Friday, August 5, 2011

Suasana Padang Arafat di Kota Bharu


Oleh: Rossem
Seperti pada tahun-tahun sebelumnya. Setiap kali ketibaan Ramadhan al Mubarak. Khemah besar berwarna putih lengkap dengan alat penghawa dingin dibangunkan. Ditokok tambah dengan apa-apa yang berkurang pada sebelumnya, semua itu demi keselesaan para jamaah Tarawih yang semakin ramai, sehingga khemah sebesar separuh padang sepak bola itu terasa sempit dengan jamaah mulsimin dan muslimat yang datang, sehingga sehabagianya terpaksa solat di luar khemah.

“Terasa seperti berada di Padang Arafah” kata salah seorang jamaah yang pertama kali mendirikan solat Tarawih di situ. Memang benar, situsi dan kondisinya saling tak tumpang seperti di Padang Arafah saat mengerjakan haji.

Barangkali inilah yang mahu tunjukkan oleh sang pencetus idea, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat saat mensyorkan sebuah khemah besar didirikan di lapangan di tengah Kota Bharu untuk tujuan bersolat sunat Tarawih, agar setiap umat Islam yang mendatanginya merasakan diri mereka seperti berada di Padang Arafah.

Imam solatnya tahun ini didatangkan khas dari Mesir. Dua orang qari dan hafizan terkenal dari negara itu mengimami solat Isyak dan solat sunat Tarawih setiap malam selama sebulan Ramadhan. Kemerduan suaranya sehingga makmum tidak terasa kepenatan harus berdiri lama untuk menghabiskan satu lembaran al-Quran yang dibaca sang imam untuk setiap rakaat selama lapan rakaat. Malah mengamati bacaannya dengan penuh khusyuk boleh meneteskan air mata.

Kenapa solat di lapangan, di bawah khemah? Apakah di Kota Bharu tidak ada masjid? Barangkali ada yang bertanya demikian.

Ya, masjid dan surau banyak sekali di kota ini. Antara masjid yang besar ialah Masjid Muhammadi. Merupakan masjid negeri, jarak lokasinya cuma satu kilometer dari khemah Tarawih yang terletak di Dataran Stadium Sultan Muhamaad Ke-IV.

Setiap masjid dan surau, termasuk Masjid Muhammadi rutin Ramadhannya mengadakan solat sunat Tarawih sejak dulu. Namun oleh pemerintah negeri dibangunkan sebuah khemah besar berfungsi sebagai masjid untuk tempat ibadat qiammulail semata-mata untuk memberikan sedikit kelainan dan cinta rasa baru kepada para jamaah. Antaranya menghadirkan suasana “Padang Arafah” ke dalam diri setiap muslimin dan muslimat. Kedua, untuk kemudahan para musafir yang tidak berkesempatan untuk ke masjid kerana urusan mahu disegerakan.

Sebelum berpindah ke Dataran Stadium, sebuah khemah yang sama didirikan di terminal bas di tengah kota. Di situ bermulanya solat terawih bawah khemah di Kelantan. Fungsinya untuk sang musafir yang melewati kawasan itu, memberi kemudahan kepada mereka untuk singgah sebentar mengerjakan solat tarawih lapan rakaat atau sebelas rakaat termasuk witir sebelum berangkat untuk urusan masing-masing.

Saat itu imamnya seorang hafiz yang didatangkan dari Republik Rakyat China. Dibiayai segala oleh pemerintah Kelantan. Ketika itu ada orang bertanya “Apakah di Negeri Serambi Mekah ini sudah kemarau imam, sehingga terpaksa import imam dari China?” Menteri Besar, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menjawab “ Saya sebenarnya mahu merubah persepsi kamu. Selama ini, dalam minda kamu hanya orang Melayu saja boleh jadi imam solat. Walhal orang Cina juga boleh jadi Imam. Mereka adalah bangsa yang lebih awal memeluk Islam dari kita. Dan ingatlah Islam itu untuk seluruh manusia tanpa dibatasi bangsa dan negara”.

Tuan Guru Nik Aziz melihat nun jauh ke depan, sedangkan waktu itu kita hanya melihat sejengkal di depan mata! Masyaallah.

1 comment:

  1. الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

    ReplyDelete