Monday, January 5, 2009

Palestin menjadi puing. Di mana jiran Arab?

Oleh: Rossem

Sebentar tadi aku terima e mail dari anak ku yang dikatakan perutusan langsung daripada Perdana Menteri Gaza, daripada Hamas, Ismail Haniyah. Perutusan yang siap diterjemahkan mengikut bahasa setempat itu ditujukan kepada umat Islam di seluruh dunia. "Kami menghadapi konspirasi jahat zionis Israel dan operasi ketenteraannya. Meski kami di gantung di tiang-tiang gantungan, meski darah kami tersimbah di jalan-jalan, meski serpihan daging-daging dari tubuh-tubuh kami terlekat di tembok-tembok, kami sekali-kali tidak akan tunduk dan menyerah. Demi kemerdekaan Palestin dan kebebasan al Quds. Demi jihad yang kami cintai dan Demi syahid yang kami rindui. Kami katakan: Gaza tidak akan jatuh ke lubang kehinaan, tidak akan meyerah dan tumbang....."
Anak ku itu menangis sebaik saja membaca Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dikirim seseorang kepadanya, kemudian ia memanjangkan pesan itu kepada ku. Hakikatnya bukan air mata ia seorang saja yang tumpah lantaran kebiadapan rejim Zionis, bahkan seluruh umat Islam yang beriman dan pencinta damai menangisi perbuatan Zionis yang bertindak bagaikan orang kehilangan manusiawi.
Menangisi mengenangkan tragedi demi tragedi menimpa umat Islam Palestin khususnya yang mendiami genting Gaza buka hanya baru sekarang, malah sejak lama dulu. Teringat suatu musim haji. Ketika solat Jumaat terakhir sebelum kami berangkat ke Arafah. Imam Masjidil Haram, Mekah, membaca qunut nazilah yang panjang. Isi doanya menyentuh pemasalahan umat Islam masakini di seluruh dunia. Bila tiba tentang isu Palestin, al-Quds dan kebiadapan rejim zionis Israel, tiba-tiba kelancaran doanya tersekat-sekat, sang imam sebak menahan tangis. Saya yang tidak tahu berbahasa Arab, juga ikut menangis , namun saya faham intisari doannya. Tampak jamaah di kiri kanan juga menangis. Demikian hibanya umat ini bila isu Palestin dan al-Quds disebut-sebut dan diulang-ulang.
Sejarah ngerinya yang panjang membalut warga sangat menghiris nurani umat. Al-Quds yang pernah menjadi kiblat pertama umat Islam diinjak-injak oleh kaki kotor Zionis dan tangan-tangan mereka yang berlumuran darah, entah bila akan menemui noktahnya. Sementara tetangga Palestin yakni negara Arab tidak membantu, bahkan diantaranya terdapat pemimpin yang merestui tindakan Israel membumihanguskan bumi Gaza, disebabkan, kononnya genting Gaza ditadbir oleh gerakan Islam (Hamas).
Kebrutalan rejim Zinis Israel keatas genting Gaza kali ini memang amat luar biasa. Dalam masa lapan hari, bumi Gaza yang berpenghuni 1.5 juta itu, terpaksa menerima sebanyak 750 serangan tentera Israel. Kediaman warga, khemah pelarian, pusat-pusat pentadbiran Hamas, kedai-kedai menjadi puing.
Tidak cukup dengan itu, Israel juga telah menghancurkan lapan masjid di Gaza. Masjid Umar bin Al Khattab, Masjid lain yang berhasil dihancurkan adalah masjid Syifa, masjid Al Qassam, masjid Ibad Arrahman, masjid Imad Aql, masjid Abu Bakar As Siddiq, masjid Al Istiqamah, serta masjid Hanifah bin An Nu’man.
Tak cukup masjid, Israel telah menyerang komplek Universiti Islam Gaza. Kelas untuk mahasiswi, dewan peperiksaan serta dewan muktamar telah rata dengan tanah. Jumlah kematian sehingga kini (5 Januari ) 435 orang, kecederaan pula meningkat 2,285 orang. Hospital sudah tidak upaya menampung mereka yang cedera dan bertamah setiap hari.
Malam tadi, kurang lebih jam 12.00 malam, handset yang diletakkan di hujung kepala berbunyi, saya terjaga dari tidur. Satu SMS diterima “ Tolong bacakan: Lailahaillallah, Allahuakbar dan surah al-Ikhlas tiga kali, untuk Masjid Al Aqsa yang sedang dikepung Israel. Sebarkan kepada rakan-rakan Muslim kita…” Terkejut! Walaupun saya tidak sempat menonton Berita Dunia lewat tengah malam di telivisyen Malaysia, namun saya dapat mengagak, tentera darat Israel sudah mula memasuki Genting Gaza. Dan jika benar terjadi, bayangkanlah bagaimana nasib warganya- kanak-kanak, wanita dan orang tua.
Dan melihat suratkhabar pada esok paginya (5 Januari) memang benar tentera darat Israel mula memasuki Gaza – Serangan darat bermula!
Bagaimana reaksi para pemimpin negara-negara Arab? Mereka memilih berdiam diri. Bahkan diantaranya ada yang akan ikut bertepuk tangan bersama Israel sekiranya pergerakan Hamas dan pemimpinnya Ismail Haniyah lenyap di bumi Gaza. Orang itu ialah Mahamod Abbas. Presiden Palestin yang beribupejabat di Tebing Barat.

1 comment: