Thursday, January 1, 2009

Debar Disember yang ditinggalkan


Oleh: Rossem

Disember sering mengendung malapetaka, kata seseorang. Lalu orang itu memberi fakta: Tsunami menerjah pantai Acheh, jam 7.59 pagi, 26 Disember 2004 dengan ukuran 9 pada Skala Richter. Turut terlibat ialah kepulauan Andaman di Lautan Hindi, Sri langka, Phuket dan Malaysia. Seramai 220,000 terkorban. Semua itu berlaku dalam bulan Disember.

Di Rawalpindi, Pakistan, jam 5.30 petang, 27 Disember 2007 seorang lelaki kurus membunuh Benazir Bhutto yang baru usai berpidato di rapat umum di Taman Liaquat Bagh. Tokoh politik itu yang juga mantan Perdana Menteri Pakistan dan pemimpin Parti Rakyat duduk dalam kereta dengan menjulurkan kepalannya keluar bumbung, satu tembakan terdengar, diikuti dengan letupan bom yang amat dahsyat. Wanita yang baru pulang ke tanah air dari suaka politik di luar negara dan bakal menjadi Perdana Menteri Pakistan untuk kedua kalinya itu rebah – mati bersama 30 yang lain.

Tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, empat orang terkorban, hampir 20 buah rumah mewah rosak teruk. Kerugian hartabenada mencercah jutaan, berlaku pada jam 3.30 pagi, 6 Disember 2008, menjelang Aiduladha- ketika warga sedang nyenyak tidur.

Walhal, sebelum tragedi berlaku, sepertimana dimuat dalam akhbar; warga Bukit Antarabangsa telah pun membuat aduan kepada pihak berwajib berhubung pergerakan tanah yang berlaku, yang dikhuatiri boleh mengakibatkan tanah runtuh, namun, aduan tersebut dikatakan tidak dilayan.

Sebelum ini pun sudah berlaku kejadian tanah runtuh di situ dalam sekala kecil, namun, pihak berkuasa tidak mengambil perhatian serius tentang signal itu. Dan sekarang, ‘hasilnya’ telah pun diketahui umum.

Bila sudah berlaku, seperti biasa, tuding menuding jari pun berlaku, pemaju salahkan PBT dan PBT salahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), namun dalam hal ini, pemerintah bagaikan sebuah institusi kalih peluru. Bijak melepaskan diri dari rasa bersalah dan rasa pertanggungjawaban akibat dari kealpan agensi-agensi yang dilantiknya.

Di Iraq, seorang wartawan stesen telivisyen Al-Baghdadia, Muntadar Al-Zeidi melakar sejarah baru dalam dunia kewartawanan bila membaling sepatu ke arah pemimpin paling angkuh di muka bumi, Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush dalam satu sidang press di negara itu. Turut bersama ialah Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki. Dua pasang kasut yang tidak diketahui jenama dan saiz meluru seperti peluru, kalau tidak kerana sang Presiden pantas mengelak, pasti singgah di muka. Drama aktual itu ditayangkan dalam televisyen Malaysia dalam segmen Berita Perdana pada hari berikutnya. Begitu sekali cekapnya Bush mengelak lontaran dari jarak dekat. Sementara Nuri al-Maliki yang berada disebelahnya bangun dengan mulut terlopong-panik. Cerita gempar dengan separuh lucu itu juga berlaku dalam bulan Disember ( 14 Disember 2008).

Yang meruntun nurani ialah kalimat yang terbit dari mulut wartawan terbabit: ini kucupan perpisahan buat kamu, anjing! Di ikuti dengan kalimah berikut: Ini salam perpiahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh.

Ungkapan itu merupakan difinasi sebenar daripada kekecwaan yang sangat mendalam warga Iraq, setelah bangsa dan negara mereka dimalukan dengan cara yang amat biadad oleh Amerika Syarikat lebih lima tahun lalu, sehingga mendorong pemuda itu sanggup menghadapi risiko –diseksa, dipenjara atau mati.

Seluruh umat Arab, kemudiannya mengelarkan Muntazer sebagai wira bangsa, bahkan seorang warga Mesir menawarkan anak perempuannya untuk dinikahi Muntazer.

Keberanian sang wartawan itu pasti terpahat dalam sejarah bangsa Arab dan Islam, sepertimana kita pernah menemukan kisah-kisah keberanian para pemberani di zaman kekhalifahan Islam di masa silam.

Kisah Muntazer membaling sepatu terhadap Bush ini sepintas lalu seakan-akan membawa kita untuk mengingati kembali kisah-kisah dalam Hikayat Seribu Satu Malam yang sangat masyhur itu. Ada kebenarian, kelucuan dan kejutan. Namun, inilah Kota Bahghad yang kita kenali, menyimpan banyak kisah-kisah aneh sejak dulu, sekarang dan akan datang.

Sepatu lambang kemegahan. Untuk itu, orang sanggup membelanjakan ratusan ringgit semata-mata untuk membeli sepatu berjenama tersohor, memakainya dengan penuh gaya di majlis-majlis berperestej, tapi sepatu juga menjadi lambang penghinaan, bila disalah gunakan, sepertimana dilakukan Muntazer.

Begitu juga dengan penyapu. Ia satu keperluan yang sangat mustahak. Setiap rumah ada penyapu. Tapi penyapu boleh bertukar menajdi satu penghinaan bila disalah gunakan- dijadikan hadiah misalnya, sepertimana pernah berlaku di Selangor suatu masa dulu.

No comments:

Post a Comment