Saturday, January 3, 2009

Pembantaian umat Palestin, negara Islam sekadar kutuk

Oleh: Rossem

Semasa bekerja di akhbar The Sun dulu, setiap pagi, dalam perjalanan ke pejabat di Petaling Jaya, saya singgah minum teh tarik di sebuah restoran di Jalan Pantai Baru. Ada ketikanya minum bersama seorang teman berbangsa Arab, kelahiran Gaza, Palestin. Ia menetap di Malaysia setelah menikah dengan rakyat negara ini.

“Kami rakyat Palestin dilahirkan untuk berjihad “ Kata pemuda itu dalam bahasa Melayu yang fasih. “Tapi, saudara tinggal di Malaysia, bererti saudara melarikan diri dari medan jihad” Saya mengusiknya. Ia tidak marah kerana kami biasa berseloroh terutama mengenai isu palestin.

Sekarang Gaza, bumi pemuda itu, dibasahi darah untuk sekian kalinya. Saya tidak tahu, apakah keluarga teman saya itu ikut menjadi korban kebrutalan zionis Yahudi, menguggurakan bertan-tan bom lewat pesawat tentera udara ke atas bumi Palestin yang luasnya cuma sekangkang kera. Kelakuannya bagaikan orang terkena histeria.

Selama ini pun, genting Gaza diibaratkan sebuah penjara besar, dihuni 1.5 juta warga Palestin, bahagian tertentu dipagari Isreal dengan tembok tinggi dan dipersiapkan pasukan penembak tepat, untuk menembak sesiapa saja rakyat Palestin yang dilihat cuba membolosi tembok tersebut. Rakyat Palestin di Gaza dibiarkan menanggung derita sendirian, dinafikan hak dan kebebasan, penyedian makanan dan perubatan sangat terbatas, ekonominya dibiarkan merudum, sehingga ada ketikannya pentadbiran Hamas, di Gaza bahkan tidak upaya membayar gaji pekerja.

Warga Palastin yang pada hakikatnya sudah lama menderita dalam penjara besar- Gaza, tiba-tiba dihujani pula dengan peluru dan bom daripada kereta tank dan pesawat tempur tentera Zionis Yahudi, tanpa sedikit pun rasa bersalah, apalagi kesihan belas terhadap anak-anak kecil, wanita dan orang tua. Bayangkan lokasi yang sempit dan sepadat itu, kemudiannya dibom secara membabi buta. Pasti angka korbannya tinggi.

Kini, sudah seminggu (bermula 26 Disember) bumi Gaza di hujani peluru dan bom Israel. Situasi kemanusiannya menjadi lebih parah, bahkan kritikal. Warga Palestin hidup bagaikan telur di hujung tanduk. Makanan semakin berkurang, lori-lori membawa bekalan makanan pula disekat. Hospital untuk menampung pesakit sudah penuh, Pengarah bahagian Kemanusiaan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), John Holmes sendiri mengakui – semua hospital tidak upaya lagi menerima mereka yang cedera yang semakin meningkat.

Amerika Syarikat (AS), bapa kandung kepada Israel, tidak menghalang serangan negara itu ke atas genting Gaza, cuma meperingatkan anaknya : Wahai anak ku, jangan halakan muncung meriam kepada orang awam”. Walhal penghuni penjara besar Gaza itu adalah rata-rata terdiri orang awam, hanya sedikit sekali, apa yag didakwa Israel dan AS sebagai pejuang Palestin yang dituduh telah melancarkan serangan roket melewati perbatasan Israel. Orang awam dan pejuang Palestin itu sebenarnya satu komponen, ibarat kereta dan tayar kereta, tidak dapat dipisahkan!

Akibat serangan gila itu, kurang lebih 414 warga Gaza syahid, sementara lebih 2,000 cedera (sehingga 3 Januari). Turut syahid ialah seorang pemimpin kanan Hamas, Nizar Rayan. Beliau gugur bersama isteri dan anaknya, setelah kediamannya dibedil. Ketua Polis Gaza, Mejor Jeneral Tawfik Jabber juga ikut syahid. Walaupun angka kematian itu tampak kecil, tapi peratusnya sangat besar disebabkan jumlah penduduk Gaza yang sedikit.

Seluruh dunia Islam melancarkan protes keras terhadap kebiadapan rejim zionis Israel. Demonstrasi berlaku di mana-mana, di kota-kota besar dan kota-kota daerah. Di Jakarta, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) mengerakkan massa, 200,000 berarak di depan kedutaan AS sambil meneriak Allah Akbar. Tidak terkecuali di Makasar. Di Tehran, ribuan keluar di jalanan. Di Afghanistan, penunjuk perasaan membakar bendera Israel. Bahkan umat Islam Australia yang minoriti juga mengadakan protes besar-besaran terhadap keganasan Israel ke atas warga Palestin.

. Di Kuala Lumpur, seusai solat Jumaat, para jamaah berkumpul menyatakan sokongan kepada Palestin, khususnya pergerakan Hamas yang mengusai genting Gaza. Mengutuk sekeras-kerasnya kebiadapan Israel. Mencela AS kerana mendiamkan diri.
Ummat yang terasa tercabar dengan tindakan rejim pecandu darah itu terpanggil untuk berarak, melaungkan kata-kata berupa kutukan kepada rejim zalim, juga kepada pelindungnya- Amerika Syarikat.

Namun Yang belum memberi reaksi ialah umat Arab. Kenapa jadi begitu? Bukankan ia sebangsa dan tetangga terdekat? Kenapa para pemimpinnya justeru jadi pengecut? Secara psikologinya, bila seseorang berada dalam situsi dan kondisi ketakutan yang keterlaluan, maka untuk mengangkat muka pun menjadi terlalu payah, apalagi mahu mengeluarkan suara keras. Untuk melancarkan serangan ketenteraan tentu jauh panggang dari api. Walhal, sepatutnya untuk mengajar kebiadapan rejim Israel, tiada cara lain- peluru harus dibalas dengan peluru. Besi lawan besi. Bukan mucung meriam lawan penumbuk!

Beberapa Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) saya terima daripada pengirim yang tidak dikenali, antaranya berbunyi: Tiada cara lainkah untuk menghalang serangan Israel ke atas Palestin, selain daripada kutuk…kutuk…kutuk…berarak..berarak…berarak! Saya hanya menjawab “ Kita tidak punya gigi untuk mengigit, yang ada cuma gusi dan gusi bila terkena benda keras pasti berdarah dan sakit”

Namun, walaupun umat Islam hari ini tidak punya gigi, tapi kita punya Allah SWT Yang Maha Berkuasa dan Maha Mendengar. Dia mendengar segala rintihan kita, justeru lakukan apa saja, walaupun sekadar doa. InsyaAllah, kemenangan tetap menyebelahi kita.

2 comments:

  1. Yuk Merapat Best Betting Online Hanya Di AREATOTO
    Dalam 1 Userid Dapat Bermain Semua Permainan
    Yang Ada :
    TARUHAN BOLA - LIVE CASINO - SABUNG AYAM - TOGEL ONLINE ( Tanpa Batas Invest )
    Sekedar Nonton Bola ,
    Jika Tidak Pasang Taruhan , Mana Seru , Pasangkan Taruhan Anda Di areatoto
    Minimal Deposit Rp 20.000 Dan Withdraw Rp.50.000
    Proses Deposit Dan Withdraw ( EXPRES ) Super Cepat
    Anda Akan Di Layani Dengan Customer Service Yang Ramah
    Website Online 24Jam/Setiap Hariny

    ReplyDelete