Sunday, June 24, 2018

Mat Isa Pendek




48 tahun dahulu, tahun 1970an, televisyen  Malaysia  menayangkan siri popular Combat , kisah peperangan  dunia pertama - tentera Amerika lawan Nazi Jerman.  Sergeant Vic Morrow  lakonan Chif Saunders   hero dalam platun  combat itu, peranannya lebih menonjol daripada  Ketua Platun Lieutenant Rick Jason lakonan Gil Hanly. Siri yang ditunggu-tunggu setiap rakyat Malaysia,  kanak-kanak hingga dewasa, ditayang Jam 9 malam, hitam putih.  

Dalam platun itu terdapat seorang  doktor – Conlan Carter. Saya meminati  pelakon ini kerana mukanya sentiasa  cemas dan susah hati. Beliau juga tak banyak cakap.  Jika anggota combat tercedera, tugas beliau  memberi rawatan . 

Bukan kisah Vic Morrow mahu diceritakan, tetapi ada sedikit  berbau Vic Morrow  dan Conlan Carter dalam cerita ini. Tahun 1970an dan 1980an kami pikul  senapang, peluru rantai melilit badan,   meredah hutan belantara, mendaki  bukit bukau, gunung ganang  di merata tempat di Malaysia, perbatasan Thailand, bahkan hingga memasuki Negara Gajah Putih mencari dan memburu  askar Rajeman ke 10 PKM. Di Sarawak memburu Tentera Pembebasan  Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU).

Setiap platun pasukan keselamatan  terdapat seorang  anggota perubatan (medical), walaupun bukan doktor tetapi pernah mengikuti  kursus  pertolongan cemas terutama  aspek membantu anggota yang tercedera dalam medan perang.  Anggota perubatan ini  selain  membawa bag   pakaian , makanan,  peluru, satu lagi bag ubatan-ubatan. 

Hari ini, setelah 30 tahun tak berjumpa, kawan saya  “Conlan Carter” Mat Isa (Haji),  69 tahun,   bersilaturahim ke rumah.  Beliau tinggal di Kuala Lumpur, sekarang masuk pesantren ( pondok) Gemulah Haji Daud, Kg, Mahligai, Melor secara solo. Dua isterinya tidak dibawa. Pondok Hj Daud memang terkenal, hanya 5  kilometer dari kampung saya.

Haji Mat Isa,  atau panggilan akrab Isa Pendek  anggota perubatan dalam platun kami. Kalau terasa nak demam cepat-cepat jumpa beliau. Ketika kami menjalankan operasi memburu komunis di kawasan Gua Musang, tiga hari sekali dipaksa kami  telan ubat anti malaria di hadapan beliau – Ketika itu Gua Musang kawasan malaria. Ubat Koloroquin  pahitnya macam jadam. 

Tak sangka,  setelah rambut masing-masing bertap zink kami berjumpa kembali,  mengimbau kisah lama, 1970an dan 1980an.

1 comment: