Saturday, June 30, 2018

Tentang sengketa politik Kelantan 1977



Suatu hari yang panas membakar, dalam tahun 1977, di simpang  jalan  Dato Pati  (Medan Ilmu). Stesen  kereta sewa  yang dikosongkan dan pasar kecil  orang Cina jual kerbau pendek yang ditutup.  Kota Bharu  lesu dan berduka. Kelantan menangis. Warga  pongoh dan gedebe. Kami berdiri tegak, mengenakan  seragam hijau, bertopi besi biru muda.  Rifle MK4  digenggam erat, siap siaga untuk memuntahkan peluru. 

Rifle MK4 senapang usang,  sisa  perang dunia ke dua, buatan Inggeris,  bahagian larasnya  diubahsuai untuk  menembak  roket. Kami sebut senjata itu TS Gun. Roket dimaksudkan ialah gas pemedih mata. Bukan semua anggota  dibekalkan senapang itu, hanya  saya dan beberapa lagi, yang lain cota. Cara tembakan tidak boleh  dari atas bahu kerana keras tendangannya. Harus diletakkan  di tanah.

Di hadapan kami gerombolan penunjuk perasaan , bertempek, bersorak, mengejek  dan menunjukkan aksi lucah.Sebahagiannya ada krikil di tangan.  Berselindung di lorong antara  bangunan Pejabat Perhubungan PAS Negeri Kelantan dengan bangunan kelab pemandu  teksi, sekarang kedai  tekstil  Laila Jafaar Rawas. Ada banyak gerombolan,   di  bawah bangunan pasar lama MPKB juga kelihatan.  Realitinya  Kota Bharu ketika itu dalam kondisi rawan. Tayar dibakar, asap hitam berkepul di sana sini. 

Picu senapang ditarik,   tembakan tak terelakkan, gas pemedih mata jatuh berhampiran penunjuk perasaan – lari bertempiaran, tetapi disaat asap gas hilang dibawa angin, mereka  datang kembali. Beraksi lagi.   Hati mana tak marah!  Hati mana tak geram! .  Giliran pasukan gempur  pula bertindak, mengejar ,  memukul dan menangkap. Kami  hanya bawa rotan. Kami dibenarkan  memukul  perusuh hanya  dengan rotan seperti guru displin merotan anak murid.  Sikap berhemah kami menyebabkan penunjuk perasaan   gedebe hangit. Paling sakit hati, dia tunjuk buntut.  Kami kejar sampai dapat.  Rotan melekat di punggung. Menangis minta maaf.

FRU didatangkan dari Kuala Lumpur. Mereka pasukan terlatih,  tetapi diarah untuk standby , khidmat mereka  belum diperlukan. Penunjuk perasan harus ditanggani dengan cara berhemah. Cukup pasukan kami  kendalikan.  Demikian kemahuan pihak atasan khususnya pemimpin politik  Kuala Lumpur.  

Inilah bahananya  politik bakar semangat . Kelantan terkenal dengan politik jenis ini sejak dahulu, Saya kesihan melihat anak-anak muda Kelantan ketika itu  yang tak tahu apa- apa tentang sepak terajang politik, tiba-tiba menyertai tunjuk perasaan secara agresif. Dianggarkan 30 ribu orang menyertai tunjuk perasaan, bermula dari Padang merdeka ke bangunan SUK. 

Kelantan terbakar.  Menteri Besar Kelantan  Datuk  Haji Mohamad Nasir   seperti berjalan di atas bara api. Kedudukannya cuba digugat.  Kumpulan 20 mahu    menyingkirkan beliau dari kerusi  Menteri Besar kerana lantikan beliau atas telunjuk UMNO,  bukan   kehendak majoriti parti yang dipimpin Datuk Asri.  Undian tak percaya dilakukan.  Mohamad Nasir tumbang. Rusuhan meletus. Darurat diisytiharkan. 

Di hari yang lain, maklumat diterima,  Pasir Mas sedang  berduka,  penunjuk perasaan beraksi di jalan utama berhampiran pasar sebagai   menyatakan sokongan kepada Mohamad Nasir. Tiba di situ, kurang lebih 500 penunjuk perasaan berarak sambil memegang sepanduk “ Jawatan Menteri Besar bukan punca kekayaan”.  Ditujukan kepada Datuk Asri.  Dakwaan mereka,  konon Asri membina kekayaan ketika menjadi Menteri Besar Kelatan dahulu.  Mengikuti sebuah lori yang dipasang alat pengeras suara.  Di atas lori itu berdiri seorang lelaki berpakaian putih, bertopi putih,  memegang laugh speker  sambil berucap. Lelaki  itu ialah Hussain Serama (Tan Sri). Bukti , Umno adalah dalang disebalik sengketa  melanda pentadbiran  kerajaan Negeri Kelantan. 

Akhirnya. 8 November 1977,   MAGERAN diisytiharkan di Kelantan.  Aktiviti politik dibekukan. Demokrasi dipaku pada dinding. Hebat bertaring UMNO dahulu. Parti-parti lain dijadikan buah catur. Sekarang,  UMNO ibarat pemain  bolasepak   tanpa jurulatih, boleh main,  tetapi tendangan sering masuk ke pintu gawang sendiri.  


1 comment: