujuh. Kita tak tahu apa kekeramatan angka tujuh baginya sehingga meminati angka itu demikian rupa. Dua bulan lalu pemimpin itu datang ke Kelantan dengan membawa tujuh dulang janji untuk rakyat Kelantan.

Kelmarin , pemimpin itu datang lagi ke Negeri Indah Berpagar Syariat, Tadahan Wahyu, Serambi Mekah. Sewaktu berucap di Tanah Merah, angka tujuh juga ditekankan, bukan tujuh janji, tapi tujuh dosa besar PAS terhadap rakyat dan umat Islam Malaysia ditelanjangkan. Antara dosa-dosa yang disenaraikan kononnya; PAS membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, membenarkan pemimpin DAP membotakkan Kawasan Tanah Tinggi Lojing, PAS gagal menunaikan janji kepada rakyat Kelantan dan mempermainkan matlamat perjuangan parti.

Orang Kelantan pun sedih, terguris hatinya. Dalam kondisi dada bergelombang sebak nyilu, lalu dicapai sebuah kitab lama di atas almari usang di sudut rumah, sudah lama kitab kunig itu tak buka, berjudul “Dosa-dosa besar yang menghalang dari masuk syurga” Dalam urutan nombor tujuh ditulis: Dosa fitnah lebih berat dari membunuh. Menyebabkan pelakunya tak tercium baur syurga.

1 comment:

  1. Sungguh....di saat menonton imej pemimpin itu di kaca televisyen, diiringi dakwaan 7 dosa besar itu, amat terguris hati ini walaupun Kelantan bukanlah negeri asal kelahiran saya..Hanya Allah S.W.T yg menjatuhkan hukum, apakah dia tdk punya akal memikirkan itu...Allahhuakbar

    ReplyDelete