Wednesday, January 28, 2009

Jadikanlah tragedi Gaza sebagai iktibar


Oleh: Rossem
Sejak berdirinya negara Israel 14 Mei 1948. Serangan dan pembunuhan kejam ke atas umat Arab terutama warga Palestin berlaku sepanjang masa. Yang terbaru ialah serangan ke atas Gaza. Selama 23 hari peluru, bom dan roket tentera rejim Zionis menghujani Gaza. Lebih 1,300 gugur syahid, majoritinya kanak-kanak, wanita dan orang tua.

Kehidupan rakyat Palestin tidak pernah aman, di mana saja mereka berada sentiasa diburu, sama ada di Gaza atau Tebing Barat, bahkan suatu masa dulu, si Zionis pemakan mangsa itu mencari mangsa sehingga ke pinggir Beirut, Lubnan- seperti berlaku dalam tragedi pembunuhan beramai-ramai Shabra dan Satilla.

Keganasan Zionis Yahudi tiada siapa upaya menghalangnya. Barat hanya berpeluk tubuh, sementara negara-negara Islam pula sekadar mengutuk. Lebih memalukan ialah tetangganya- negara Arab. Langsung tidak bertindak bagi menghalang rejim pecandu darah itu daripada melakukan pembunuhan kejam dan tanpa peri kemanusiaan.

Negara-negara Arab berbangga kerana adanya Liga Arab. Negara-negara Islam ada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), tapi kesemua organisasi itu sebenarnya sakit tenat. Hampir tidak berfungsi. Untuk menolong mempersenjatai Palestin jauh panggang dari api, bahkan untuk mengadakan mesyuarat khusus membincangkan pencerobohan Israel pun sesuatu yang amat sukar. Jika berjaya diadakan sekalipun, ia akhirnya menjadi medan ketua-ketua negara Arab berselisih pendapat sesama sendiri.

Menyedari hakikat itu, maka setiap kali berlaku serangan, pencerobohan dan pembunuhan kejam tentera rejim Israel ke atas rakyat Palestin, umat Islam di seluruh belahan dunia mengambil inisiatif sendiri, mengerakkan massa, mengadakan demontrasi, pidato-pidato khusus dan mengutip derma bagi meringankan beban penderitaan yang ditanggung saudara-saudara seakidah di bumi yang hangus terbakar itu.

Kebiasaan seperti ini dilakukan umat Islam di negara-negara non- Arab, seperti di Malaysia, Indonesia, Pakistan, sementara negara-negara Arab, khususnya yang berjiran dengan Israel, untuk rakyat mereka keluar berdemontrasi pun sering dihalangi dengan belantan dan gas pemedih mata, seperti dilakukan pemerintah Mesir dan Jordan.

Di Malaysia demontrasi dan perhimpunan secara aman mengutuk pencerobohan dan pembunuhan kejam Zionis-Israel dilakukan setiap minggu, khususnnya di Kuala Lumpur dan Kota Bharu, digerakkan oleh pertubuhan politik seperti Pas, gabungan Badan-Badan Bukan Kerajaaan (NGO), pelajar institusi pengajian tinggi dan orang ramai yang simpati dengan nasib malang warga Gaza.

Perhimpunan terbesar ialah di Kota Bharu pada 23 Januari lalu. Umum terkejut dengan kehadiran begitu ramai muslimin dan muslimat memenuhi ruang padang Stadium Sultan Mohammad Ke IV sejak jam 7.00 petang. Solat Maghrib berjamaah, zikir munajat, kemudian solat hajat dan Isyak, memohon kepada Allah SWT agar diberi-Nya rakyat Gaza kesabaran dan kemenangan dalam mempertahankan tanah air mereka Palestin daripada diceroboh rejim ganas Israel.

Program Cakna Palestin itu dianjurkan Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin ulamak, di mana Menteri Besar Kelantan sendiri, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan exco-exco serta seluruh kepimpinan negeri hadir bersama rakyat bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada saudara seagama yang menderita di bumi kelahirannya Gaza, sehingga pada malam itu kurang lebih RM1.4 juta berjaya dipunggut dari orang ramai untuk Tabung Cakna Palestin.

Walaupun kita jauh dari bumi Palestin, namun itulah keupayaan kita. Dalam hal ini, teringat kepada kisah burung yang terbang mencari air dari tempat yang jauh, dibawanya air itu dalam paruhnya yang kecil, untuk memadamkan api besar yang sedang marak membakar Nabi Allah Ibrahim as. Tentu tidak masuk akal, bagaimana setitik air dari paruh burung pipit itu boleh memadamkan kebakaran. Namun “sumbangan” itu tetap ada gunanya, meskipun tampak kecil, ia sentiasa dalam “perkiraan’ Allah SWT. Bahkan seribu kali lebih baik dari seekor harimau sarkas. Tampak garang tapi takut kepada gembalanya.

1 comment:

  1. Sekadar berpesan-pesan. Doa mengelakkan daripada difitnah orang.

    "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami (sasaran) fitnah bagi kaum yang zalim, dan selamatkanlah kami dengan rahmat-Mu dari orang-orang yang kafir." Surah Yunus, ayat 85 dan 86
    View Profile: Rantong

    ReplyDelete